Wednesday 10 October 2012

Misi Kemanusiaan KP1M: Airmata Di Thekebyin – Baw Du Pha, Myanmar




RAKHINE – Hanya airmata hiba yang dapat menafsirkan perasaan setiap insan yang berada di Kem Thekebyin dan Baw Du Pha ketika doa dibaca oleh Ustaz Rusdin Mahamud di pekarangan penempatan sementara masyarakat Islam di sini semalam.

Bukan saja diiringi dengan esakan para penduduk Islam di situ, rasa sedih dan pilu itu turut dikongsi oleh pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia KP1M yang hadir di kem tersebut bagi menghulurkan bantuan.

Mengenangkan kehidupan ‘gelap’ yang ditempuh setelah rumah mereka dibakar dan ahli-ahli keluarga yang dibunuh kejam, mereka mengalirkan air mata duka bercampur gembira apabila melihat deretan kenderaan membawa barangan bantuan untuk meringankan beban.

Mohd Amin Mohd Kassim, 32, yang pernah tinggal di Malaysia selama lima tahun berkata, kebanyakan dari mereka yang dianggarkan berjumlah lebih 70,000 orang itu terpaksa tinggal di dalam kedaifan sejak Jun lalu.

“Kerajaan hantar makan dua minggu satu kali saja, ada beras, minyak, garam, gula…lain makan cari sendiri la.



“Itu pasal tak cukup makan sini, sini orang ramai ada..1,500 rumah, ada lebih 70,000 orang di sini, kita sini kerja tanam padi dan tangkap ikan, tapi daging sama ayam tak ada la sini,” katanya menceritakan serba sedikit mengenai kesusahan yang dialami di kem tersebut.

Menurutnya, ramai di kalangan masyarakat Islam di kem itu yang terpaksa terlantar menahan sakit akibat kekurangan kemudahan perubatan di mana doktor yang dihantar Kerajaan Myanmar hanya berada di kem itu selama sejam dua sahaja dalam dua atau tiga kali seminggu.

Lebih perit lagi, kehidupan Saidatul Nisa Abu Sayaf, 25, yang kehilangan seramai 11 orang ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya, dua anak perempuan yang berusia lima dan empat tahun serta adik beradiknya yang dikatakan telah dibunuh dengan kejam.

“Tinggal saya seorang saja, semua sudah mati kena bunuh, tapi saya masih ada suami dan seorang anak yang selamat, syukur Alhamdulillah,” katanya mempamerkan ketabahan hati yang mengkagumkan wartawan Mynewshub.my, di sini semalam.

Lain pula ceritanya tentang Abedah Yusof, 70, seorang ibu tua yang tidak mampu berjalan dan terpaksa menghabiskan masa di bahagian belakang rumah panjang di kem tersebut memandangkan tiada ruang bilik lagi untuknya berteduh dari hujan dan panas.

Ketika cuba melarikan diri dari dibakar hidup-hidup bersama rumahnya, dia cuba melarikan diri dan kaki kanannya terkena batu yang dibaling oleh pihak yang menyerang seisi kampungnya di wilayah bergolak tersebut.

Shaddar Majeed, 50, yang berasal dari kampung Ming Zhe yang terletak berhampiran kawasan kem tersebut memberitahu bahawa suaminya telah dibunuh oleh etnik Rakhine ketika keluar mencari rezeki di hutan berdekatan rumahnya.

“Dia keluar pergi hutan cari buluh, tapi dia tak balik..rupanya dia dah mati dipotong,” katanya hiba sambil mengalirkan titisan air mata di pipi.

Hari ketiga di Myanmar menjadikan perjalanan pulang pasukan media misi kali ini sunyi sepi diselubungi perasaan sugul sehingga tiba di lokasi penginapan yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari kem-kem penempatan sementara itu.

Masing-masing masih terbayang wajah-wajah dan tangisan perasaan yang meruntun jiwa sambil mula mencongak tentang apakah pengalaman menyayat hati yang bakal ditempuhi di kem-kem lain awal pagi ini.

Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat dirakam oleh wartawan Mynewshub.my di kem-kem yang dimaksudkan:


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive