Monday 7 January 2013

PANASS !! CIKGU NON BAKAL HERET PAS KEDAH KE MAHKAMAH !!




Satu laporan polis terhadap Badan Perhubungan PAS Kedah akan dibuat dalam masa terdekat berhubung penyelewengan wang hasil kutipan derma Tabung Memali yang diusahakan parti itu suatu ketika dahulu.

Menurut bekas Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Zainon Ismail, satu jawatankuasa kecil sedang dilaksanakan bagi mengenalpasti proses perundangan yang boleh diambil.

“Saya sedang berusaha untuk membentuk satu jawatankuasa kecil untuk membincangkan tentang bagaimana proses perundangan yang patut kita ambil.

“Maksudnya bukan saya sahaja (tetapi) ada orang-orang lain yang akan bersama dengan saya sebab kita rasa isu ini penting..satu penipuan, penganiayaan kepada balu-balu yang masyarakat tidak tahu,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Menurut Zainon ataupun turut dikenali sebagai C.N Al-Afghani, laporan polis yang akan dibuat berkisarkan tentang tindakan Badan Perhubungan PAS Kedah merampas sebahagian daripada wang pampasan yang diberikan kerajaan Malaysia kepada balu-balu yang terlibat.



Katanya, balu-balu yang menerima pampasan dengan jumlah RM20,000 diminta memberikan sejumlah RM3,000 kepada parti dengan alasan untuk membiayai kos guaman mereka.

“Ia melibatkan PAS Kedah...sebab yang meminta wang itu ialah PAS Kedah. Jadi kita minta PAS Kedah kembalikan semula hak balu, itu sahaja. Bukan kepada individu ataupun mana-mana pihak lain tetapi kepada Perhubungan PAS Kedah,” jelas beliau.

Terdahulu ketika memberikan taklimat mengenai buku tulisannya ‘Mohd Sabu Air Mata di Bumi Memali’, Zainon mempertikaikan tindakan PAS Kedah mengambil sejumlah wang berkenaan yang bertentangan dengan tujuan asal penubuhan Tabung Memali.

Justeru, tindakan PAS Kedah ini tegas beliau adalah satu penipuan terhadap balu-balu mangsa Memali yang dakwanya kini diabaikan oleh pemimpin-pemimpin parti yang memperjuangkan Islam itu.

“Kita akan membuat satu laporan bagaimana PAS Kedah telah menipu balu-balu ini dengan mengutip setiap balu ini RM3,000 selepas mendapat pampasan RM20,000 daripada kerajaan Malaysia sedangkan mereka ceramah, seluruh Malaysia (mengutip derma).

“Dan akhirnya apabila kerajaan Malaysia beri RM20,000, mereka minta daripada balu-balu ini seorang RM3,000 dengan alasan untuk membayar kos guaman. Nampak satu penipuan...kalau kamu sudah mengutip kepada orang ramai untuk bantu balu biaya kos guaman, kenapa kamu minta semula daripada balu untuk kos yang sama. Bermakna kamu menipu balu-balu,” tegasnya yang mesra disapa ‘Cikgu Non’ itu.

Pada tahun 2002, mantan Presiden parti, Allahyarham Fadzil Noor telah mengumumkan penutupan tabung tersebut bagi mengelakkan fitnah.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 telah mengorbankan seramai 14 orang dan menyaksikan berpuluh yang lain tercedera.

Insiden yang dinamakan ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’ oleh pihak berkuasa itu menyaksikan penahanan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia dilaksanakan pihak berkuasa bagi menangani penularan ajaran sesat yang dipercayai cuba dibawa oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang turut terbunuh semasa insiden tersebut.-ANTARAPOS

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive