Friday 11 January 2013

MAJLIS GEREJA BERKERAS MAHU GUNA KALIMAH ALLAH




Majlis Gereja Malaysia (CCM) seperti dilaporkan portal Malaysiakini mengumumkan bahawa kesemua gereja akan menggunakan kalimah Allah walaupun Sultan Selangor mengeluarkan titah yang menghalang golongan bukan Islam daripada menggunakannya.

Setiausaha agungnya Rev Hermen Shastri berkata para ketua gereja CCM, membuat keputusan itu semasa perbincangan di Ipoh.
“Kami ingin mengulangi pendirian bahawa (penganut) Kristian Malaysia menggunakan perkataan Allah dalam Injil bahasa Melayu dan pengabdian hidup mereka sejak berabad lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pandangan CCM itu disokong oleh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

“Masyarakat Kristian di Malaysia telah menggunakan perkataan” Allah” dalam Alkitab Bahasa Malaysia dan kepercayaan kita sebagai ‘god’ dan kami akan terus berbuat demikian,” tegas Pengerusi Bishop Datuk Ng Moon Hing dalam satu kenyataan.

Menurut portal Malaysian Insider, CCM yang merupakan Kumpulan gereja Protestan di Malaysia mendakwa mereka telah menggunakan “Allah” dalam Alkitab bahasa Melayu sejak berabad-abad lamanya.



Mereka juga turut mendakwa komuniti orang asli di Malaysia telah menjadikan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab itu sebagai sebahagian daripada bahasa harian mereka.

“Jika begitu kesnya, kami akan meneruskan amalan ini, hak yang dijamin kepada kami dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11) dan menyeru semua pihak untuk menghormati hak asasi ini,” katanya.

Kelmarin, Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010, (Sel. P.U. 6).

Malah baginda pernah mengeluarkan titah yang sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga tahun yang lalu apabila isu ini pertama kali dibangkitkan.

Namun, Tuanku amat kesal kerana titah baginda telah dipandang ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu yang sama dibangkitkan semula.

Berikutan dengan itu, Tuanku juga telah menitahkan MAIS dan JAIS untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau dalam kalangan orang Islam sekalipun yang masih mempersoalkan atau memperlekehkan fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peraturan undang-undang yang sedia ada di negeri Selangor.

Di negeri Selangor terdapat undang-undang yang telah digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah Allah iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Enakmen ini telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 9, Enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peraturan ini.

Baginda juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham dalam kalangan kaum di negara ini.

Selanjutnya Tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali daripada menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik mereka kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini.

sumber AIDC

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive