Sunday 5 February 2012

DR HASAN ALI KATA AKU TAK KELAPAQ NAK RAYU ??



Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mengambil keputusan muktamad untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan selepas beliau dipecat sebagai ahli parti dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 8 Januari lalu.

Ujarnya, perkara itu diputuskan selepas beliau mengambil kira setiap pandangan daripada ulama sama ada di dalam atau di luar Pas, golongan profesional, ahli akademik, ahli biasa serta setelah melakukan istikharah.



Katanya, keputusan tersebut juga berkait rapat dengan cara pemecatannya oleh Pas yang disifatkannya sebagai paling autokratik dan paling tidak demokratik walaupun tempoh rayuan masih berbaki tiga hari lagi iaitu pada 7 Februari ini.

''Pimpinan tertinggi Pas telah membuat keputusan untuk memecat saya tanpa mengikut prosedur lazim yang digunakan oleh mana-mana pertubuhan politik termasuk Pas yang sepatutnya menjunjung syariat Allah SWT, antaranya memberi peluang serta ruang untuk membela diri.

''(Namun) mereka membuat keputusan secara arbitrari, berhujah dan mendengar daripada satu pihak sahaja. Tindakan yang diambil begitu tergesa-gesa termasuk menggugurkan saya sebagai Exco kerajaan negeri yang mana Setiausaha Agung Pas meminta ia dibuat secara serta-merta,'' katanya dalam satu sidang media di kediamannya dekat sini, hari ini.

Pengumuman yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Pas itu menamatkan segala teka-teki sama ada beliau mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya selepas dipecat oleh parti bulan lalu.

Pada 8 Januari lalu, Hasan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor telah dipecat sebagai ahli Pas kerana didakwa tindakan-tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Hasan berkata, secara asasnya terdapat sembilan sebab utama keputusan muktamad itu dibuat, antaranya peranan parasit yang begitu menonjol di dalam parti sehingga kepimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia.

''Saya juga tidak pernah menerima surat, pesanan ringkas atau panggilan telefon meminta hadir khusus untuk memberi keterangan terhadap apa-apa pertuduhan yang dikenakan terhadap saya.

''Saya masih berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan segala-gala yang melibatkan saya telah selesai dalam pertemuan mahabbah di Kota Bharu pada 27 Disember tahun lalu,'' ujarnya.

Hasan berkata, antara sebab lain beliau enggan mengemukakan rayuan adalah kerana perjuangan Pas yang telah terkeluar daripada landasan asalnya apabila negara Islam, hukum hudud, kepimpinan ulama, persaudaraan dan akhlak Islam tidak lagi menjadi amalan dalam parti.

''Saya juga kerap kali mencadangkan agar Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Ini berikutan pendekatan 'akomodatif' yang diambil oleh parasit di dalam Pas telah membuatkan dasar parti terpaksa dikorbankan untuk menjaga dua rakan sekutu (DAP dan PKR),'' katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Hasan menegaskan program jelajah yang dilakukan ketika ini tiada kaitan dengan UMNO, sebaliknya ia dianjurkan oleh badan-badan sukarela dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''NGO-NGO tersebut dengan sukarela menganjurkan program-program tersebut kerana ia bertepatan dengan aspirasi dan cita rasa sebilangan besar rakyat negara ini.

''Setakat ini sambutan yang diberikan sama sekali di luar jangkaan. Rakyat pelbagai golongan membanjiri majlis-majlis diadakan. Di Bakri, Muar malam tadi dianggarkan 8,000 orang yang hadir.

Di Bukit Gantang, Perak sebelum ini, katanya, 8,000 rakyat yang hadir manakala secara purata jumlah kehadiran di dalam majlis serupa di beberapa kawasan di Selangor adalah antara 2,500 hingga 4,000 orang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive