Friday 25 April 2014

KERAJAAN PUSAT TAK PERNAH TOLAK HUDUD @najibrazak



Kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

“Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

“Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baharu dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di sini Khamis.

Katanya kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.

Najib berkata sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.

“Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan istiqomah memartabatkan syiar dan syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah yang bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.

“Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah dalam sistem pentadbiran negara (menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta).

“Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi teras dalam Islam. Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive