Sunday 9 September 2012

ADAKAH HARI NI HARI MALANG BUAT USTAZ NASHA ??



Hanya tinggal beberapa jam sahaja dari sekarang, Majlis Syura Ulama PAS akan bersidang untuk menentukan untung rugi nasib bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berikutan kenyataan kerasnya sekembali dari Mekah yang dianggap melanggar dasar parti.

Dalam kenyataan yang bersifat ultimatum itu, Ustaz Nasharudin telah meminta PAS mengkaji semula kedudukan dalam PR selepas DAP secara konsisten menolak dasar PAS yang mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud sebagai perundangan negara.

Sebelum itu, penyiaran gambarnya yang dilihat mesra dengan Perdana Menteri sewaktu pertemuan khusus dengan beberapa orang ulama Arab Saudi di Mekah juga telah menerima kecaman keras dari ramai pemimpin PAS dari kumpulan Anwarinas.



Antara komen yang agak pedas termasuklah dari Mursyidul Am PAS sendiri yang juga Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat yang secara terbuka menghalau Ustaz Nasharudin untuk segera keluar dari parti.

Berikutan kontroversi itu, Presiden PAS, Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat Lajnah Politik & Pilihanraya PAS Pusat selepas itu telah menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan muktamad berhubung perkara tersebut.

Sejak seminggu lepas, pelbagai usaha dan kempen secara terbuka dan berbisik hebat dijalankan oleh beberapa pihak dalam PAS untuk mempengaruhi pandangan ahli-ahli Majlis Syura agar mengikut telunjuk mereka.

Dilihat dari segi kempen dan kekuatan pengaruh ditambah pula dengan tekanan dari Nik Aziz sendiri yang cukup anti pada Ustaz Nasharudin, besar kebarangkalian senario 'gantung sampai mati' seperti yang menimpa bekas Naib Presiden PAS, Hasan Ali akan berulang kembali.

Walaupun sejak beberapa hari lalu, beberapa orang pemimpin 'ulama' PAS termasuklah Timbalan Mursyidul Am PAS, Haron Din kelihatan bertungkus lumus untuk mempertahankan hak Ustaz Nasharudin memberi pandangan yang berbeza, namun masih dilihat tidak cukup kuat untuk membendung pengaruh kumpulan Anwarinas yang didukung kuat oleh Nik Aziz.

Tambahan pula, jika sekiranya keputusan Majlis Syura memihak kepada Ustaz Nasharudin, impak buruknya agak menggoncang imej dan pengaruh Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS sekaligus akan memberi kesan besar dalam merobek kekuatan PAS di negeri Nik Aziz sendiri.

Menurut maklumat terbaru dari seorang pemimpin kanan PAS yang bersimpati dengan Ustaz Nasharudin, sedikit masa yang tinggal ini sebelum Majlis Syura bermesyuarat pada esok hari adalah terlalu panas, hangat dengan kempen-kempen yang agak melukakan hati.

Katanya lagi, seperti sudah tiada peluang kedua untuk Ustaz Nasharudin, ruang demokrasi dan keadilan seperti sudah tertutup dalam PAS. Kalaupun Ustaz Nasharudin terlepas dari hukuman pun, berkemungkinan beliau akan di 'peti sejukkan' begitu sahaja.

Jika benar seperti dikatakannya, maka jelaslah hari ini akan menjadi hari yang paling sial untuk Ustaz Nasharudin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive