Wednesday 1 February 2012

Ostad Jijan Terkena Badi Dr Hasan Ali

PADA bulan Ramadan tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak hanya menghantar wakil bagi menemui Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu menutup operasi pusat hiburan di negeri berkenaan sepanjang bulan suci tersebut.


Azizan dikatakan keberatan dengan tindakan sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP membantah langkah berkenaan.


Kini Azizan sekali lagi berhadapan dengan kontroversi apabila Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggantung lima mahasiswanya.


Tindakan Azizan yang juga Pengerusi KUIN dikatakan bertentangan dengan prinsip pakatan pembangkang yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).


Namun Azizan bertegas berhubung tindakan tersebut dan menganggap apa yang termaktub dalam Buku Jingga bukanlah al-Quran yang tidak boleh diubah.


Kenyataan Azizan itu dikatakan 'menyinggung perasaan' pemimpin-pemimpin PKR dan DAP yang selama ini menguar-uarkan 'buku' tersebut kononnya cukup baik bagi mengubah nasib rakyat negara ini.


Malahan di kalangan pemimpin Pas sendiri mereka juga resah dengan kelantangan Azizan kerana kenyataan dan tindakan beliau sejak kebelakangan ini akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti sekutu Pas itu tersinggung.


Berikutan kelantangan Azizan itu, beliau dilihat bagaikan 'duri dalam daging' kepada pakatan pembangkang berikutan ketegasannya.


Persoalannya, apakah Azizan yang sedang berhadapan dengan gerakan untuk menjatuhkan beliau daripada memimpin Kedah, mampu bertahan. Ia kerana Azizan dikatakan menjadi sasaran seterusnya untuk disingkirkan daripada Pas selepas Datuk Dr. Hasan Ali.


Namun apa yang pasti, 'bunga-bunga' untuk menyingkirkan beliau sudah ada dan hanya menanti masa yang sesuai sahaja bagi melaksanakan agenda tersebut.


Sumber dalaman Pas memberitahu penulis bahawa Azizan dilihat selari dengan Hasan dalam mempertahankan prinsip perjuangan.


''Azizan bukan pak turut, beliau tidak mahu mendengar arahan sama ada daripada DAP atau PKR. Jika beliau merasakan sesuatu itu perlu dilakukan, maka beliau akan lakukan.


''Sikap inilah yang tidak menyenangkan kepimpinan Pas kerana mereka bimbang ia boleh menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,'' kata sumber itu.


Selain itu, sumber itu juga mendakwa, Azizan turut tidak disenangi kerana dikatakan begitu tegas mempertahankan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Pas di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.


''Azizan mahu mempertahankan hak Pas dan tidak mahu PKR dan DAP mengambil kesempatan tetapi langkah ini tidak disenangi oleh kedua-dua parti tersebut.


''Oleh itu mereka sengaja mengungkit soal penggantungan mahasiswa KUIN berkenaan, ia sebenarnya isu lama sebab itulah Azizan mempersoalkan kenapa baru sekarang hendak diungkit,'' kata sumber tersebut yang cukup rapat dengan salah seorang pemimpin kanan Pas.


Sumber tersebut juga tidak menolak kemungkinan bahawa serangan terbaru ke atas Azizan adalah perancangan rapi dalam usaha menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar.


''Mereka sudah cuba lakukan sebelum ini ketika Azizan baru pulih daripada sakit jantung tetapi gagal,'' kata sumber tersebut lagi.


Bagaimanapun lebih daripada itu, sumber berkenaan yang merupakan daripada kumpulan pro ulama berkata, apa yang berlaku kepada Azizan adalah bermotifkan politik dengan matlamat menyingkirkan seorang lagi ulama berpengaruh dalam parti itu.


Semua itu berlaku kerana Pas tidak mahu ada mana-mana pemimpin ingkar dengan sebarang tuntutan mahupun permintaan daripada PKR dan DAP.


Lebih daripada itu, Azizan juga dilihat 'tidak sebulu' dengan perjuangan politik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi idola kepada sebahagian besar pemimpin dan pengikut Pas.


''Dalam Pas kalau hendak selamat, jangan ingkar apa yang PKR dan DAP mahu serta perlu patuh kepada apa yang Anwar kata,'' kata sumber tersebut.


Malahan sumber itu mendakwa sudah ada perancangan untuk memastikan, kalau pun Azizan bertanding di dalam pilihan raya umum akan datang, beliau tidak akan dipilih lagi menjadi Menteri Besar Kedah jika pakatan pembangkang terus berkuasa.


Ia kerana Pas mungkin akan tunduk kepada desakan PKR dan DAP yang semakin tidak selesa dengan corak politik Azizan.


Selain itu, di kalangan penyokong Pas sendiri mereka mempertikaikan kelantangan Azizan dan menganggap sikap seumpama itu tidak akan menguntungkan politik Pas dalam pakatan pembangkang.


Malahan mereka menganggap Azizan terlalu baik dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta bersikap seperti dialog filem Ombak Rindu, ''Reda Itu Ikhlas; Pasrah itu Menyerah".


Berikutan itu, sudah ada desakan supaya Azizan dikenakan tindakan kerana dilihat tidak sehaluan dengan perjuangan Pas dan pakatan pembangkang.


Beliau dikatakan akan dipanggil untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat tidak lama lagi.


Inilah sikap Pas sekarang, selepas prinsip perjuangannya digadaikan, parti itu bersedia pula mengorbankan satu demi satu pemimpinnya yang dilihat tidak sehaluan dengan kerjasama yang disepakati bersama PKR dan DAP.


Walaupun ada pemimpin kanan parti itu mendakwa Azizan tidak akan menerima nasib seperti Hasan yang dipecat oleh parti, namun andaian bahawa beliau akan 'disingkirkan' secara terhormat tidak boleh dipandang remeh.


Ia memandangkan Pas sudah tidak ada keberanian untuk mempertahankan pemimpin yang berprinsip. Mereka hanya bertahan seketika sahaja tetapi apabila desakan dan tekanan dilakukan oleh PKR dan DAP sudah pasti pemimpin itu akan 'dikorbankan'.


Inilah juga yang berlaku kepada Hasan, jika sebelum itu beliau dibela habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas, namun mereka hanya diam membisu dan menyokong keputusan parti memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu biarpun langkah tersebut dilakukan atas desakan PKR.


Apa pun, kontroversi yang berlaku sekali lagi meletakkan rakyat Kedah dalam dilema, sudahlah mereka dikatakan tidak menikmati apa-apa faedah di bawah pemerintah Pas, kini Menteri Besarnya pula berhadapan dengan masalah.


Mungkin Azizan sedang melalui 'fasa badi' kerusi panas Menteri Besar Kedah yang menyaksikan penyandang jawatan berkenaan sentiasa turun dalam keadaan kontroversi.


Kita tidak pasti sama ada Azizan akan mampu bertahan atau tidak, tetapi apa yang pasti kedudukan Azizan bukannya digugat oleh orang luar Pas tetapi di dalam Pas sendiri.


Namun begitu, ini tidak bermakna Azizan perlu tunduk kepada tekanan apatah lagi jika ia datang daripada PKR dan DAP.


Azizan perlu istiqamah dalam mempertahankan prinsip dan keputusan yang dibuat, bukannya berubah fikiran akibat 'sindrom pak turut' yang melanda Pas. Jika Azizan disingkirkan, maka terlaksanalah satu lagi agenda bagi 'mengurangkan' pengaruh ulama di dalam Pas.


Segala-galanya kerana keakraban Pas dengan PKR dan DAP ibarat salah satu adegan Aaron Aziz dan Maya Karin berpeluk erat dalam filem Ombak Rindu.


Published with Blogger-droid v2.0.2

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive