Monday 16 June 2014

120 RIBU TANAH TERBIAR AKAN DIBANGUNKAN @Ismailsabri60




Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani mengenal pasti sejumlah 120,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara yang berpotensi untuk dibangunkan dengan projek pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebahagian besar daripada tanah itu dimiliki orang perseorangan dengan kebanyakan pemiliknya telah pun meninggal dunia dan ia terbiar sejak berpuluh tahun yang lepas.

"Kementerian dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKK), Pejabat Tanah, Pejabat Daerah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) kini sedang giat mengesan pemilik dan pewaris yang terlibat dan ada juga yang telah berjaya dihubungi.


"Kesemua tanah ini kemudian akan diserahkan kepada kepada PPK atau pihak swasta untuk dimajukan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-37 PPK Bera di Kerayong hari ini.

Sementara itu, beliau berharap PPK dapat memain peranan menjadi mata dan lidah kerajaan untuk menyampaikan maklumat tentang usaha kerajaan memperkasakan bidang pertanian termasuk pemberian kemudahan pinjaman kepada golongan petani di negara ini.

Ini kerana, katanya banyak kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan tidak sampai kepada golongan berkenaan kerana mereka tidak mengetahui tentang perkara itu.

Dalam majlis berasingan selepas itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sebanyak RM25 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Pertanian (PPP) Parlimen Bera dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Katanya, ia merangkumi projek tanaman sayur, herba, ternakan ikan sangkar serta lembu dan kementerian telah mengenal pasti petani aktif di kawasan itu yang akan dilibatkan dalam projek berkenaan.

"Sebagai permulaan, 200 ekor lembu sudah diagihkan kepada penternak di sini sebagai modal awal untuk mereka meneruskan kegiatan penternakan bagi mencapai matlamat PPP Parlimen Bera.

"Selain penternakan lembu, kita juga menggalakkan kegiatan penternakan ikan sangkar moden untuk meningkatkan lagi pengeluaran ikan sangkar yang kini mendapat permintaan yang semakin tinggi," katanya.

Ismail Sabri berkata pada masa kini terdapat 57 penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dan jumlah itu dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive