Tuesday 26 February 2013

Buat Laporan SPRM Jika Rasa Ada Penyelewengan Kerajaan Terdahulu - Mahdzir Khalid




Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta Suara Anak Muda Kedah (Bongkar) 403 juta membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka rasa ada penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.

Beliau berkata Bongkar 403 juta sepatutnya meminta SPRM melakukan siasatan supaya perkara itu dapat diselesai dan bukan mengadakan sidang akhbar serta mengumumkan kepada rakyat.

"Ia adalah satu usaha untuk memperlekeh atau memberi gambaran yang tidak baik kepada orang ramai seolah-olah berlaku satu penyelewengan dan menggambarkan bahawa kerajaan yang sebelum ini tidak pandai tadbir negeri," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Baru-baru ini, Bongkar 403 juta mendakwa berlaku penyelewengan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Kedah.

Dalam pendedahan itu, Pengerusi Bongkar 403 juta Mohd Firdaus Jaafar berkata 11 penyelewengan BN di Kedah sebelum ini mengakibatkan rakyat negeri tersebut terpaksa menanggung hutang sebanyak RM403 juta.

Mahdzir turut menafikan berlaku penyelewengan seperti didakwa dan berkata ia adalah pembohongan liar untuk mencari isu bagi pilihan raya.

Beliau merujuk satu projek yang didakwa berlaku penyelewengan iaitu usaha sama sebuah syarikat swasta iaitu Teramoda dengan Kedah Corporation bagi membangunkan sebuah padang golf.

"Padang golf tu tanah milik kerajaan. Syarikat tersebut bawa duit kepada kita, tetapi Bongkar telah mengatakan bahawa kita kerugian sebanyak RM49 juta. Di mana yang ruginya RM49 juta tu? Adakah negeri dah jual tanah kepada Teramoda dan Teramoda dah jual tanah tu kepada orang lain?

"Kalau Teramoda jual tanah tu kepada pihak lain, itulah yang dikatakan rugi. Rugi yang digambarkan oleh mereka itu hanyalah atas kertas sahaja sebab Teramoda tak membayar premium kepada kerajaan negeri RM36 juta, jadi kerana Teramoda tak membayar premium, mereka dah ambil kira kata rugi," katanya.

Mahdzir juga berkata kumpulan itu sengaja menjadikan perkara tersebut satu isu kerana jumlah RM403 juta berkenaan dikumpul daripada pentadbiran empat bekas Menteri Besar iaitu Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan beliau sendiri.

"Kita nak cakap pun kena tengok fakta la... Kita hidup di zaman yang bertamadun, pemikiran yang moden dan perlu fikir secara waras. Ia akan menimbulkan kebencian kepada orang awam," katanya.



-- BERNAMA


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive