Thursday 14 August 2014

#SidangDunKedah !! PENGGULUNGAN TITAH UCAPAN KDYMM TUANKU SULTAN KEDAH OLEH YAB DS @MukhrizMahathir



Penggulungan Titah Ucapan KDYMM Tuanku Sultan kedah oleh YAB

DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN DR. MAHATHIR

MENTERI BESAR KEDAH

Sempena Persidangan pertama dewan undangan negeri kedah penggal kedua



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh,

Salam sejahtera,

Salam 1Malaysia dan

Salam Kedah Aman Makmur.

Yb Dato’ Paduka Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan,

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan inayahnya, membolehkan kita hadir di dewan yang mulia ini untuk persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Kedah.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih ke atas ke bawah D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah di atas titah ucapan baginda. Segala titah pandangan, cadangan dan nasihat bernas ke bawah D.Y.M.M Tuanku Sultan itu, sudah tentu saya jadikan asas dan panduan bagi memajukan negeri Kedah selaras dengan kedudukannya sebagai negeri aman dan makmur.



3. Kesemua yang dititah itu dilihat sebagai titah ikhlas berniat baik yang datangnya atas harapan untuk mendorong penambahbaikan, bukan datangnya kerana rasa kecewa atau tidak puashati dengan prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri yang sediada sepertimana yang cuba digambarkan oleh media tertentu.

3. Bagi pihak pimpinan negeri dan seluruh rakyat negeri Kedah, saya mendoakan, agar ke bawah D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah dan D.Y.M.M Sultanah Hamimah ....... Sultanah Kedah mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah s.w.t, diberi kesejahteraan, dipanjangkan umur dan dilimpahi kesihatan yang baik setiap masa.

4. Dalam dewan yang mulia ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, Tunku Temenggong Kedah, di atas kesudian merasmikan sidang dewan pagi kelmarin.

5. Junjungan kasih juga saya panjatkan kepada YTM Tunku Hamid Thani ibni almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Negeri Kedah dan YTM Tunku Intan Shafinaz binti Sultan Abdul Halim Shah, Tunku Panglima Besar negeri Kedah di atas kesudian berangkat di istiadat perasmian pembukaan sidang dewan penggal ke-2 kelmarin.

YB Dato’ Paduka Speaker,

6. Pada kesempatan ini saya bagi pihak kepimpinan negeri dan rakyat Negeri Kedah turut mengucapkan takziah di atas kemangkatan Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, pada Rabu, 21 Rejab 1435 hijriah bersamaan 21 haribulan Mei 2014 masihi, yang lalu. Almarhum Tunku telah banyak memberi sumbangan bermakna kepada negeri Kedah. Marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

7. Saya mengajak semua ahli Yang Berhormat untuk membacakan al-fatihah dan bertafakur; Al fatihah.

Terima kasih.

8. YB Dato’ Paduka Speaker, saya juga ingin merakamkan takziah kepada waris dan kaum keluarga MH17 dan berdoa semoga Allah memudahkan segala usaha pencarian MH370. Segala ini merupakan dugaan yang ditentukan oleh Allah seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

“demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar”.

9. Demikian juga menurut Ibnu Kathir yang menjelaskan,

“dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah swt. Allah swt berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-nya.”

10. Namun apa yang menyedihkan, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan dan memanipulasi fakta demi kepentingan peribadi mereka. Seelok-eloknya janganlah ada pihak yang menangguk di air yang keruh. Marilah kita bersama-sama bersimpati dengan keluarga yang berhadapan dengan dugaan seperti ini.

YB Dato’ Paduka Speaker,

11. Selaku ketua kerajaan Barisan Nasional negeri, saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Kedah kerana telah memberi kepercayaan kepada kami untuk menerajui kepimpinan negeri semenjak 15 bulan yang lepas. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. Kami akan melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebaik-baiknya demi kepentingan dan kemakmuran seluruh warga Kedah Darul Aman dan Malaysia, amnya.

12. Bermula dari hari itu, saya dan rakan-rakan kepimpinan BN negeri, telah turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negeri bagi bertemu rakyat untuk mengenal pasti segala keperluan dan masalah yang mereka hadapi. Alhamdulilah penerimaan rakyat itu menjadi pembakar semangat untuk kami terus berusaha dengan gigih tanpa mengenal erti jemu dan lelah demi menjadikan Kedah sebagai negeri pilihan utama di Malaysia untuk didiami, bekerja, melabur, beriadah dan membina keluarga.

YB Dato’ Paduka Speaker,

15. Izinkan saya untuk berkongsi satu petua amanah kepemimpinan, seperti yang disebut oleh pujangga Melayu:

Bertuah ayam ada induknya

Bertuah serai ada rumpunnya

Bertuah rumah ada tuanya

Bertuah kampung ada penghulunya

Bertuah negeri ada rajanya

Bertuah imam ada jemaahnya

YB Dato’ Paduka Speaker,

16. Dalam tempoh lebih satu tahun Barisan Nasional kembali memegang teraju pentadbiran negeri Kedah, kita telah berjaya menyusun semula sistem pentadbiran negeri dengan berhemah. Semuanya itu adalah usaha untuk memenuhi janji dan ikrar kita untuk melicinkan pentadbiran negeri bagi menyampaikan dan melaksanakan segala rancangan pembangunan dan sekaligus membawa kemajuan yang diharapkan oleh rakyat.

17. Bagi saya, negeri Kedah, perlu disiap sediakan untuk menghadapi pelbagai cabaran dan suasana di luar jangka. Kita perlu bersedia dan berani berubah, serta melakukan lonjakan kuantum, dengan izin, (quantum leap) untuk menghadapi tuntutan perubahan masa depan dan global yang sedang dan akan dihadapi oleh anak cucu kita.

18. Sehubungan dengan itu sukacita saya nyatakan di sini bahawa kerajaan Kedah telah berjaya merencanakan dan melaksanakan perubahan tersebut berlandaskan prinsip-prinsip lautan biru, seperti berikut;

. mengurangkan kerenah birokrasi,

. menghapuskan prosedur jumud,

. mewujudkan pentadbiran telus, beretika dan berintegriti tinggi, dan yang akhirnya

. menambah peluang pembangunan insan.

19. Kita amat meyakini keempat-empat prinsip ini akan melonjakkan kecekapan, pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam negeri Kedah. Pencapaian kearah itu sedang didukung oleh penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang telah dilancarkan dengan menggabungkan perkhidmatan awam dan swasta serta melibatkan pelbagai kluster jabatan keselamatan, kesihatan, perkhidmatan, kewangan, pembangunan belia dan pendidikan di dalam satu kompleks demi kemudahan dan kesenangan rakyat untuk berurus dengan kerajaan walaupun hingga lewat malam dan pada hari minggu.

YB Dato’ Paduka Speaker,

Untuk memastikan proses pembaharuan dan transformasi pentadbiran terus berkekalan dan mantap maka saya telah menubuhkan satu jabatan khas yang dikenali sebagai jabatan integriti dan tadbir urus - JITU. JITU bertindak selaku pendokong untuk meningkatkan tahap kesedaran kakitangan awam terhadap pelbagai elemen ketidak cekapan yang merugikan kerajaan dan salah laku dalam pentadbiran, khususnya salah guna kuasa dan rasuah.

22. Hakikatnya, bilangan penjawat awam kita akan meningkat saban tahun. Justeru, visi utama JITU adalah untuk menjadi satu agensi penggerak, pengawal dan pemantau keutuhan tadbir urus dan budaya integriti dalam perkhidmatan awam negeri Kedah Darul Aman. JITU berfungsi untuk menerapkan budaya kerja unggul yang selaras dengan standard prosedur, dasar-dasar, peraturan dan perundangan yang ditetapkan untuk menghasilkan, dengan izin, output dan outcome yang optima.

YB Dato’ Paduka Speaker,

23. Kerajaan negeri sedar bahawa kita perlu mengorak langkah untuk lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan persekutuan. Dalam hal ini kita telah merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang penting, pembangunan infrastruktur, sumber manusia dan juga industri kecil dan sederhana (SME).

24. Dari sudut infrastruktur, kerajaan negeri dan agensi Persekutuan telah meningkatkan perbelanjaan untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing datang beroperasi di Kedah. Contohnya, perbelanjaan berjumlah hampir RM100juta untuk pembangunan zon industri fasa ke-4 di Taman Teknologi Tinggi Kulim kini telah hampir siap.

24. Ternyata usaha Kerajaan Negeri telah membuahkan hasil apabila nilai pelaburan domestik dan asing pada suku pertama 2014 di Kedah bernilai RM4bilion dan mewujudkan lebih dari 3,000 peluang pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi. Ingin saya jelaskan disini bahawa angka2 yg kita perolehi dari MIDA ini adalah angka pelaburan sektor pembuatan. Lazimnya ianya tidak melibatkan sektor perkhidmatan termasuk pembinaan hotel sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau tanya dimanakah MIDA mendapat angka2 pelaburan kerana kononnya angka pelaburan Pulau Pinang dilihat terlalu rendah kerana tidak ambilkira pembinaan enam hotel yang dikatakan mempunyai GDV bernilai RM693juta dari 2014-2017, dan pelaburan GLC Singapura Temasek Holdings dalam Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM11.3bilion!

KM Pulau Pinang sepatutnya tahu bahawa angka pelaburan yang dilaporkan MIDA hanyalah dalam pelaburan sektor pembuatan, tidak termasuk angka sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan perbankan, dan juga sektor perlombongan, dan mengikut suku atau tahun pelaburan itu diluluskan. Kalau nak kira pelaburan hotel, di Langkawi sahaja sudah diluluskan projek2 bernilai lebih RM12 bilion. Maka Kedah tetap menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menarik pelaburan.

Disini ingin saya menyentuh sedikit mengenai isu penjualan syarikat fabrikasi wafer tempatan iaitu Silterra yang beroperasi di KHTP. Walaupun saya faham tekanan kewangan yang dihadapi oleh pihak Khazanah yang walaupun telah melangsaikan sukuk berkait dengan Silterra bernilai RM4.5bil, dan kelangsungan operasi kilang teknologi tinggi seperti ini melibatkan belanja sebanyak berbilion ringgit setiap beberapa tahun, saya masih rasa terlalu berat untuk melepaskan kepentingan Malaysia kepada negara asing dalam syarikat "home grown" kebanggaan kita ini. Maka saya setuju jika Khazanah dapat pertimbangkan semula hasrat penjualan Silterra kepada pihak asing.

YB Dato Paduka Speaker,

26. Iktibar daripada pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kulim dan mengambil kira maklum balas pemain-main industri maka saya sedang usahakan penubuhan Taman Sains dan Teknologi Kedah. Kerajaan negeri telah meluluskan sebidang tanah seluas 1800 ekar di Bukit Kayu Hitam untuk tujuan ini. Di sini, penekanan khas diberikan kepada pembangunan industri dan perkhidmatan sokongan mengikut kluster-kluster tertentu. Lokasi strategiknya yang bersempadanan dengan Thailand merupakan satu kelebihan yang menarik pelabur.

27. Satu lagi inisiatif kerajaan negeri ialah untuk membangunkan bandar sains perubatan kedah, dengan izin Kedah Medical Science City, di sebidang tanah seluas 660 ekar di Bandar Baharu. Kluster ini pula mengambil kesempatan ke atas industri elektronik dan elektrikal yang sedia wujud di kawasan sekelilingnya.

28. Kedua-dua buah projek yang saya nyatakan tadi adalah bagi menyahut titah Tuanku yang menyarankan agar kerajaan mementingkan perlaksanaan perancangan jangka panjang. Kerajaan berusaha untuk mewariskan kepada generasi akan datang pembangunan ekonomi yang lestari dan mapan. Nasihat Tuanku supaya perancangan kerajaan tidak bertujuan untuk meraih populariti jangka pendek ditaati sepenuhnya.

YB Dato’ Paduka Speaker,

29. Selaras dengan akujanji kerajaan dalam pilihan raya yang lepas maka pembinaan rumah-rumah mampu milik dan kos rendah menjadi tumpuan utama perancangan dan pembangunan demi keselesaan rakyat. Menyedari hakikat ini kerajaan negeri Kedah telah mengenal pasti tapak-tapak milik individu atau kerajaan yang bersesuaian untuk membangunkan tidak kurang dari 6000 unit rumah mampu milik dan kos rendah setahun, setiap tahun, sehingga tahun 2018. Skim perumahan rumah mampu milik (RMM), Projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) dan Program Perumahan Rakyat akan terlaksana melalui dasar kerajaan negeri untuk memastikan setiap keluarga memiliki sebuah rumah.

Skim ini akan menumpukan perhatian terhadap golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Justeru, pada tahun 2013 sahaja 6,698 buah rumah telah berjaya dibina dan pada tahun ini 9,100 buah rumah lagi sedang dan akan didirikan. Dengan pencapaian yang membanggakan ini, kami yakin sasaran pembinaan 40,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah sehingga tahun 2018 akan tercapai.

30. Kewujudan rumah mampu milik dan kos rendah yang selesa ini, diharapkan dapat menghindarkan masalah sosial yang pelbagai.

31. Pada zaman moden ini pembinaan prasarana dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah amat asasi. Kedah tidak boleh ketinggalan dalam pembangunan ICT seiring dengan tuntutan terhadap kemudahan capaian komunikasi jalur lebar di bandar dan luar bandar.

32. Untuk tujuan itu kerajaan telah membina sebanyak 33 Pusat Internet 1Malaysia, 7 buah pusat Jalur Lebar Komuniti, 17 Perpustakaan Jalur Lebar, 253 buah kampung tanpa wayar dan 290 buah lokasi Projek WIFI 1Malaysia. Walaupun kita akui terdapat serba sedikit masalah penyelenggaraan di sana sini, tetapi kerajaan negeri sedang mengatasinya.

Kerajaan telah menyediakan kemudahan ICT ini. Tapi malangnya sebilangan kecil pengguna telah menyalah gunakan dengan mengeluarkan kenyatan biadap, malah DYMM Tuanku. agong juga tidak bebas dari penghinaan melalui media sosial. Saya menyeru setiap ahli dewan tidak kira kawan mahupun lawan bertindak lebih proaktif dalam menangani isu ini)

33. Kerajaan telah melaksanakan projek pembinaan menara telekomunikasi di kawasan-kawasan tidak bernilai komersial. Juga untuk melengkapkan pembangunan ICT maka kerajaan telah meluluskan Projek Kedah Digital Transformation Centre (KDTC) di UTC Kedah. Antara matlamat penubuhan KDTC ini adalah berperanan sebagai medium pembangunan insan, termasuklah meningkatkan kemahiran insaniah, kepimpinan dan tekno keusahawanan. Pusat ini juga akan memberi latihan dan kemahiran ICT kepada golongan sasar khususnya belia.

YB Dato’ Paduka Speaker,

34. Kerajaan negeri telah mengambil iktibar daripada kemusnahan harta benda dan hasil pertanian akibat dari bencana banjir yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Maka projek rancangan tebatan banjir (RTB) menjadi salah satu agenda utama kerajaan. Dengan adanya projek ini beribu-ribu hektar tanah pertanian boleh diselamatkan, secara tidak langsung boleh meningkatkan ekonomi setempat serta memberikan keselesaan dan kemakmuran pada para penduduk.

YB Dato’ Paduka Speaker,

35. Berdasarkan kepada pengalaman saya sewaktu menuntut di Jepun pada satu ketika dahulu, saya melihat aspek kebersihan merupakan sesuatu yang amat dititik beratkan demi kesejahteraan rakyat. Oleh kerana itu, untuk menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur, Kedah telah menyelesaikan isu buangan domestik dengan jayanya. Kalau dulunya longgokan sampah kelihatan di merata tempat dan longkang di kawasan perumahan jarang sekali dibersihkan, kini lori sampah kerap beroperasi dan saliran air semakin lancar hasil dari kerja-kerja pembersihan secara berkala. Natijahnya, ini menyumbang kepada pengawalan merebaknya penyakit seperti denggi.

YB Dato’ Paduka Speaker,

36. Salah satu sektor ekonomi yang berpotensi tinggi di Kedah ialah pelancongan. Sedar atau tidak khazanah dunia yang teramat tinggi nilainya terletak di Kedah. Tamadun Kedah Tua di Sg Batu adalah warisan tinggalan yang teragung dan terunggul di rantau ini yang perlu kita ketengahkan. Melihat kepada potensi ini kerajaan negeri sedang membangunkan warisan-warisan ini dari dua sudut utama. Yang pertama sebagai tarikan pelancongan yang dapat menjana pendapatan lumayan kepada negeri. Kedua, sebagai tunjang kepada pembentukan jati diri yang telah bertapak dan berkelangsungan selama ribuan tahun. Inilah intisari jatidiri Kedah.

37. Berlandaskan kepada intisari tamadun Kedah yang panjang ini, maka kerajaan sedang dan akan mengkaji dengan lebih mendalam segala butiran yang sahih untuk membina pengetahuan bagi pendidikan pelbagai lapisan masyarakat khususnya belia. Dengan kerjasama pelbagai institusi akademik dan latihan, maka kita sedang membentuk modul-modul sebagai landasan mendidik generasi muda dan mendedahkan kepada mereka keagungan sejarah dan tamadun mereka bagi melahirkan rasa bangga sebagai rakyat Kedah.

38. Kerajaan negeri merasa bertanggungjawab untuk menyedarkan semua golongan rakyat tentang kewujudan sejarah tamadun Melayu yang menjangkau ribuan tahun dan Kedah adalah satu-satunya negeri yang mempunyai khazanah ini.

YB Dato’ Paduka Speaker,

39. Untuk meningkatkan kualiti dan kemakmuran hidup, Kerajaan negeri sentiasa memikirkan kaedah transformasi pembangunan modal insan. Kerajaan merencanakan modal insan berdasarkan 4 bidang iaitu; agama, sains, kemahiran dan kemahiran bertaraf tinggi. Sebagai contoh, modal insan berteraskan agama, iaitu mewujudkan pondok moden Nahdzah. Kita menyedari betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat, kerana pembangunan modal insan tidak hanya tertumpu kepada golongan muda sahaja malahan golongan warga emas juga tidak dipinggirkan. Dengan adanya pondok moden ini, membolehkan golongan tua selesa menikmati kemanisan ilmu di kawasan yang lebih teratur dan kondusif.

YB Dato’ Paduka Speaker,

41. Ahli-ahli Yang Berhormat apabila saya menghayati titah Tuanku pada 11hb yang lepas, antara mesej yang paling penting yang disentuh ialah mengenai perpaduan. Pada pandangan Tuanku ikatan perpaduan dinegara kita dilihat semakin longgar. Sebagai pemimpin negeri saya tidak boleh mengelak dari memahami isi hati ke bawah Duli Tuanku. Malah masalah ini semakin tidak terkawal sehinggakan baginda Tuanku juga tidak terlepas dari tohmahan dan penghinaan. Tentu sekali Ahli-ahli Yang Berhormat turut merasa bimbang dengan perkembangan ini dan tertanya-tanya apakah kesudahannya sekiranya tiada tindakan susulan yang dilakukan.

42. Kebawah Duli Tuanku juga bertanya apakah mungkin sistem pendidikan yang kita amalkan tidak cukup untuk memupuk perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Sambil kita mengiktiraf kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan, mungkinkah sudah tiba masanya kita memperkasakan sekolah kebangsaan sehingga boleh diterima oleh setiap golongan masyarakat dan menyumbang kepada pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.

Disini saya ingin menyahut cadangan yang telah dikemukakan dalam sidang dewan ini agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan apa jua saluran untuk mengeluarkan kata2 kesat tanpa mempedulikan sensitiviti agama, kaum dan lain2.

Saya amat berterima kasih kepada semua ahli2 DUN Kedah kerana berbahas sepanjang penggal ini dan setahu saya dipenggal2 sebelum ini juga dalam keadaan yang berhemah, tidak bertelingkah dengan lontaran cemuhan atau carutan, sebaliknya menjaga keharmonian dan patuh peraturan2 mesyuarat. DUN Kedah menjadi dewan yang perlu dicontohi oleh beberapa negeri2 yang lain dimana kerap berlakunya kekecohan sewaktu persidangan

43. Marilah kita sama-sama mendukung titah ke bawah Duli Tuanku dengan menjaga perpaduan demi kelangsungan kemakmuran rakyat dan negeri Kedah. Berbeza ideologi politik bukan alasan untuk memutuskan tali silaturrahim. Negeri ini dibina atas batu asas toleransi. Maka janganlah kita musnahkan asas yang terbina itu. Malah pihak kami terbuka untuk berdialog dengan pihak sana untuk melihat bagaimana kita boleh bekerjasama tidak sebagai Kerajaan dan pembangkang, tetapi sebagai rakan kongsi yang bergerak sederap dan seiring semata2 untuk melonjakkan kepentingan negeri Kedah Darul Aman lebih kehadapan.

Minal Aiddil wa Faizin..Kul Lul Am Wa Antum Bi Khair

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf dzahir dan batin.

YB Dato’ Paduka Speaker,

44. Saya turut menyokong usul menjunjung kasih kepada YTM Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah atas titah ucapan sempena perasmian pembukaan DUN Kedah DA bagi penggal kedua DUN Kedah yang ke 13.

Wabilahi taufiq wal hidayah,

Wassalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh

3 comments:

Anonymous said...

SYUKUR ALHAMDULILLAH kuasa EKSEKUTIF DYMM Yang di-Pertuan Agong dan seluruh Kesultanan Melayu, makin diKEMBALIKAN mengikut Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara-Perkara 3(1), 37(1), 153 dsbnya - terutamanya kat negeri-negeri bawah pemerintahan RASIS-BUAS si KAPIRDAJAL DAPBANGKAI/PKRSODOM! DAULAT TUANKU!

Dah tiba masanya diTENTANG habis-habisan PENIPUAN legasi PENJAJAH Barat-ZIONIS melalui undg-undg sivil ciptaan mereka, yg. seolah lebih berkuasa dari undg-undg ISLAM pusaka nenek moyang kita serta kuasa EKSEKUTIF Kesultanan Islam/Melayu kita, sbg. pemerintah asal NEGARA ISLAM ini, sebelum kita diJAJAH si KAPIRDAJAL British-ZIONIS-BINATANG BUAS!

Lihat artikel yg. sungguh BERNAS ini yg.membuktikan tentang Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di bawah kuasa DYMM YDPA/Kesultanan Melayu sbg. Ketua/Penjaga Agama Islam, lebih berkuasa dari K'jaan negeri/K’jaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan pun! Dan artikel yg. sungguh BERNAS ini juga membuktikan begitu jelasnya PENGIKTIRAFAN pelansongan kuasa EKSEKUTIF Raja/Sultan Melayu (Executive Monarchy - walau tidak mutlak) dari semasa PENJAJAHAN British-ZIONIS pun; hingga semasa Perlembagaan Persekutuan digubal, bukan sekadar “Hiasan/Simbol Adat“ (Ceremonial Monarchy), terutamanya dlm. MEMPERTAHANkan ISLAM/umatnya – sepatutnya PENASIHAT-PENASIHAT mcm Haji Mahamad Naser bin Disa, Peguam Kanan Persekutuan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dewan Amal Islami (DAMAI) - di lantik sbg. PENASIHAT TULEN dlm MT UMNO, Utusan Melayu dan JPM (ketiganya yg. disyaki sudah dikuasai si LIBERAL-plg-merbahaya) – lihat di https://akarimomar.wordpress.com/tag/perlembagaan-persekutuan/ , Hijrah Minda: Agenda Transformasi Islam , Haji Mahamad Naser bin Disa[1], 7 April, 2012!

Bahkan KUASA EKSEKUTIF Kesultanan ISLAM/Melayu, yg. mendaulatkan PELANSUNGAN turun temurun, PEMERINTAHAN ISLAM di Tanah Melayu ISLAM ini, juga adalah ASAS undg-undg Perlembagaan, tak kira siapa pun menjadi K’jaan Persekutuan mahupun K‘jaan negeri; di - http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/melayu-islam-beraja-mib.html , 7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU!

Makcik Sambal Belacan – PERTAHAN Kesultanan Melayu (yg. berjuang demi ISLAM/umatnya yg. miskin-tertindas), Bahasa Melayu, hak BANGSA BUMIPUTERA Melayu dan BUMIPUTERA lain; dan hak orang miskin dari semua bangsa yang hormat ISLAM, dan bangsa dan hak Bumiputera (BUMIPUTERA juga bermakna Pribumi/Orang Asal-Asli/Indigenous/Native/Aboriginal/First Nation peoples/Tribal peoples).

Anonymous said...

Maka YB DS Mukhriz mesti pastikan PEMBANGUNAN di Kedah, negeri ISLAM kita yg. kuat, tidak MENGGADAIkan ISLAM serta hak/identiti umatnya - terutamanya dlm. sektor pelancungan di Pulau LANGKAWI, yg. penuh SEJARAH murni Islam/Melayu, PUSAKA nenek moyang kita!

Makcik Sambal Belacan.

Anonymous said...

Lim Guan Eng cuba menipu lagi, sebenarnya pelaburan dari Temasek Holdings sebanyak RM11.3 Billion menggunakan tanah PDC sebagai sandaran. PDC menyerahkan tanah kepada Temasek sebagai sumbangan kapital. Temasek akan membangunkan service condominium diatas sebahagian tapak pejabat PDC sekarang (pejabat PDC sekarang akan dirobohkan)dan hasil jualannya akan digunakan untuk membina bangunan pejabat dll. Jadi sumbangan capital injection oleh Temasek adalah amat minima sekali kerana Service Condominium boleh dijual seperti pisang goreng panas di Bayan Baru, Pulau Pinang dan tuntutan kepada pembeli boleh dibuat sebelum pembinaan (bagi setiap fasa pembinaan kerana pembangunan commercial) . Pendek kata Temasek dari Singapura menggunakan tanah PDC untuk mengaut kekayaan di Malaysia. Kenapa peluang ini tidak diberi kepada pemaju dari Malaysia. Pemaju dari Malaysia pun berupaya membina Grade A offices seperti yang kita dapat lihat di Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, projek yang dicadangkan ini hanya di atas kertas dan figure RM11.3 Billion yang disebut hanyalah khayalan Guan Eng. Guan Eng telah menyerahkan Pulau Pinang untuk diliwat oleh Singapura.

Saya minta pemilik blog sampaikan perkara ini kepada DS Mukhriz

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive