Tuesday 7 January 2014

KERAJAAN KEDAH PERTIMBANG GUNA SEMULA PROTON PERDANA



Kedah bakal mengikut langkah kerajaan pusat apabila bercadang menukar kereta rasmi kerajaan negeri bagi kegunaan exco kepada Proton Perdana yang baharu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kereta itu bakal menggantikan kereta rasmi sedia ada, iaitu Toyota Camry, yang dibeli pada 2010 oleh kerajaan terdahulu.

“Kita sedang nantikan maklumat terperinci berhubung kelebihan menggunakan Proton Perdana baharu daripada pihak Proton.



"Kerajaan pusat sebelum ini memberi pertimbangan positif dan Kedah juga akan mempertimbangkan,” katanya, ketika ditemui, selepas perjumpaan bulanan bersama warga kerja Wisma Darul Aman yang pertama bagi tahun ini, semalam.

Menurutnya, pihaknya yakin ia suatu pilihan yang tepat kerana kereta rasmi kerajaan negeri digunakan setiap masa dan memerlukan kenderaan yang berkualiti.

“Tentunya kereta ini dapat memenuhi keperluan exco untuk turun padang ke pelosok negeri dan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi. Ini juga antara inisiatif kita bahawa kereta buatan Malaysia juga berkualiti tinggi dan harus menjadi kebanggaan,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan, menampilkan dua varian, iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Mengenai Toyota Camry sedia ada, Mukhriz berkata, kereta itu akan dijual kepada bekas-bekas exco.

“Perkara ini sudah diputuskan atas permintaan mereka yang mahu membeli kereta itu dan kita bersetuju,” katanya.

Namun, Mukhriz belum menetapkan tempoh tertentu untuk membuat pembelian kereta baharu itu.

“Apabila proses menggantikan kereta selesai, baru kita akan jual Toyota Camry itu. Saya tidak pasti bila, tunggu selesai proses pembelian dulu,” katanya.

Kerajaan PR Kedah membeli lima kereta Toyota Camry untuk kegunaan exco dan pegawai kanan pada Julai 2010, bagi menggantikan kereta rasmi, Proton Perdana V6 Eksekutif yang tidak lagi ekonomik digunakan kerana kerap rosak dan kos membaiki yang tinggi.

Pembelian lima kereta Toyota Camry dan empat kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu mencecah RM1.2 juta.

1 comment:

Unknown said...

Rasanya tak payahla ditukar dulu. Camry yg ada pun baru 3 tahun. kalau dijual pun susut nilainya tentu banyak. Kalau dijual kpd exco lama dah tentu diskaunnya lagi banyak.

Kalau MB perihatin dengan masaalah rakyat pakai dulu Camry tu hingga 5 tahun baru diganti dengan Proton-Accord.

Melainlah memang ada niat nak pakai kereta baru dan peduli apa dengan masaalah rakyat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive