Beliau berkata LIMA 2013 kini di tempat ketiga selepas Pertunjukan Udara Farnborough di United Kingdom dan Pertunjukan Udara Paris di Lapangan Terbang Le Bourget.
Ahmad Zahid juga meminta pihak yang memperkecil LIMA dengan dakwaan kononnya pameran itu semakin tidak mendapat sambutan serta jumlah aset pertahanan seperti kapal terbang dan kapal perang yang hadir semakin kurang, supaya datang sendiri ke pameran berkenaan pada masa akan datang.
“LIMA kita unik pasal di tempat lain mereka pisahkan pameran udara dan maritim, tetapi di sini, kita gabungkan aeroangkasa dan maritim sekali, ini adalah kejayaan yang cukup besar negara kita,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup LIMA 2013.
Pameran LIMA, antara lain, menghimpunkan pembuat keputusan pertahanan dan perdagangan serta pemain utama industri pertahanan.
Ahmad Zahid berkata matlamat LIMA 2013 sudah tercapai dan pameran itu mencatat kehadiran lebih 40,000 pelawat profesional serta pedagang selain menarik 632 petugas media iaitu 337 tempatan dan 295 antarabangsa.
Jumlah pengunjung, termasuk penduduk tempatan dan pelancong, yang menghadiri LIMA ialah 180,000 orang.
Pertunjukan Udara Farnborough tahun lepas menarik 100,000 pelawat profesional dan pedagang serta 109,000 pengunjung tempatan.
Beliau mengakui ruang dalaman Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri kini agak sempit dan perlu diperluas bagi menampung jumlah pempamer yang semakin bertambah sehingga menyaksikan perasmian LIMA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin terpaksa dilakukan di tarmac.
“Pusat ini akan dinaik taraf sepenuhnya kelak dan kerajaan telah membelanjakan RM25 juta untuk kerja naik taraf serta meningkatkan kemudahannya dalam fasa pertama tahun ini”, katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment