Pencerobohan Lahad Datu Tiada Kaitan Tuntutan ‘Sultan Sulu’ – Musa
Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan ‘Sultan Sulu’ tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.
Sambil merujuk buku bertajuk ‘Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu’, beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.
“Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, ‘Sultan Sulu’ pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.
“Kedua, sebarang tuntutan atau hak ‘Sultan Sulu’ terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963,” katanya.