Thursday, 21 February 2013

AZIZAN PERLU BERANI & BERSIKAP TERBUKA ATASI KEMELUT DALAMAN KUIN



Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya bersikap lebih terbuka dalam menyelesaikan isu kebajikan tenaga kerjanya yang didakwa berlarutan sejak empat tahun lalu.

Wakil kakitangan KUIN, Mohd Farid Alias, 28, berkata Azizan sepatutnya bersikap lebih profesional dan bertindak sebagai orang tengah bagi mengkaji, menyiasat dan menyelesaikan masalah dalaman KUIN, bukannya mengheret mereka ke dalam kancah politik.

"Kami sangat kesal kerana dituduh sebagai ejen Umno sedangkan kami tidak pernah dibayar untuk mana-mana parti politik, sebaliknya hanya berjuang untuk hak dan kebajikan kami.



"Menteri Besar perlu bersikap terbuka dan berlapang dada bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi kami hingga menimbulkan keadaan yang sangat kritikal, " katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Khalid di Wisma Darul Aman di sini, Selasa.

Memorandum berkenaan adalah sebagai bantahan terhadap dakwaan Azizan baru-baru ini yang mengatakan bahawa kakitangan KUIN yang menuntut hak dan kebajikan mereka adalah ejen Umno dan menyuruh mereka yang tidak berpuas hati mencari kerja di tempat lain.

Mohd Farid yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (DG41), berkata antara tuntutan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah isu kenaikan gaji, bonus, potongan yang tidak dibayar kepada pihak ketiga (contoh: bank), isu pemalsuan dokumen rasmi KUIN dan kewujudan anak-anak syarikat KUIN yang didakwa tidak memberi sebarang keuntungan.

"Sewajarnya Menteri Besar menubuhkan satu jawatan kuasa bebas dan telus untuk menyiasat punca utama bagi menyelesaikan masalah dalaman KUIN ini," katanya.

Seorang pensyarah Kuliah Mualamat, Sajiah Yaakob, 41, pula berkata Menteri Besar perlu bersikap adil dalam memastikan semua perkara dilaksanakan secara betul agar tiada sesiapa akan teraniaya.

"Saya sudah berkhidmat lebih kurang 11 tahun dan tidak pernah memberikan kenyataan terbuka seperti hari ini kerana saya rasa terkilan dengan sikap tidak ambil kisah Menteri Besar.

"Kalau nak buat sesuatu buatlah secara betul, jangan selepas ini ada di antara kami ditukarkan ke jabatan lain pula sebab menuntut hak kami," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive