Polis menembak mati seorang penjenayah, manakala rakannya berjaya meloloskan diri ketika mereka yang bersenjatakan pisau dan pistol cuba merompak sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berhenti di hadapan kedai sebelum meluru masuk ke dalam premis.
Kedua-dua suspek termasuk seorang daripadanya memakai topi keledar kemudian mengacukan pisau ke arah pemilik premis dan pistol ke arah seorang kerani lalu mengarahkan mereka membuka ruang pameran barangan kemas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, secara kebetulan tiga anggota polis sedang menjalankan rondaan berhampiran kedai emas berkenaan dan terserempak dengan suspek.
Katanya, anggota itu kemudian menyerbu masuk dan sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek cuba melarikan diri menyebabkan seorang anggota melepaskan tembakan amaran di udara meminta mereka menyerah diri.
"Seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau cuba menyerang anggota itu menyebabkan dia ditembak di bahagian paha kiri. Suspek melarikan diri di lorong belakang kedai emas itu sebelum rebah kira-kira 15 meter dari tempat dia ditembak.
"Anggota lain yang sampai tidak lama selepas itu memberi bantuan kecemasan dengan mengikat paha suspek dengan kain bagi memberhentikan pendarahan. Kira-kira 20 minit kemudian ambulans sampai dan doktor mengesahkan suspek telah meninggal dunia," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Menurut Jalaluddin, siasatan mendapati suspek yang mati ditembak ialah Mohd. Bustaman Ali, 31, berasal dari Kampung Gabus Tok Uban, Pasir Mas.
Tambah Jalaluddin, pihak polis kini memburu suspek yang meloloskan diri itu berdasarkan rakaman wajahnya melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan.
Pemilik kedai emas berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 38, berkata, dia diacukan pisau oleh seorang suspek manakala rakannya mengacukan pistol ke arah keraninya.
"Ketika kerani saya membuka ruangan pameran barangan kemas, tiba-tiba polis datang," katanya sambil memberitahu, suspek tidak sempat melarikan barangan kemas.
UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment