Saturday 23 March 2013

SPR SAHKAN KUMPULAN AJARAN SESAT AKAN BUAT KACAU PADA PRU13



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mendedahkan wujud usaha terancang pihak tertentu - yang dilabel sebagai 'kumpulan ajaran sesat' - mahu mencetuskan kekecohan dan suasana huru-hara di tempat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihak-pihak berkenaan mula mengambil langkah tersusun menyediakan individu-individu, yang terdiri daripada pengundi, bagi mencetuskan suasana kecoh, dengan diberi latihan khusus.

"Kami juga ada memperoleh nota yang digunakan oleh mereka untuk tujuan latihan mencetuskan kecoh di bilik mengundi," kata beliau ketika berucap pada Program Taklimat Pegawai Pengurus Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Bukit Tinggi di sini, hari ini.



Pegawai Pengurus PRU13 bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini daripada Abdul Aziz.

Kata Abdul Aziz, nota latihan yang dikenalikan kumpulan berkenaan diperoleh pihaknya baru-baru ini.

Sambil melabelkan kumpulan itu sebagai "pengacau", beliau berkata, nota yang diperoleh antara lain memberi panduan kepada pengundi tentang cara-cara menimbulkan protes dan rasa tidak puas hati berkenan kertas undi.

"Berdasarkan maklumat nota ini, pengundi diminta mempersoalkan (status) kertas undi, dan mendesak diberi kertas undi lain, dan jika tidak dilayan, akan menjerit di tempat mengundi untuk menarik perhatian ramai dan media," katanya.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, pihaknya belum membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

"Setakat ini, kami memberi penerangan kepada pegawai pengurus supaya ambil langkah berjaga-jaga.

"Pegawai-pegawai pengurus perlu berhati-hati dengan kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat ini, yang meminta pengundi mencetuskan kekecohan pada hari pengundian," kata beliau lagi.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran pihak terbabit.

Tambah beliau, kumpulan berkenaan juga menghasut pengundi dengan mendakwa dakwat kekal yang bakal digunakan tidak halal.

Sambil menekanan kerahsiaan undi terjamin, Abdul Aziz berkata, meskipun setiap kertas undi ada nombor siri, tetapi maklumat itu tidak dicatatkan pada daftar pemilih, malah kertas undi tidak membawa nama atau nombor kad pengenalan seseorang pengundi.

Penggunaan dakwat kekal merupakan antara pembaharuan diperkenalkan pada PRU13 kali ini.

Mengulas mengenai dakwat kekal, kata beliau, SPR akan menggunakan dua warna masing-masing bagi pengundi biasa dan pengundi awal.

Katanya, sebanyak 10,000 botol dakwat kekal disediakan bagi pengundian awal dan 200,000 bagi pengundian biasa.

Seramai 10.3 juta layak untuk mengundi pada PRU13.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive