Saturday, 21 July 2012

SAUDAGAR PENJUAL MIMPI PRU13 DI KENAL PASTI ?



PILIHAN Raya Umum Ke-13 masih belum menampakkan bayang. Biarpun ramai yang membuat spekulasi dan meramalkan tarikhnya, namun realitinya tiada siapa yang tahu.

Yang pasti mandat diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu kepada Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada Mac tahun depan. Kalau ditengok kepada pengalaman yang sudah-sudah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) biasanya dibubarkan sebelum mandat itu tamat.

Jadi, sekarang ini semua pihak tertunggu bilakah tarikh itu. Ada yang menjadi resah gelisah kerana pelbagai tarikh, minggu dan bulan yang diramalkan sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Banyak juga yang meracau sampai melemparkan pelbagai tuduhan semata-semata kerana kerajaan BN belum lagi menetapkan tarikh PRU13. Tetapi yang nyata kempen sudah pun bermula. Perang bendera sudah berlaku di sana-sani. Ada di sesetengah kawasan ia seolah-olah pilihan raya telah bermula.

Ceramah-ceramah politik pula jangan dikira banyaknya. Tidak cukup hotel, dewan orang ramai, rumah persendirian dan padang, mimbar masjid turut dijadikan pentas ceramah. Sudah tidak ada pantang larang lagi dalam bab berceramah dan berpolitik. Ada yang sejengkal ditambah menjadi sedepa. Malah fakta yang tidak betul juga diangkat hingga ke mimbar Jumaat.

Itu adat berpolitik. Pihak pakatan rakyat sudah pasti mahu memastikan momentum yang memihak pada mereka pada 2008 akan berterusan untuk PRU13.

Sebab itu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sanggup melakukan apa sahaja, termasuk berpura-pura berjuang bersama-sama walaupun realitinya matlamat mereka berbeza. Ketika DAP memperjuangkan sebuah negara Malaysia yang liberal, Pas tetap dengan perjuangan menegakkan Islam walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti pimpinannya itu telah menggugurkan matlamat menubuhkan negara Islam.



Tetapi dalam setiap ceramah oleh para pemimpin dan para penceramahnya, menubuhkan negara Islam tetap menjadi halwa untuk memancing sokongan. Realitinya mampukah Pas menegakkan Islam mengikut acuannya jika BN tewas dan pakatan Pas, DAP dan PKR menang PRU13?

Atau Pas sekadar menjual mimpi kepada para pengikutnya bahawa ia akan menegakkan daulah Islamiah di negara ini, sedangkan realitinya parti itu tidak mampu berbuat demikian? Malaysia bukan seperti Mesir yang baru pertama kali merasai pilihan raya bebas dalam memilih kerajaan. Sejak 1955 hingga kini sudah hendak masuk kali ke-13.

Bermakna sejak 1955 hingga kini sudah hendak masuk 13 kali juga kita memilih kerajaan baru. Cuma untuk 12 pilihan raya yang lalu kerajaan yang dipilih itu adalah BN.

Apabila kerajaan dipilih melalui pilihan raya, maka parti-parti yang bertanding sudah tentu tahu apa kriteria utama untuk menjadi kerajaan - sama ada persekutuan mahupun negeri.

Kriterianya mudah, iaitu mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya, biarpun hanya dengan kelebihan satu atau dua kerusi seperti yang berlaku di Kedah dan Perak.

Bagaimana pula untuk mendapatkan majoriti mudah? Caranya, ialah dengan meletakkan calon bertanding di semua kawasan. Bukan berpilih-pilih atau sekadar bertanding di 64 kawasan. Sebab itu, kriteria utama Pas jika mahu membentuk kerajaan dan menegakkan daulah Islamiah seperti yang dicanangkan dalam setiap ceramahnya, ia mesti bertanding di sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Jika ia menang di semua kerusi tersebut baru akan dapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Bila sudah menjadi kerajaan baru boleh laksanakan apa saja yang dihajati.

Jika Pas betul-betul serius seperti mana seriusnya pada penceramahnya menghentam BN dan UMNO kerana dikatakan gagal menegakkan Islam, Pas perlu meletakkan calon di semua kawasan Parlimen dan DUN yang majoriti pengundinya adalah orang Islam.

Dengan cara itu, jika menang, Pas akan mendapat majoriti lebih besar untuk menentukan hala tuju pemerintahan negeri dan negara. Termasuk melaksanakan hukum hudud seperti yang dicanangkan dalam setiap kempen dan ceramahnya.

Tetapi jika diteliti, direnung dan dicongak fakta PRU12 pada 2008, Pas hanya bertanding di 64 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara. Kerusi yang ditandingi Pas tidak sampai satu pertiga daripada kawasan Parlimen yang ada. Jadi, macam mana mahu membentuk kerajaan? Kalau macam itu bagaimana mahu menegakkan Islam? Ikhlaskah apa yang dicanangkan dalam ceramah atau sekadar jual mimpi dan sekadar sedap mulut?

Andaikanlah BN yang didokongi UMNO tewas pada PRU13, adakah Pas mampu menegakkan Islam hanya dengan mempunyai 64 wakil di Parlimen sedangkan bakinya dikuasai DAP dan PKR?

Bercakap, menghentam, melabel dan mengkafirkan orang lain memang sedap. Tetapi, realitinya hanya indah khabar dari rupa atau cakap tidak serupa bikin kalau pun tidak sampai ke tahap kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi.

Ditambah pula dengan ura-ura DAP akan meletakkan calon di 90 kawasan Parlimen, sudah tentu tindakan itu akan melemahkan sama sekali pengaruh Pas di Parlimen.

Senario selepas PRU12 sendiripun sudah menyaksikan tenggelamnya dominasi Pas di Parlimen dengan DAP muncul sebagai jaguh di kalangan pembangkang. Sekadar mengembalikan ingatan, pada pilihan raya umum 2008, Pas bertanding di 64 kerusi dan menang di 23 kawasan.

DAP pula menang di 29 kawasan sementara PKR 21. Jadi, mana keupayaan dan kekuatan untuk menegakkan Islam?

Sebab itu dalam apa hal sekalipun termasuk dalam isu murtad, lesbian, homoseksual dan rampasan arak Pas hanya mengikut pendirian DAP. Sebab DAP yang lebih menguasai. Itu senario yang perlu difikirkan secara mendalam oleh para pengundi Islam di negara ini.

Kerajaan BN tidak kebal. Ia boleh ditumbangkan pada bila-bila masa melalui proses pilihan raya. Lihatlah pada PRU12 apabila BN kehilangan kelebihan dua pertiga kerusi Parlimen dan hilang pemerintahan di tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain gagal merampas Kelantan.

Demokrasi di Malaysia berjalan lancar dan rakyat mampu mencongakkan bentuk kerajaan yang mereka inginkan.

Tetapi malangnya Pas hanya tahu menyalahkan demokrasi dan tidak berusaha memanfaatkannya dengan cara meletakkan calon seramai mungkin. Dan DAP dalam diam-diam berusaha memanfaatkan sistem demokrasi negara dengan mengenalpasti kawasan yang ada potensi untuk menang dan memastikan calonnya berada di situ.

Ketika para pemimpin Pas sibuk menjual mimpi kepada para penyokongnya, pemimpin DAP pula bijak mencongak macam mana mahu memerintah negara dengan menjadikan Pas sebagai salah satu alat untuk menjayakan cita-cita.

Berdasarkan kepada senario ini, buatlah perbandingan, buat congakan dan andaian.

Jika BN tewas, jika BN gagal mengekalkan kuasa dan jika BN tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, apakah kuasa pemerintahan itu akan beralih kepada Pas dan kekal di tangan Melayu dan Islam sebagai tonggaknya?

Tonggak yang mampu mengekalkan keamanan dan kemakmuran serta memasti nikmat yang menjadi makanan harian rakyat sekarang kekal dan yang paling penting mengekalkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Pas memang ada pemimpin berwibawa dan mampu memimpin serta mentadbir negara.

Tetapi, jika mereka hanya mengikut telunjuk DAP dan PKR dalam menentukan di mana mereka boleh bertanding dan berapa kerusi mereka boleh letakkan calon, maka elok lupakan soal menegakkan Islam di Malaysia.

Jika menang sekalipun Pas hanya akan menjadi pak turut kepada DAP seperti yang berlaku di Selangor. Apabila bercakap biarlah berpijak di bumi nyata. Jangan sekadar hanya menang pilihan raya tetapi agama, bangsa dan negara tergadai.

SUMBER UTUSAN

1 comment:

Fath said...

terbaek..lbh bayak pendedahan kejahatan PKR di blog saya .. jom tngk di http://kakiblogger.mygeng.org/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive