Wednesday 19 June 2013

HOT !!!! KISAH TERBARU DI LAHAD DATU TIADA KAITAN DENGAN SULTAN SULU ??



Pencerobohan Lahad Datu Tiada Kaitan Tuntutan ‘Sultan Sulu’ – Musa

Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan ‘Sultan Sulu’ tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.

Sambil merujuk buku bertajuk ‘Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu’, beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.

“Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, ‘Sultan Sulu’ pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.

“Kedua, sebarang tuntutan atau hak ‘Sultan Sulu’ terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963,” katanya.


Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini Selasa.

Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Tentera Di Raja Kesultanan Sulu’ yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Februari lepas.

“Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.

“Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac,” katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.

Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.

Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.

Penubuhan ESSCOM yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCOM ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya ESSCOM kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.

Justeru, visi ESSCOM adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.

Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata ESSCOM juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.

Penubuhan ESSCOM turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.

Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, ESSCOM mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.

Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh ESSCOM, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan ESSCOM di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya pihak ESSCOM berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.

Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM.

Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat ESSCOM dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

“Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini,” katanya.

Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

“Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013,” katanya.

Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.

Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.

Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.

Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan ESSCOM adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.

Bagaimanapun, Musa berkata ESSCOM sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baharu ke atas keselamatan Sabah. – BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive