Monday 7 October 2013

PANASS !! MUKHRIZ SAMBUT BAIK CADANGAN BERBAHAS #MM4VP




Calon naib presiden Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyambut baik cadangan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam supaya semua calon naib presiden ditampilkan serentak menerusi televisyen untuk membahaskan idea mereka.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata sekiranya ibu pejabat Umno bersetuju forum seumpama itu diadakan, beliau sedia menyertainya.

Beliau berkata ia boleh memberi ruang kepada calon untuk berkongsi fikiran masing-masing dalam memberi sumbangan kepada parti serta memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat pilihan yang tepat.



“Kalau difikirkan bahawa satu forum melibatkan keenam-enam calon wajar diadakan, maka saya bersedia menyertainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, malam tadi.

Selain Mukhriz, lima lagi calon naib presiden terdiri tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz berkata jawatan naib presiden merupakan jawatan kanan di dalam parti dan perwakilan pasti berminat mengetahui pandangan setiap calon dalam pelbagai isu.

Mengenai peluang pada pemilihan Umno, Mukhriz berkata beliau mendapat maklum balas yang positif.

Bagaimanapun Mukhriz berkata beliau terpaksa mengurangkan masa berkempen bagi pemilihan Umno 19 Okt ini bagi memberi tumpuan terhadap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah yang bakal diadakan 4 Nov ini.

Sebagai contoh, katanya beliau hanya dapat menyertai sesi pengenalan calon di Negeri Sembilan pada 8 Okt ini dan tidak dapat hadir dalam sesi di Melaka dan Johor pada hari sama kerana perlu berada di Sungai Limau. – BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive