Laporan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menyebut bahawa 12 orang maut di daerah Bener Meriah manakala 10 orang mati di Aceh Tengah.
Sejumlah 140 orang cedera di Aceh Tengah manakala di Bener Meriah 70 orang cedera dan kesemua mereka kini dirawat di hospital daerah masing-masing.
Gempa bumi yang menggegarkan Provinsi Aceh itu berlaku pada pukul 2.37 petang waktu tempatan dan berpusat di 35 km Barat Daya daerah Bener Meriah.
Ia diikuti dengan dua gempa susulan di tempat yang sama tidak lama kemudian, dengan catatan magnitude 5.5 pada skala Richter dan 5.3 skala Richter.
Kepala BNPB Syamsul Maarif telah melaporkan perkembangan bencana itu kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono serta langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani bencana itu.
Sekurang-kurangnya 1,500 bangunan termasuk rumah penduduk, masjid dan pejabat kerajaan musnah dalam kejadian itu sehingga memaksa sejumlah penduduk untuk ditempatkan di 10 pusat pemindahan.
Syamsul berkata kerajaan telah segera melakukan usaha menangani bencana itu dan pada masa ini pasukan gabungan BNPB dengan semua kementerian serta agensi berkaitan telah berada di Bener Meriah untuk melakukan penyelarasan usaha bantuan dan penilaian pantas.
"BNPB juga menghantar sebuah helikopter Collibri tentera udara Indonesia (TNI AU) dari Pekanbaru ke Aceh untuk wilayah perbatasan antara Bener Meriah dan Aceh Tengah," katanya pada Rabu.
BNPB turut menggunakan pesawat CN 235 tentera udara Indonesia untuk melakukan foto udara dan penilaian pantas dari udara mengenai kesan kemusnahan daripada kejadian gempa bumi itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment