HIASAN |
ALOR SETAR – Seorang murid perempuan tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.
Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.
Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.
Katanya, dia hanya dapat tahu perkara itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya sebelum diberitahu kakaknya.
“Masa itu saya nak buat rawatan kepada mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.
“Saya memang tidak sangka lelaki itu tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan semasa sesi rawatan.
“Percaya dengan kata-kata itu, saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, ‘ustaz’ itu memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.
“Pada suatu hari, dia sekali lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil ditemani sepupunya, namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.
“Bagaimanapun, selang dua minggu kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16 tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari selepas selesai waktu bekerja,” katanya.
Asmah berkata, dia tidak sangka peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya sepanjang berada di rumah itu.
“Selepas mengetahui perkara itu, saya bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.
“Saya tidak puas hati dengan perbuatan lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu. – Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment