Saturday, 7 December 2013

UMNO BARU SEDAR KUASA MEDIA BARU ???




Perhimpunan Agung Umno 2013, yang sedang berlangsung bukan sahaja diikuti menerusi laporan media cetak dan siaran langsung media elektronik, sebaliknya juga menerusi media baharu dan laman sosial, membolehkan perkembangan terkini parti politik terbesar di Malaysia diketahui lebih pantas.

Tidak perlu berada secara fizikal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), venue perhimpunan tahunan Umno, anggota parti dan masyarakat umum boleh mendapatkan maklumat dan hebahan laporan secara on-line dan tepat masa sama ada menerusi Twitter, Facebook, Instagram dan applikasi laman sembang Whatsapp dan WeChat.



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri ketika melawat Laman Media hari ini meminta pegawai khasnya untuk mendapatkan gambar beliau bagi dimuat naik di laman Facebook Perdana Menteri.

Presiden Umno, yang merupakan pemilik akaun Twitter kedua paling aktif di Asia, sering mengemas kini status, berkongsi pandangan serta menghantar 'tweet' apabila berkesempatan, seperti yang dilakukannya ketika melawat pusat pemindahan banjir di Pahang semalam.

Jelas sekali jaringan laman sosial dan laman sembang ini memberi impak besar dalam menghebah maklumat dan perkembangan mutakhir, sehingga masyarakat khususnya golongan muda kini beralih ke media baharu sebagai bahan pembacaan utama berbanding media konvensional kerana capaiannya lebih mudah, efisien dan tidak renyah.

Beberapa penganalisis politik melihat pendekatan itu lebih mudah dan signifikan kerana capaiannya boleh sampai ke merata pelosok negara, berbanding pendekatan konvensional bersemuka, yang tidak kurang pentingnya tetapi capaian ruang lingkupnya terhad.

Jadi, mengapa tidak Umno mengambil pendekatan dengan melipatgandakan usaha serta promosi di media baharu untuk menyerang balas segala fitnah serta menyampaikan agenda kerajaan buat rakyat?

Menekankan betapa Umno perlu menjuarai teknologi maklumat kerana instrumen seperti telefon pintar berupaya menjadi penentu kalah menang pada pilihan raya akan datang, Najib dalam ucapan dasarnya mahu jentera informatif Umno menguasai medium baharu bagi menyampaikan risalah-risalah Umno, mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan serta melawan segala tuduhan dan fitnah pembangkang.

Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata keupayaan media sosial harus digunakan secara optimum dalam kalangan ahli Umno kerana pendekatan secara maya itu akan memberi manfaat politik, jika digunakan sepenuhnya untuk memberitahu, mempengaruhi dan meraih sokongan rakyat dalam semua hal termasuk ekonomi, sosial dan politik.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam itu berkata media sosial kini bukan hanya untuk jaringan sosial, sebaliknya menjadi alat mendapatkan pelbagai maklumat.

Hasil kajian yang dilakukannya, Ismail berkata hanya 30 peratus sahaja yang menggunakan media tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio bagi mendapatkan maklumat politik.

"Rujukan mereka ialah media sosial, blog dan portal berita. Sebab itu kita lihat segala polisi di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak dapat diserap ke akar umbi dan akhirnya ia tidak menjadi kekuatan kepada BN sendiri.

"Perkara ini juga berlaku kepada Umno walaupun melakukan pelbagai pendekatan tetapi selalunya tidak sampai kepada pokok persoalan sendiri...itu yang perlu diamati," katanya.

Melihat pengaruh besar yang dimainkan media sosial terutama pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas, mahu tidak mahu, Umno perlu lebih agresif, bukan sahaja bersaing malah mendahului penggunaannya secara optimum.

Ini kerana, kata Ismail hampir 80 peratus pengguna menggunakan media sosial sebagai sumber media utama dalam PRU13 dan pembangkang menggunakan peluang sebaiknya mewujudkan perang persepsi dalam kalangan rakyat untuk meraih sokongan.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, Umno perlu mengubah pendekatan dengan tidak terus menjadi defensif, tetapi lebih agresif mematahkan serangan siber pembangkang, juga melalui dunia maya.

"Umno perlu menyerang, bukan bertahan jika mereka mahu memastikan kejayaan pilihan raya terus berada dalam tangan...mereka perlu bangkit dan lawan untuk menjelaskan dan membetulkan apa jua tuduhan yang dilemparkan.

"Saya percaya ini satu langkah penting untuk menarik sokongan pengundi agar masyarakat memihak kepada BN. Justeru, Umno khasnya perlu sentiasa peka dan pandai memanipulasi persekitaran serta peredaran teknologi semasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata Umno perlu menambah baik dan memperkuatkan jentera media baharunya termasuk menambah bilangan soldadu maya bagi menangkis tuduhan pihak lawan di alam maya.

"Umno memerlukan blogger-blogger yang agresif dan mempunyai pemikiran kreatif, kritis, berupaya mematahkan serangan dan berhujah dengan fakta, bukti serta penyelidikan kukuh mengenai sesuatu isu.

"Ini penting kerana penggunaan media sosial itu boleh digunakan untuk menjawab segala tohmahan dan fitnah yang dilempar kepada parti selain menjelaskan segala kekeliruan rakyat dan juga menyaingi pasukan siber pihak lawan," katanya.

Mungkinkan keterbatasan anggota Umno menggunakan media sosial kerana kurang berkemahiran dan tiada pendedahan terhadap kemodenan teknologi maklumat?.

Aktivis media sosial Pemuda Umno Azrinizam Ibrahim mengakui kurangnya kemahiran melihat teknik-teknik pemasaran politik, menimbulkan kesukaran untuk menyebarluaskan maklumat-maklumat yang ingin dikongsi.

Sebagai contoh, isu-isu yang dibangkitkan lazimnya mempunyai hashtag (simbol #), yang menandai kata kunci atau topik, tetapi kata beliau sejauh manakah mereka boleh mempromosikan hashtag tersebut secara meluas hingga sampai ke akar umbi.

Beliau berkata Umno juga perlu melakukan strategi tersusun dan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian applikasi media sosial yang digunakannya.

"Facebook perlu menggunakan strategik lain, YouTube pendekatan lain dan Twitter ada kaedah yang sesuai dengan kempen di dalamnya serta blog perlu disusun dengan baik untuk menarik golongan muda. Semua ini perlu dikoordinasi dengan kemas, barulah Umno dan BN boleh menangani persepsi yang dimainkan pihak lawan," katanya. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive