Thursday 28 February 2013

INSANIAH !! 5 ANAK SYARIKAT 5 CEO !! GAJI 40 RIBU SEORANG !! SYARIKAT RUGI ! GAJI : MB KEDAH BAYAR


Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah menamatkan operasi anak-anak syarikat Insaniah, yang didakwa punca kemelut kewangan kolej universiti itu.

Penolong Pendaftar Kanan Insaniah, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, penubuhan Insaniah Holdings Sdn Bhd, Insan Maya Sdn Bhd, Insan System Sdn Bhd, Insan Hospitality Sdn Bhd, Insan Medic Sdn Bhd dan Sekolah Insan Bestari Sdn Bhd, tidak mendatangkan keuntungan sebaliknya penyebab utama krisis kewangan.

“Insaniah Holdings tidak menjana kewangan bahkan setiap bulan menggunakan wang milik Insaniah yang menerima peruntukan kerajaan negeri RM15 juta setahun. Kami ada bukti apabila laporan polis dibuat sebelum ini. Jika ianya tuduhan palsu kami sedia disaman,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, pada tahun 2011, Insaniah Holdings menggunakan wang Insaniah sebanyak RM6 juta bagi perbelanjaan dan emolumen, dan jumlah itu meningkat kepada RM12 juta pada 2012.



“Insaniah tidak sepatutnya swastakan kuliah yang menjalankan program akademik kepada anak syarikat, contohnya, Insan Medic (Ijazah Perubatan), Insan Maya (Diploma/Ijazah Multimedia dan Kreativiti). Program pengajian sepatutnya dijalankan bawah
Jabatan Hal Ehwal Akademik Insaniah, bukan anak syarikat,” katanya.

Muhammad Azki yang berkhidmat di Insaniah sejak 11 tahun lalu mendakwa, kewujudan anak syarikat Insaniah yang menjalankan program akademik adalah salah bawah peraturan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana pelantikan pensyarah sepatutnya dibuat oleh Insaniah, bukan anak syarikat.

“Anak syarikat patut berniaga dan cari duit untuk Insaniah, bukan Insaniah yang cari duit untuk anak syarikat,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mahu KPT campur tangan menyelesaikan kemelut ini kerana yang menjadi mangsa ialah kakitangan dan pelajar.

“Kami mahu KPT siasat dakwaan penyelewengan dalam pengurusan tertinggi Insaniah, kenapa wujudkan anak syarikat ini yang menjadi punca kepada semua masalah kewangan. Adakah Azizan dan Rektor ada kepentingan dalam anak syarikat?” katanya.

Muhammad Azki berkata, kewujudan Insan Medic bagi menjalankan program Ijazah Perubatan menambahkan beban kewangan Insaniah, yang kini didakwa menanggung beban hutang bernilai jutaan ringgit sejak 2011.

“Difahamkan syarikat pembekal sudah menghantar notis tuntutan hutang, jika Insaniah Holdings gagal melunaskan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Status kakitangan juga dipertikai kerana apabila Insaniah serahkan beberapa kuliah kepada anak syarikat, kakitangan akademik diarah menukar status perkhidmatan kepada Insaniah Holdings, tanpa diberi opsyen atau kenaikan tangga gaji, termasuk tunggakan bayaran kepada pihak ketiga.

Muhammad Azki berkata, Rektor Insaniah, Profesor Datuk Dr Jamil Osman juga didakwa gagal membentangkan laporan pentadbiran dan kewangan Insaniah dalam mesyuarat Exco, 5 Ogos 2012.

“Kami gesa Azizan tubuh badan penyiasat bagi siasat dakwaan ini. Kami juga desak polis siasat isu dakwaan pemalsuan dokumen yang didedahkan sebelum ini. Malah Peguam Negara wajar campur tangan isu ini kerana melibatkan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah berbincang dengan peguam dan memberi tempoh kepada Insaniah menyelesaikan masalah terutama hak mereka yang dinafikan, seperti gaji dan kenaikan pangkat, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tidak diendahkan.

Berikutan itu, kakitangan Insaniah melancarkan Bersih Kuin, bertemakan ‘Operasi Gempur Jazan (Jamil & Azizan) Gelombang Putih Mega’ dengan menganjurkan pentas ceramah menampilkan wakil kakitangan memperjelas isu sebenar.

“Program ini diadakan di kawasan lapang bersebelahan Kolej Politek Mara, Jalan Suka Menanti, Khamis, 3.30 petang. Kami jemput Azizan hadir untuk dengar luahan kami kerana ini bukan isu politik tetapi hak kami dinafikan,” katanya.

Muhammad Azki yang mewakili 400 kakitangan Insaniah menegaskan, mereka tetap dengan pendirian mahu Azizan dan Jamil meletak jawatan kerana didakwa gagal mengurus dan menyelesaikan masalah dan isu kebajikan sejak tiga tahun lalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive