AL-FATIHAH buat pelakon Maimon Mutalib,54, yang telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam sebentar tadi.
Perkara ini disahkan anak allahyarhamah menerusi status Facebook milik pelakon ini.
Difahamkan, jenazah Maimon akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Tangkak, Johor untuk dikebumikan.
Antara rakan artis yang terawal menziarahinya adalah artis veteran, Datuk Aziz Satar.
Seperti umum sedia maklum, Maimon mengidap kanser payudara peringkat akhir dan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hinggalah doktor mengesahkan keadaannya sudah terlalu tenat dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Ketika hayat, Maimon dikenali sebagai pelakon yang sangat berdedikasi terhadap karier lakonan kerana kecintaannya pada bidang seni.
Allahyarhamah juga merupakan seorang ibu tunggal yang sangat tabah kerana membesarkan sendiri kelima-lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.
Ketabahan Maimun juga dapat dilihat apabila dia tidak pernah cuba meraih simpati dan meminta-minta agar dibantu, malah memilih untuk merahsiakan penyakitnya daripada kawan-kawan dan anak-anak pada peringkat awal. Mereka hanya mengetahuinya setelah keadaan Maimon kian kronik.
Begitu pun, allahyarhamah pernah mengaku kepada media terdapat kawan-kawan yang ikhlas bersamanya di kala sakit dan banyak membantu terutama Mak Jah, yang sanggup memberikan rantai untuk digadai.
Terdapat juga pengarah yang menghulurkan bantuan dengan cara sendiri seperti Murali, Rashid Sibir dan Md Fadzil Teh yang menurut Maimon, sering memanggilnya berlakon bagi membantunya mendapatkan wang belanja.
Antara filem lakonan Maimon adalah Budak Pailang, Hantu Dalam Botol Kicap, Al-Hijab, Semerah Cinta Stilleto, Skrip 7707, Pensil, Cuci, Chermin dan Qabil Khushry Qabil Igam.
Hari ini, gugurlah sebutir lagi bintang veteran yang mempunyai bakat lakonan hebat. Semoga Maimon ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihiNya.
Mynewshub
1 comment:
Al-Fatihah.....
Post a Comment