Sunday, 23 September 2012

PRO-ASPIRASI YAKIN KUASAI 15 IPTA SELASA INI




Kumpulan Pro-Aspirasi yakin pihaknya akan meneruskan penguasaan 'Kabinet' universiti tempatan dengan memperoleh kemenangan besar di pusat-pusat pengajian tinggi yang akan melangsungkan pengundian Selasa ini.

Jurucakapnya, Mohd Hafiz Ariffin berkata, ekoran pencapaian di lima universiti setakat kelmarin, beliau yakin kemenangan besar bakal berulang di 15 pusat pengajian tinggi yang akan mengadakan pengundian minggu depan.

“Kami memang sasarkan kemenangan kerana kami berpegang pada strategi khusus di mana kepimpinan bakal calon digilap dari akar umbi, bermula dari kelab dan persatuan yang ada di universiti.



“Mereka lebih dekat dengan mahasiswa sejak awal, jadi lebih mudah untuk mendekati mahasiswa pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati semua penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal mengundi Selasa ini agar membuat pilihan dengan bijak bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

Mengikut perkembangan kelmarin, kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan telah menguasai sebahagian besar kerusi pilihan raya kampus sesi 2012/2013 yang berlangsung di lima universiti awam tempatan.

Lima universiti terbabit ialah Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknikal Malaysia dan Universiti Tun Hussein Malaysia.
Universiti-universiti yang akan melangsungkan pengundian Selasa ini ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Seperti lazim, saingan dilihat antara Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, yang penganalisis melihat ia menggambarkan perkembangan sebenar politik nasional.

Pilihan raya kali ini diadakan lewat sembilan bulan. Mengikut kalendar, ia sepatutnya diadakan awal tahun ini.

Dalam komen kepada Sinar Harian Online semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa berkata pihaknya 'menyambut' kemenangan Pro-Aspirasi sekiranya ia diadakan dengan adil dan bersih.

“Kami tidak kisah jika Pro-Aspirasi menang asalkan pemilihan telus dan adil. Jika menang dengan cara kotor, itu bukan kemenangan sejati,” kata Presiden Pro-Mahasiswa, Edikoup Lakip Sediyanto.

Ketika ditanya sama ada keputusan pilihan raya kampus kali ini menggambarkan politik nasional, Hafiz tidak menolak perkara itu.

Katanya, ia sedikit sebanyak menggambarkan keputusan pilihan raya umum akan datang.

“Secara keseluruhannya tidak, tetapi sedikit sebanyak ya, keputusan ini memberi gambaran politik sebenar. Daripada jumlah keseluruhan mahasiswa, 10 peratus ke menyokong kerajaan, 10 peratus ke arah pembangkang.

“Baki 80 peratus lagi pula dalam proses pengamatan yang melihat apa aliran ideologi yang cuba dibawa sesetengah pemimpin negara,” katanya.

Bagaimanapun menurut Hafiz, politik tidak wajar dibawa ke dalam kampus memandangkan kesemua institusi sudah tercemar kecuali institusi pendidikan seperti universiti dan sekolah.

“Di mana lagi ruang yang tinggal untuk bebas daripada campur tangan politik? Hanya universiti dan sekolah saja yang tinggal yang menerapkan pemikiran intelektual bukan persepsi politik,” katanya.

Selain itu, Pro-Aspirasi juga menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyelitkan nama mahasiswa dalam sebarang aktiviti politik yang antara lain menyelitkan pembudayaan sikap negatif seperti berdendam dan permusuhan.

Katanya, slogan ‘Aman Kampus’ diamalkan bagi mengelakkan anasir seperti campur tangan politik memasuki kawasan universiti.

“Bercakap soal campur tangan politik ini, Pro-Aspirasi akan terus dilabelkan dengan Umno dan Pro-Mahasiswa pula ke arah pembangkang tetapi jika dilihat sebenarnya, Pro-Mahasiswa lebih dekat Pakatan Rakyat (PR).

“Apabila mahasiswa melakukan demonstrasi, pasti akan kelihatan kelibat pemimpin pembangkang yang hadir,” katanya.

SINAR

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive