Monday 7 May 2012

KEDAH OH KEDAH !!! INGATKAN PANAS SAMPAI PETANG RUPANYA HUJAN DI TENGAH HARI



SENARIO 1:
ALAHAI negeriku Kedah. Ingatkan bagi kat Bulan, Kedah akan bahagia, makmur dan sentosa. Akan sentiasa terang-benderang macam cahaya bulan, tapi sebaliknya panas meletit-letit dan kacau-bilau pulak. Masing-masing nak kuasa, masing-masing gila kuasa, masing-masing nak rampas kuasa.

Yang lucunya, yang merampas kuasa pula ialah sesama sendiri, Pas dengan Pas, parti yang sepanjang tahun asyik-asyik berceramah siang dan malam memprovok rakyat membenci sesama sendiri. Membenci antara Melayu dengan Melayu, membenci sesama Islam. Orang Pas tak sembahyang di masjid milik kerajaan Pusat kerana dituduh UMNO itu kafir, merekalah lebih Islam daripada Islam dan macam-macam lagi.



Nah, apabila kuasa diberi, ini pulak jadinya. Ada ke, kerajaan Kedah kini ‘diperintah’ oleh Pas Pusat pula? Diletakkan di bawah jawatankuasa pemandu Pas Pusat? Macam dalam suasana darurat – diletakkan di bawah Mageran.


Apa dah jadi ini, kerajaan negeri sepatutnya diperintah oleh MBlah, bukan juak-juak Pas dalam markas mereka di Pusat. Pusat itu pula di mana? Kuala Lumpur atau di Kelantan, yang diperintah oleh Mursyidul Amnya?

Apalah nak jadi dengan Kedah ini, sudahlah negeri miskin, bertambah miskinlah nampaknya. Persoalannya mengapa MB, Azizan Razak diperlakukan sedemikian. Apa yang menyebabkan Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh, dua Exco yang dipecat Azizan bertindak sebegitu.

Mengapa pula Pas Pusat, yang kini dikuasai oleh parasit-parasit (mengambil istilah Dr. Hasan Ali) bersetuju pula dengan dua orang itu dan bukannya Azizan, yang diberi mandat penuh oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang untuk menerajui negeri itu sebagai MB.

Apa dah jadi ni? Apa dah jadi ni? Adakah puak-puak parasit Anwarinas, yang kini menguasai Pas benar-benar mahu menguasai semuanya. Setakat ini puak-puak ini hanya belum mencetuskan huru-hara di Kelantan, kerana Nik Aziz Nik Mat (bertaraf Ayatollah) terlalu sayangkan Anwar Ibrahim, ketua puak Anwarinas.

Sejak memerintah negeri Kedah, Azizan ini dilihat terlalu liberal dalam corak pemerintahannya. Jika Dr. Mahathir Mohamad melawat ke Kedah, beliau dikatakan ‘turun padang’ menyambut bekas PM itu. Semasa PM Najib Tun Razak turun pun suasana kedua-duanya nampak begitu mesra sekali? Hubungan mesra itu juga mungkin kerana Azizan pernah mengenali keluarga Najib dan adik-adiknya semasa mereka belajar di England dulu.

Prinsip Azizan mudah sahaja, sesiapa saja yang boleh membawa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat beliau akan terima, walaupun terpaksa berbaik-baik dengan kerajaan Pusat, kata seorang rakan yang pernah mendengar Azizan berkata begitu. Bagi Anwar pula, itu tidak boleh diterima.

Apakah ini yang menyebabkan Azizan terpaksa ‘disembelih’ oleh mereka yang dikatakan terlalu memihak kepada puak Anwarinas itu. Phahrolrazi sejak beberapa ketika ini terlalu mengidamkan jawatan MB Kedah.

Seorang bekas pemimpin Kedah dan pernah berada dalam Exco negeri itu di bawah Azizan berkata kepada saya. Segala-gala apa yang berlaku disebabkan ‘tangan ghaib’ di atas. Di atas itu bermaksud Anwar.

Anwar, katanya cuba merosakkan Azizan. Pernahkah sesiapa sedar, Anwar tidak pernah melakukan kunjungan ke atas Azizan selaku MB? Malah dendam Anwar tidak pernah padam terhadap Azizan kerana Azizan dikatakan pernah menjerkah Anwar dalam satu mesyuarat, kata bekas Exco itu. Azizan juga dikatakan amat degil kerana tidak mahu menerima Buku Jingga sebagai ‘Perlembagaan’ yang perlu diikuti oleh kerajaan pakatan pembangkang.

Ada seorang rakan dalam KCS (Perkhidmatan Awam Kedah) memberitahu, puak Phahrolrazi bertindak demikian kerana Azizan dikatakan memerintah secara kuku besi dan setiap keputusan dibuat secara unilateral, tanpa mahu menerima nasihat anggota-anggota Exco lain. Tapi menurut bekas Exco yang pernah bersama-sama dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri itu pula berkata sebaliknya. Puak-puak Phahrolrazilah yang selama ini menguasai Azizan.

Kesimpulannya, kata bekas Exco itu, kesemuanya adalah hasil skrip yang ditulis oleh Anwar. Anwar ialah penulis skrip yang hebat. Skrip no. 2 ini sama dengan apa yang Dr. Hasan alami. Semuanya diputuskan oleh Pas Pusat. Azizan yang diikat tangannya sekarang pun ditentukan oleh Pas Pusat. Pas Pusat dikuasai oleh puak-puak Anwarinas.

Apa pun, rakyat Kedah sedang memerhatikan kemelut ini dengan begitu berhati-hati. Dulu pun semasa mereka memberi undi kepada pakatan pembangkang, faktornya ialah kerana mereka marahkan pentadbiran kerajaan pusat yang lalu. Namun suasananya sekarang sudah berbeza. Dulu pakatan menang kerana undi protes rakyat kepada kerajaan BN. Kini, rata-rata berkata mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar kerana protes tersebut.

Namun, protes itu juga ada hikmahnya sehingga menyebabkan PM Najib memohon maaf secara terbuka kepada rakyat di atas kesilapan kerajaan pusat yang terdahulu.

Berbalik kepada Jawatankuasa Pemandu yang akan memandu atau mentadbir kerajaan negeri Kedah dari pejabat Pas Pusat di KL atau di KB itu, beberapa persoalan timbul?

Siapa yang akan memandu jawatankuasa itu? Adakah semuanya orang-orang Pas? Jika orang-orang Pas, adakah puak-puak Anwarinas? Bagaimana dengan orang-orang DAP dan PKR? Perlu diingat kemenangan Kedah ialah di atas pakatan, jadi adakah jawatankuasa ini akan dikuasai oleh Pas semata-mata? Pakatanlah sepatutnya yang memandu jawatankuasa ini menerusi ‘Perlembagaan’ Buku Jingga, bukannya melalui al-Quran dan hadis, yang juga tidak dilakukan semasa Pas memerintah.

Apakah peranan jawatankuasa pemandu ini? Apakah pula peranan SS, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah? Sepatutnya jika dalam keadaan begini, SS yang sepatutnya ambil-alih pentadbiran negeri, bukan parti politik?

Jadi, persoalannya sekarang, apa sebenarnya Pas ini?

Pokoknya, tamak haloba menguasai diri. Kuasa dijadikan cagaran untuk mengecapi kemewahan. Tender-tender sampah, misalnya di Selangor diberikan kepada kroni-kroni juga (sehingga difahamkan Persatuan Pengguna Shah Alam akan membuat repot polis di IPD Shah Alam 11 pagi ini). Itu baru tender sampah, tak kira lagi pelbagai lagi projek pembangunan di bawah perbadanan-perbadanan kemajuan negeri dan lain-lain. Hakikatnya, Selangor pula dikuasai oleh DAP.

MB Selangor pula dikatakan terlalu lemah, sehinggakan penasihat ekonominya ialah bekas lulusan pengajian Melayu, Anwar Ibrahim.

Itu sebablah, Dr. Hasan Ali marah sangat. Apabila pakatan memerintah Selangor, ia lebih teruk daripada semasa UMNO memerintah dulu. Itu pasallah sudah menjadi buah mulut sekarang, seburuk-buruk BN, sebaik-baik Pakatan, lebih baik BN lagi.

Alahai, harapkan panas hingga ke petang, hujan turun di tengah hari…

SENARIO 2:

SEPATUTNYA UMNO Kedah boleh tersenyum dengan kemelut dalaman Pas sekarang. UMNO kini dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengambil semula negeri jelapang padi negara itu.

Tapi bolehkah? Kuatkah UMNO. Dalam suasana Pas macam ini, UMNO tak perlu kuat. Tapi jika bersatu hati kekuatan sudah tentu akan wujud. Persoalannya bersatukah UMNO?

Siapakah yang akan menjadi striker untuk menjaringkan gol dalam kemelut di depan pintu gol lawan ini.

‘‘Bola sudah di depan tiang gol, tapi mana strikernya?'' kata seorang kawan Kedah kepada saya.

UMNO Kedah, katanya melihat sahaja peluang di depan mata, tapi tidak pandai merebut peluang. Benarkah? Sesiapa yang duduk di atas pucuk kepemimpinan UMNO negeri, sepatutnya mengatur langkah cepat.

Masing-masing nampaknya masih tidak mahu bergerak, kata seorang rakan yang terlibat dalam ‘pemukiman’ UMNO di Kuala Kedah semalam.

Jika benarlah senario itu, alahai UMNO Kedah...

ZainiHasan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive