Friday, 6 January 2012

TERBUKTI PAS SEMAKIN LEMAU!!!




DALAM Islam antara perkara yang paling dituntut adalah melakukan kebaikan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat.

Sebab itulah Allah SWT memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Asr yang bermaksud;

''Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.''

Persoalannya, apakah ayat ini akan menjadi pegangan kepada pemimpin dan penyokong Pas apabila mereka turun ke jalanan pada 9 Januari ini?

Yang anehnya, mereka turun bukan untuk mempertahankan Islam, mereka berarak bukan bagi membantah usaha memurtadkan orang Islam dan sudah pasti mereka berhimpun bukan untuk mempertahankan pemimpin mereka.



Tetapi penyokong Pas berbuat demikian adalah untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui nasibnya dalam kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Apakah Pas lupa dalam keghairahan mereka menyokong Anwar, pemimpin PKR tersebut sudah secara terbuka menyatakan, ''Apabila Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, sesekali tidak akan melaksanakan undang-undang Islam ataupun mengubah undang-undang persekutuan untuk merealisasikan undang-undang hudud Islam.''

Atau mungkin Pas sudah tidak kisah dengan kenyataan Anwar itu kerana parti tersebut kini telah meninggalkan perjuangan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan, justeru soal hukum hudud dan melaksanakan undang-undang Islam tidak perlu difikirkan lagi.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sekali lagi seperti mana perhimpunan haram sebelum ini Pas bersedia 'diperkudakan'.

Mungkin Pas ingin menunjukkan kesetiaan berikutan kesepakatan yang sudah dicapai dengan PKR dan DAP, maka apa yang kedua-dua parti itu putuskan maka Pas ikut sahaja, tanpa bantahan.

Tetapi wajarkah Pas yang mempunyai ramai alim-ulama menggalakkan satu perbuatan yang boleh mencetuskan huru-hara dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Kenapakah mereka tidak beramai-ramai mengadakan solat hajat bagi meminta petunjuk Allah SWT dalam menghadapi isu Anwar ini? Bukankah selama ini solat hajat seolah-olah sudah dilihat menjadi 'alat' kepada Pas bagi mencapai tujuan politik mereka?

Kalau betul Pas yakin Anwar tidak bersalah seperti mana dipertegaskan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kenapakah selama ini Pas tidak memainkan peranan menyuruh Anwar melakukan sumpah laknat? Kenapakah apabila Mohd. Saiful Bukhari bersumpah, pelbagai kenyataan mereka buat bagi menolak 'pembelaan diri' pemuda tersebut?

Kenapakah selama ini Pas tidak berusaha 'menyucikan' Anwar termasuk membuat solat hajat agar pemimpin pujaan mereka itu tidak perlu dihadapkan ke mahkamah? Kenapa Pas tidak pertimbangkan fakta benarkah Anwar dianiaya, dan tak kan mereka tidak tahu doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah SWT?

Jelaslah penglibatan Pas dalam demonstrasi haram melalui kempen Bebas Anwar 901 itu bukan soal menegakkan keadilan, menentang kemungkaran atau memperjuangkan kebenaran tetapi segala-galanya kerana politik!



Pas hakikatnya sudah terdesak dan semakin lemah dalam perjuangan politiknya, sebab itu mereka terus mahu merelakan diri menjadi 'pak turut'.

Mereka sudah tiada lagi keyakinan diri untuk bertanding secara sendirian dalam pilihan raya dan semakin percaya pemimpin mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri kecuali Anwar.

Justeru, akibat terhakisnya keyakinan diri berkenaan, maka Pas bersedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan Anwar dan kerjasama dengan pembangkang.

Sebab itulah, pemimpin Pas sudah menyatakan kesediaan mengerahkan penyokong mereka untuk menyertai demonstrasi haram berkenaan.

Walaupun pelbagai ulama sudah memberi peringatan bahawa perbuatan tersebut haram dari segi Islam kerana ia boleh membawa kemudaratan, namun pemimpin-penyokong Pas peduli apa.

Bagi mereka, peringatan oleh para ulama dan mufti itu tidak perlu didengari kerana ia bukannya datang daripada golongan ulama dalam parti mereka.

Kepada penyokong Pas, hanya ulama mereka sahaja yang berhak menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara itu, datanglah nasihat daripada ulama dari Mekah sekali pun, mereka tidak akan menghiraukannya.

Semua ini jelas membuktikan bahawa Pas semakin lemah dan semakin taksub dengan Anwar sehinggakan mereka merasakan kalau apa-apa berlaku kepada Anwar maka habislah pakatan pembangkang.

Tetapi dalam masa sama, kenapakah penyokong Pas tidak bertanya, apabila Anwar menyatakan pembangkang sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan berikutan kes mahkamahnya dan sudah ada orang bakal menggantikannya sebagai ketua pembangkang, siapakah orang itu?

Apakah ia di kalangan pemimpin Pas? Ramai yang percaya bahawa Pas hanya bermimpi untuk menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Walaupun dari segi moral, majoriti Pas dilihat jauh lebih baik daripada pemimpin PKR tetapi itu bukan kriteria yang akan membolehkan mereka dipilih menjadi pemimpin utama pembangkang.

PKR dan DAP sudah ada pilihan mereka sendiri dan ia sudah pastilah di kalangan mereka juga, bukannya daripada Pas.

Hakikatnya, Pas hanya alat untuk PKR dan DAP mencapai cita-cita politik mereka, sebab itulah dalam blog penyokong Pas ada antara mereka menulis, '' Masalah dengan PKR ni, bila perlu orang berhimpun - depa (mereka) ajak kita. Bila dia dapat kuasa - dia tinggal kita.''

Memang itulah hakikatnya dan ia disedari oleh penyokong-penyokong Pas tetapi malangnya di dalam parti itu mereka diasuh untuk taat kepada pemimpin, tidak boleh ingkar atau bantah, kalau bantah nanti dituduh 'menjadi boneka UMNO'.

Kita tidak perlu membuang masa untuk menasihatkan pemimpin dan penyokong Pas kerana pandangan dan mungkin juga hati mereka sudah ditutup untuk melakukan pengimbangan bagi membuat keputusan yang tepat dalam berpolitik.

Biarlah rakyat terutamanya umat Islam menilai sendiri apakah begitu sikap sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam? Apakah Islam menggalakkan pendekatan yang boleh menimbulkan huru-hara dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau melahirkan pendapat?

Dan kita juga percaya, umat Islam akan lebih tahu bagaimana untuk mendapatkan pertolongan dan petunjuk Allah bagi mengetahui antara kebenaran dan kepalsuan, seseorang itu dianiaya atau tidak dan antara yang betul dan salah.

Pas perlu ingat, mereka mungkin boleh berbangga kerana mempunyai kehebatan mengumpul orang turun ke jalanan tetapi itu bukanlah penentu mereka boleh menjadi parti yang berkuasa di negara ini, apatah lagi selagi berkawan dengan PKR dan DAP.

Ia kerana Pas dalam pakatan pembangkang, hakikatnya hanyalah penyokong dan bukannya peneraju kepimpinan. Itulah nasib puak yang bersedia menjadi 'pak turut' akibat ghairah memburu kuasa!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive