Saturday 12 July 2014

KISAH RAMADHAN !! ANTARA TANGGUNGJAWAB, AMANAH DAN TAWARAN RAMADHAN [ WAJB BACA ]



Kisah Ramadhan 1 (Masjid-Hilangnya Jemaah)
Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan.
Oleh sebab itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itulah ketika bulan ini umat Islam berpusu-pusu mengimarahkan rumah ibadah untuk berwirid, bertadarus, beriktikaf dan pastinya bertarawih.



Saya sendiri tidak ketinggalan untuk bersama-sama merebut “tawaran istimewa” yang didatangkan oleh bulan Ramadhan. Masjid sudah menjadi rumah persinggahan kedua buat saya. Namun peristiwa-peristiwa dalam masjid menyebabkan tulisan ini dihasilkan.

Amat seronok sekali apabila melihat berubahnya suasana kemeriahan masjid apabila Ramadhan tiba. Berduyun-duyun orang datang setiap penjuru memenuhi setiap ruang yang ada. Pastinya batas jantina, bangsa dan umur bukan lagi menjadi penghalang. Namun tanpa kita sedari kemeriahan ini telah menimbulkan beberapa “dosa” yang tidak kita sedari.

KES 1
Terdapat seorang lelaki masuk ke dalam masjid membawa seorang anak perempuan dalam umur 5 tahun siap bertelekung. Manis orangnya, terasa sejuk melihat seorang ayah berjaya mendidik anak gadisnya untuk sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid. Kebanggaan saya terhenti apabila si ayah dengan bangga membawa anak gadisnya berebut-rebut memenuhi saf di hadapan dan dengan selambanya menyuruh anak gadis tersebut berdiri bersebelahan dengannya dan bersama-sama jemaah lelaki yang lain. Terkesima saya melihat kedangkalan ilmu agama si ayah.

KES 2
Si ayah datang bersama-sama 2 orang nak yang masih kecil. Berdasarkan pengamatan saya dalam usia 4 dan 3 tahun. Ceria bercanda ke dua beradik tersebut. Bila masa untuk mendirikan solat si ayah berdiri di hujung saf walaupun di saf yang ke hadapan, agar anak-anak mereka tidak terselit di antara jemaah. Satu sifat yang boleh dipuji, setelah seketika terhidu sesuatu yang amat tidak menyenangkan, setelah diamati rupanya salah seorang daripada kanak-kanak tersebut telah melepas “qada hajat”. Sesi mencemik muka para jemaah pun bermula, walaupun kanak-kanak tersebut memakai lampin pakai buang namun tidak dapat membendung bau yang lahir daripada tindakan tersebut. Menariknya si ayah meneruskan solat pada rakaat-rakaat seterusnya tanpa memikirkan impak tindakan beliau.

KES 3
Terdapat anak-anak yang dibiarkan di belakang saf kerana penjaga mereka berpandangan kanak-kanak harus diletakan di tempat sepatutnya. Secara tidak langsung satu tindakan yang terpuji. Niatnya baik tapi pelaksanaannya mungkin harus difikirkan kembali. Bayangkan apabila kanak-kanak berhimpun, pasti riuh dan tak terkawal jadinya. Tidak perlu diceritakan keriuhan yang berlaku, cukup untuk para pembaca bayangkan sendiri yang akhirnya menyebabkan keluh di hati pada jemaah yang lain.
Sampai Bila

3 senario kes ini sekadar cebisan corak carik suasana masjid pada bulan Ramadhan ini. Ironinya impak terhadap perlakuan di atas mencetuskan kesan negatif. Pernah saya berbual dengan pengurusan masjid tentang keluhan pengurangan jemaah hari ke hari yang hadir ke masjid menyebabkan saya terfikir mungkin mereka terlepas pandang perkara-perkara yang mereka anggap kecil ini.

Sebagai jemaah saya pastinya nak bersolat dalam keadaan aman, tenteram dan kondusif. Penghijrahan ke masjid lain merupakan satu alternatif terhadap mencapai kehendak saya dalam memenuhi ruang-ruang tawaran Ramadhan yang berbaki sedikit ini. Maka tidak hairan apabila jemaah mula bertebaran mencari tempat iktikaf yang baru.

Dalam suasana semasa pengurusan masjid perlu menjadi inovatif mencari penyelesaian terhadap isu ini. Hakikatnya pihak pengurusan masjid tidak boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak-anak mereka. Kerana ini merupakan proses pendidikan awal dan semaian perasaan cintakan masjid, akan tetapi satu kaedah perlu dicari agar keselesaan untuk semua boleh dicapai. Mari kita gariskan beberapa cadangan yang dilaksanakan di luar negara yang mungkin sesuai diadaptasi dengan suasana masyarakat di Malaysia.

1. Pembinaan nurseri kanak-kanak, dan dibuka setiap waktu solat, penjaganya terdiri dari sukarelawan yang silih berganti untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.
2. Mendirikan dua ruang solat berbeza, tingkat atas untuk dewasa manakala bawah untuk ibu bapa bersama-sama kanak-kanak.
3. Menguatkuasakan peraturan hanya kanak-kanak berumur 7 tahun atau yang mumaiyiz sahaja boleh berada diruang solat dewasa.
4. Pengurusan masjid boleh mewujudkan aktiviti khas kanak-kanak ketika solat berlangsung seperti mewarna, yang dapat menarik perhatian kanak-kanak ini.

Kesimpulan

Penulis juga pergi ke masjid bersama-sama dengan anak-anak, bukan penulis nak mengatakan anak-anak penulis baik-baik belaka, Cuma penulis memahami kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa muda, anak-anak adalah amanah, namun tawaran Ramadhan sukar untuk dilepaskan. Maka kita perlu berani mengorak langkah berubah dengan menjadikan masjid mesra kanak-kanak agar, kesemua jemaah selesa dalam beribadat secara tidak langsung dapat menarik semua golongan usia untuk terus mengimarahkan masjid. Jangan kita anggap isu ini isu enteng, kerana takut-takut kealpaan kita, satu hari nanti masjid menjadi hanya tempat solat yang “touch and go” sahaja.


Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri
Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM.

2 comments:

Anonymous said...

Anak anak yg belum mumayyiz eloklah ditinggalkan di rumah bersama ibu dan kakaknya.
Wanita juga tak berkewajipan solat berjamaah di masjid / surau, elok juga mengajar anak anak mengaji dan solat di rumah.
Kisah Nabi saw dgn Hasan, Husin, dan Umamah r.anhum. harus difahami bahawa rumah Nabi saw berkongsi dinding dgn Masjid.

Anonymous said...

Solat Sunat Tarawekh juga boleh didirikan di rumah terutamanya bg wanita yg mempunyai anak anak yg belum mumayyiz.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive