Saturday 28 June 2014

PANASS !! CEO PETRONAS KENA BALUN !!



SEJAK Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas membuat kenyataan kontroversi bahawa konglomerat minyak dan gas itu bukan hak milik bangsa Melayu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu `naik angin’.

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) antara yang awal mengecam Shamsul, sambil mendesak Presiden Petronas itu segera meletakkan jawatan kerana berbohong mengenai hak milik syarikat nasional itu.

Bangsa Melayu juga mengharapkan protes itu disahut beberapa NGO Melayu yang lain termasuk Majlis Perundingan Ekonomi Melayu Malaysia (MAPEM) diterajui Tan Sri Rozali Ismail yang dikatakan cukup obsess memperjuangkan ekonomi bangsa teras sejak awal 1990an.

Pada sidang media bersama MTEM dan Perkasa, mereka mengutuk Shamsul yang disifatkan `tidak sedar diri’ kerana mendakwa Petronas bukan hak Melayu tetapi milik rakyat Malaysia berbilang kaum.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendesak CEO Petronas itu meletakkan jawatannya sambil menegaskan sejak jawatan tersebut dipegang Shamsul, pelbagai masalah timbul terutamanya berkaitan dengan Bumiputera.

“Sewaktu pentadbiran Tan Sri Mohd Hassan Merican dahulu, tidak banyak isu dan masalah timbul,” katanya sambil menambah kenyataan Shamsul dalam The Edge seolah-olah beliau hendak menyalahkan orang lain dan cuba untuk melindungi dirinya.



“Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa beliau ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, golongan birokrat dari dalam kerajaan menunjukkan sikap beliau yang sebenarnya.

“Saya dapat sifatkan temubual yang dilakukan bersama beliau seolah-olah beliau seperti burung unta yang takut, dan akan masukkan kepala di dalam pasir,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, kerajaan semestinya campur tangan dalam urusan Petronas kerana konsesi tersebut adalah milik kerajaan dan pihak kerajaan cuba nasihatkan beliau (melalui wakil tertentu) tetapi beliau tetap berdegil.

Katanya lagi, Shamsul menyifatkan Petronas sebagai hak milik rakyat Malaysia berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 tetapi pelu diingat bahawa akta itu perlu mematuhi Dasar Ekonomi Ekonomi Baru (DEB) dan ia ditegaskan sekali lagi oleh Perdana Menteri pada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, tahun lalu.

Ibrahim juga menawarkan Petronas berdailog dengan Perkasa dan lain-lain NGO Melayu berkaitan hak milik syarikat itu.

“Kita sedia untuk berdialog, tetapi mesti dilakukan secara terbuka, siaran secara langsung, dan terbuka kepada masyarakat,” katanya.

Pada sidang media yang sama Pengerusi Kluster Minyak dan Gas MTEM, Tengku Putra Tengku Ahmad turut menjelaskan bahawa ramai ‘pemain’ minyak dan gas amat kecewa pimpinan Shamsul Abbas.

“Beliau terlalu liberal dalam organisasinya. Sepatutnya pihak kerajaan menarik semula konsesi yang diberikan dan kita tengok sama ada Petronas boleh terus hidup atau tidak.

“Kita tengok jika Petronas mampu atau tidak untuk bersaing dengan Shell atau Exxon sekiranya tender terbuka dilakukan,” katanya.

Shamsul mungkin sudah menduga dan bersedia dengan kecaman yang akan diterimanya akibat membuat kenyataan itu. Persoalannya mengapa beliau sanggup menyatakan secara terbuka soal hak milik Petronas.

Apakah Shamsul didesak pihak tertentu supaya menjelaskan isu hak milik Petronas bagi memberi laluan dan modal politik kepada bukan Melayu (dalam dan luar kerajaan) supaya menjaja cerita bahawa Petronas adalah hak rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Atau mungkin Shamsul terpengaruh dengan doktrin Pakatan Rakyat yang mahu melepaskan Petronas daripada memayungi ekonomi Melayu kecuali hal-hal kecil seperti memberi peluang kerja buruh saja.

Mengapa sejak Shamsul `buat perangai’ sejak 2010 dengan beranggapan Petronas tidak boleh diganggu sepertimana Shell atau Exxon, apakah beliau terpengaruh dengan doktrin Barat walaupun sedar sikap beliau itu akan merugikan bangsa Melayu sendiri.

Mengapa tiba-tiba Shamsul membuat kenyataan soal Petronas milik siapa, sedangkan beliau tahu bangsa Melayu selama ini memang bergantung kepada Petronas dan beberapa GLC lain untuk memayungi ekonomi mereka.

Sebelum ini Petronas tidak ada masalah ketika memayungi ekonomi Melayu terutama dalam agihan projek mega dan konglomerat itu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu muflis.

Shamsul menjadi CEO di situ ketika Petronas mantap, bukannya menghadapi krisis kewangan seperti yang berlaku pada Malaysia Airlines (MAS). Beliau ditugaskan untuk meneruskan perjuangan Petronas, bukannya merombak semua prosedur yang menjahanamkan bangsanya sendiri.

Pelik dakwaan Shamsul yang mengatakan Petronas akan bengkrap dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika terus memberi projek secara terus kepada syarikat Melayu tanpa bidaan. Kenyataan itu sebenarnya meminjam kenyataan liar pembangkang yang meramalkan Petronas akan bengkrap jika terus memayungi ekonomi Melayu.

Di Singapura, ada juga beberapa tokoh korporat Melayu yang berperangai sama dengan Shamsul, mengaku diri mereka Melayu tetapi tidak peduli bangsanya tercicir daripada perebutan kontrak pembangunan dan akhirnya bangsa Melayu Singapura terpinggir dan tercicir.

Di Malaysia, puak pembangkang memang mencari jalan bagaimana mahu memutuskan ikatan antara Petronas dan bangsa Melayu kerana bangsa lain tidak dapat menikmatnya secara terbuka.

Namun bukan Melayu menguasai hampir semua projek mewah Petronas secara bidaan terbuka dan pada masa yang sama dipercayai `membeli’ ramai usahawan Melayu untuk mendapatkan projek daripada Petronas.

Jika Shamsul terus mengamalkan sikapnya, Petronas hanya akan memberi projek `ikan bilis’ saja kepada bangsa Melayu.

Shamsul sendiri sudah mengumumkan bahawa Petronas hanya memberi projek mega kepada mereka yang mempunyai rekod cemerlang dalam industri dan sudah tentu projek seumpama itu akan jatuh kepada syarikat bukan Melayu dan pelabur asing.

Beliau sudah tahu itu akan berlaku kerana setakat ini tiada syarikat Melayu di Malaysia berstatus `Tier Satu’ dalam industri carigali minyak dan gas.

Bagi `Tier Dua’ pula boleh dibilang dengan jari. Nama-nama seperti Sapura Kencana dan GOM Resources merupakan beberapa syarikat Melayu yang aktif dalam industri itu tetapi mereka terlalu kerdil bagi Petronas untuk merebut projek berbilion ringgit.

Jelasnya, beberapa syarikat bukan Melayu mengungguli projek-projek mega berkaitan carigali minyak dan gas asli. Mereka mendapat tempat dihati Petronas kerana dikatakan lebih berkelayakan dan profesional.

Puak pembangkang memang bangga dengan sikap Shamsul tetapi segan memujinya secara terbuka. Mungkin sebab itu Shamsul berani menghina kerajaan dalam temu bual dengan akhbar kontroversi seperti The Edge Weekly.

Mungkin beliau sudah puas berkhidmat dengan Petronas dan di saat-saat akhir sebelum ditamatkan perkhidmatan, beliau sudah siap sedia memberi kenyataan paling kontroversi dengan mengaitkan campurtangan orang-orang kerajaan tertentu di bawah Perdana Menteri.

Selepas ini beliau dijangka tidak berpeluang mempertahankan Petronas melainkan beliau menyertai kem pembangkang pada masa hadapan dan menyalak seperti mana yang dilakukan oleh beberapa tokoh korporat yang sudah berkerat rotan.

Harap Shamsul tidak tergamak berbuat demikian demi kelangsungan ekonomi Melayu.- bnbbc.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive