Saturday 14 December 2013

KERETA IMPORT BERCERMIN GELAP JADI MANGSA JPJ ??



SAYA memohon kerajaan menimbang isu besar yang melibatkan pengguna dan pemilik kenderaan MPV di Malaysia khususnya pemilik Wish, Estima, Honda Stream, Cardina, Alphard dan Vellfire.

Sebagai pengguna MPV import, kami adalah mangsa seksyen 61(1) APJ 1987 yang sudah tidak relevan dengan keadaan zaman.

Bagi memahami isu saya catatkan kejadian yang berlaku. Untuk makluman pembaca, pada bulan lalu kenderaan MPV saya telah diarahkan berhenti oleh penguatkuasa JPJ di sebuah kawasan di Utara.

Setelah mencari kesalahan yang tidak ditemui, mereka melihat cermin MPV saya dan mengeluarkan 'Notis pemeriksaan kenderaan di bawah Seksyen 61(1) APJ 1987'.



Ini merupakan kejadian pertama sejak 2008 menggunakan kenderaan MPV import kerana keperluan keluarga yang ramai dan keselesaan perjalanan jauh.

Saya mengemukakan alasan MPV berkenaan telah mempunyai cermin asal (bukan tinted) bahagian belakang seperti yang dikeluarkan oleh negara asal (Jepun).

Malah bahagian pemandu saya adalah mematuhi peraturan dan cerah. Mereka menjelaskan bahawa tindakan pemasangan cermin putih dilakukan oleh pengedar kenderaan sebelum diluluskan PUSPAKOM.

Seperti yang dimaklumi, kesemua kenderaan MPV yang bercermin gelap bahagian belakang diluluskan oleh JPJ dengan taktik yang sama dan hampir semua orang tahu mengenainya.

Kejadian ini mengundang beberapa persoalan kepada Jabatan Kastam yang membenarkan kenderaan ini diimport serta Kementerian Pengangkutan khususnya JPJ untuk mencari penyelesaian terbaik kepada ramai rakyat Malaysia yang menjadi pengguna MPV seperti yang dialami.

Malah iklan-iklan kenderaan MPV ini secara terang mempamerkan keadaan asal cermin kenderaan berkenaan sedangkan arahan sebenarnya cermin berkenaan mesti berwarna cerah.

Sebagai pengguna, kami mempunyai empat pilihan berdasarkan notis di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 seksyen 61(1), iaitu menukar cermin cerah yang kosnya melibatkan beribu ringgit tetapi risikonya adalah cermin berkenaan bukan asli (buatan Taiwan atau China). Kaedah kedua ialah menyewa cermin putih seperti yang dilakukan oleh pengedar kenderaan dan berlakon untuk mendapatkan pembatalan notis. Paling menarik saya telah diberikan pilihan ketiga iaitu 'merasuah pegawai JPJ' iaitu tanpa membawa kenderaan dan notis akan diserahkan kepada 'orang dalam JPJ' untuk pembatalan dan kosnya ialah RM400. Namun perkara yang menjijikkan ini tidak terfikir untuk dilakukan sekalipun bayaran RM100.

Pilihan keempat ialah mengemukakan Borang Cermin Gelap (CG1) yang perlu mendapat kelulusan Menteri Pengangkutan atau Pengarah Penguatkuasa JPJ. Untuk makluman, kemungkinan besar permohonan ini tidak akan diluluskan kerana ianya khusus untuk mereka yang mempunyai faktor kesihatan (berpenyakit kulit) dan faktor keselamatan (VIP yang kemungkinan akan ditembak atau dirompak). Borang CG1 ini pula perlu mendapat surat sokongan berbagai agensi.

Namun bila difikirkan (sekadar gurauan) dengan melihat kejadian tembak, ianya mungkin boleh dipohon oleh sesiapa sahaja tanpa melibatkan golongan vip yang mempunyai alasan di rompak atau ditembak. Akhirnya keputusan saya ialah menyewa cermin cerah dari sebuah kedai mengecat milik kaum cina kerana bimbang sekatan terhadap cukai jalan yang dijadikan cara terakhir oleh JPJ bagi memastikan pengguna akur.

Bimbang kos bertambah kerana terdapat denda lewat maka saya merugikan masa selama 3 hari untuk perkara berkenaan. Sehari untuk menukar dan pemasangan cermin cerah. Pada hari kedua membawa kenderaan ke JPJ untuk mendapatkan surat PG,10-Pin.2/83 sebagai akuan pemeriksaan kenderaan.

Selepas itu kenderaan dimasukkan semula ke bengkel untuk dipasang semula cermin asal yang gelap. Kadar sewa yang dikenakan kepada saya ialah RM500. Bayangkan berapa banyak keuntungan kedai kereta milik kaum Cina yang menjalankan operasi berkenaan hasil inisiatif JPJ melalui notis berkenaan. Inilah modus operandi syarikat pengedar kenderaan import sejak sekian lama dan ia sudah sedia diketahui oleh JPJ. Persoalannya sampai bila ianya harus dibiarkan dan pihak pekedai mengaut keuntungan lumayan?

Bersabit isu ini, saya mengajak pemilik MPV yang membawa isu ini ketengah. Sebagai pengguna yang terkilan dan ditekan dengan akta ini, kita memerlukan tindakan bersepadu untuk mendesak kerajaan Malaysia agar menilai semula akta ini. Isunya pengguna MPV bukannya mahu memasang cermin gelap di keseluruhan kenderaan MPV, tetapi hanya mahu mengekalkan cermin gelap asal yang sedia ada di bahagian belakang dan tempat letak barang sahaja.

Berikut adalah sebab dan alasan yang relevan untuk dinilaikan:

Kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang kaedah kenderaan motor (Larangan mengenai jenis-jenis kaca tertentu) 1991 dengan memberikan kelonggaran kepada kenderaan MPV.

Standard penggunaan cermin gelap bahagian belakang MPV adalah amalan perkilangan antarabangsa dan digunapakai di seluruh dunia kecuali Malaysia.

MPV merupakan sejenis caravan untuk keluarga dan keselesaan penumpang bahagian belakang harus diberikan perhatian. Selain keperluan akibat faktor cuaca panas di Malaysia, MPV seperti mana caravan dan van barang perlu yang menutup keseluruhan tempat barang mereka atas faktor mengundang kecurian

Justeru sebagai pengeluar kenderaan, pihak pengilang telah menjangkakan segala keperluan bagi kenderaan MPV ini sebelum direkabentuk untuk memastikan keselamatan barang kerana ianya direkabentuk tanpa bonet. Tarikan utama dan 'kecantikan dan sifat MPV' yang direkabentuk dari Jepun pada asalnya dengan bercermin gelap di bahagian belakang menyebabkan kenderaan ini laris di pasaran.

Bayangkan jika ia bercermin cerah, mungkin kenderaan ini tidak akan menjadi idaman dan tidak ramai orang berminat memilikinya. Melalui permintaan yang tinggi JPJ mendapat manfaat kewangan dan kerajaan mengaut keuntungan melalui duti import yang dkenakan oleh Kastam Diraja Malaysia.

Jika kerajaan Malaysia masih mahu mengekalkan akta ini, maka Jabatan Kastam tidak harus membenarkan kemasukan MPV import dengan cermin gelap ke negara ini. Sebelum kenderaan ini di bawa masuk, ia mestilah dipastikan bercermin cerah yang asli dari negara pengeluar.

Kepada penguatkuasa JPJ yang bertugas, letakkanlah sifat peka dan nilai kemanusiaan sebelum menghukum dan mengenakan kami.

Forum Utusan Malaysia

2 comments:

Tak puas hati said...

Bagaimana pula dgn kakitangan JPJ yang memasang cermin gelap pada kenderaan persendirian mereka.Mereka boleh tapi kita org awan tak boleh. ORG ORG JPJ TOLONG JAWAB.Ini di namakan pilih BULU....!!!!

Aizad Hanf said...

Saya guna Kereta import jgk.. 2 pintu dan cermin Bahagian belakang mmg gelap sbb asl Dari jepun mmg mcm tu kecuali Bahagian Hadapan penumpang dan driver. Tp bust masa skrng masuk roblock jpj xpnh kena lg la...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive