Presidennya, Datuk Dr Jacob George menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Kamalanathan sebagai biadap kerana menggambarkan seperti Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seolah-olah tidak memahami keadaan masyarakat akar umbi yang kini berdepan dengan masalah kenaikan harga barangan keperluan.
"Banyak pihak beritahu saya yang menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Kamalanathan sebagai suara biadap dan kurang ajar.
"Bila beliau kutuk menteri saya, itu seolah menggambarkan kepada akar umbi kita tak buat kerja kita. Kamalanathan tahu ke kerja kita buat di KPDNKK? Berapa banyak agensi bawah kita? Apa kempen kita buat? Bagaimana kita masuk dan berjumpa akar umbi dan pihak-pihak berkepentingan?" soalnya ketika ditemubual secara eksklusif oleh Antarapos.
Kamalanathan baru-baru ini meminta Hasan tampil memberi penjelasan tentang isu-isu semasa kementeriannya, lebih-lebih lagi apabila kerajaan baru sahaja mengumumkan pengurangan subsidi bahan api dan pemansuhan subsidi gula.
Dakwanya ia penting bagi mengelakkan salah faham terhadap dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan sebagaimana yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Jacob menganggap tindakan Kamalanathan itu seperti mahu diangkat sebagai hero di kalangan penyokong-penyokongnya selain ia tidak wajar dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor itu apatah lagi isu itu bukan datang dari kementeriannya.
Tindakan Kamalanathan ini menurut Jacob, lebih mencemarkan imejnya sendiri, di mana sebelum ini Kamalanathan turut dikaitkan dengan kontroversi isu makan di tandas Sekolah Kebangsaan Seri Pristana.
Selain turut mempersoal kewajaran ibadah korban yang dilakukan di sebuah sekolah di Puchong, sekaligus dilihat sering membelakangkan kenyataan menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.
"Beliau mesti matang untuk tahu dia masuk dalam 'sesuatu air yang tak tenang, ada buaya dan lain-lain'. Dalam keadaan itu, beliau mesti menggunakan pengalaman untuk elakkan kontroversi.
"Sebab itu (pertama) bukan kementeriannya dan (kedua) beliau hanya timbalan menteri yang baru 150 hari di mana sebelum ini beliau hanya 'backventure' dalam politik pun ini baru kerja pertamanya dalam kerajaan.
"Dalam ruang politik, apabila anda nak jadi hero tetapi tak ada banyak pengalaman, anda akan mati cepat, kehidupan politik pun mati. Sebab anda membangkitkan banyak kemarahan. Sebab itu kita kena dengar dahulu dan ambil tanggungjawab itu secara perlahan-lahan," jelas Jacob.
Hal yang sama ditujukan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy yang sebelum ini mempertikai modus operandi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani jenayah di negara ini.
Jelas Jacob, apabila seseorang itu dilantik menyertai Kabinet, beberapa prinsip yang dipegangnya sebelum ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa yang bertanggungjawab bersama Najib membuat dasar-dasar kerajaan, namun jika enggan berbuat demikian, meletak jawatan adalah satu keputusan bijak.
"Daripada apa yang Kamalanathan lakukan ini, Najib kena tahu tentang kesalahan ini, begitu juga dengan seorang lagi rakan kita di Kabinet yang pernah keluarkan isu-isu kontroversi dan diminta tutup mulut oleh Zahid Hamidi dan Hishamuddin.
"Mereka mesti diberi amaran, jika mereka tak mahu ikut protokol tertentu, lebih baik letak jawatan. Itu nasihat saya kepada sesiapa pemimpin, menteri atau timbalan," katanya.
Ditanya prestasi Hasan sebagai peneraju KPDNKK yang sehingga kini menerima banyak reaksi negatif atas dakwaan ketidakpekaan beliau terhadap isu-isu pengguna dan desakan pembangkang supaya meletak jawatan, Jacob mahukan rakyat memberi lebih ruang kepada Hasan untuk menonjolkan kepimpinannya.
"Apabila PM pilih anggota Kabinetnya, beliau sudah melihat latar belakang setiap dari mereka. Jika PM fikir untuk menukarkan portfolio Kabinetnya, itu terpulang, itu hak PM.
"Tapi PM dah buat keputusan, dan sebagai aktivitis pengguna, saya mengalu-alukan tindakan PM dan saya mahu bekerjasama dengan orang yang dipilihnya," katanya.-Antarapos
No comments:
Post a Comment