Friday, 9 November 2012

CERITA MENARIK !!! JELINGAN MANJA AWEK LOMBOK !!



Kecuali sekali sekala ada berita mengenai gadis Malaysia dilarikan, tidak banyak yang saya ketahui mengenai Lombok. Setelah tiga jam penerbangan terus dari terminal tambang murah Sepang, saya tiba di pulau tersebut hujung minggu lalu.

Banyak rahsia terbongkar sepanjang tiga hari di pulau bahagian Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia itu. Satu rahsia yang patut saya bocorkan untuk dikongsi ialah perihal sebuah kolam yang airnya dikatakan dapat memulihkan tenaga.

“Bisa awet muda jika mandi di situ,” kata Junaidi, supir @ pemandu pelancong tidak rasmi, mengenai kolam mata air di Taman Narmada, kira-kira 10km dari bandar Mataram, ibu kota Lombok. Bagaikan menyindir, dia menjeling saya dan menambah: “Bapak juga bisa kembali remaja kalau mandi di Narmada!” Seperti yang diceritakan, air kolam tersebut dari mata air asli, sejuknya seperti ais.

Setelah berendam sehingga kecut semuanya, sebaik naik seluruh tubuh terasa hangat dan terus bertenaga. Konon, apa yang sebelumnya longgar boleh diketatkan, yang kendur boleh ditegangkan.



Rasa tercabar – dan ingin mencabar! – mulanya saya memang berhasrat untuk mandi di situ. Tetapi fikir punya fikir, tidak ada apa-apa faedah sekiranya saya betul-betul menjadi muda semula selama tiga hari itu, sebab saya sendirian di bilik Hotel Jayakarta.

Malah, kalau tenaga muda itu dibawa pulang ke KL, boleh menimbulkan syak pula kepada isteri. Tak pasal-pasal saya akan disoal siasat. Maka, ada baiknya niat untuk singgah di Narmada dibatalkan.

Lagi pun tujuan sebenar ke sana bukan untuk awet muda, tidak juga untuk mencari anak dara kita yang dilarikan oleh lelaki ke pulau tersebut. Biarlah NGO lain meneruskan kerja-kerja mengesan wanita kita yang berkahwin di pulau Lombok.

Secara peribadi saya tidak berapa berkenan kita berbelanja untuk mencari gadis yang dilarikan dan berkahwin di sana. Mereka sendiri yang rela untuk mengikut dan berkahwin dengan lelaki di sana, mengapa kita perlu bersusah-payah membawa mereka pulang? Lebih
baik doakan sahaja kebahagiaan mereka.

Ada misi lain saya ke Lombok. Bersama Datuk Chamil Wariya, Sabaruddin Ahmad Sabri dan Baharom Mahusin, kami mewakili Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia @ ISWAMI, bermesyuarat dengan sekumpulan rakan setugas di Indonesia, diketuai oleh Saiful
Hadi, CEO agensi berita Antara.

Sudah tiga tahun saling bertemu dan bersidang, apa yang dibincangkan masih perkara yang sama: bahawa media, khasnya para wartawan memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan dua negara, menerusi laporan yang seimbang dan positif.

Tetapi, kerap terjadi laporan tidak seimbang. Isu-isu remeh seperti Tarian Pendet, Tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan dilaporkan secara sensasi oleh akhbar di sana, sehingga mencetuskan protes dan mengakibatkan serangan ganas terhadap pejabat kedutaan kita.

Tentu sekali saya menyanjung usaha murni Saiful dan rakan-rakan ISWAMI di sana untuk laporan yang lebih seimbang. Tetapi, ada beratus akhbar nyamuk di sana yang di luar kawalan dan tugasnya hanya untuk menyengat dan mencetuskan sensasi.

Walaupun ada lebih dua juta tenaga kerja Indonesia (TKI) mencari rezeki di Malaysia, apa yang disensasikan oleh akhbar di sana ialah isu terpencil penderaan Bonat. Kita pun menentang keras penderaan seperti itu, tetapi media kita tidak menjadikan itu sebagai sensasi melariskan akhbar.

Sebaliknya perihal gadis kita dilarikan lelaki Lombok tidak pula diuar-uarkan sebagai bahan utama dalam media sebelah sana. Tidak seperti paparan terhadap Bonat atau Tarian Tor- Tor. Agaknya kalau ada lelaki kita melarikan gadis Indonesia, pasti itu akan disensasikan media di sana.

Selama tiga hari di Lombok saya tiada kesempatan untuk berkenalan dengan gadis di sana.

Secara jeling-jeling rambang di tepi pantai, di lobi juga di kafe hotel, jelas sekali gadis di sana cantik dan peramah. Kalau lama di sana dan beberapa kali mandi di Narmada, mungkin berjaya juga saya memujuk gadis Lombok untuk diajak ke KL.

Tetapi saya tidak sanggup berbuat begitu. Pertama, takut ada tunjuk perasaan, dan kedutaan kita di Jakarta diserang, almaklumlah ramai kawan rapat saya bertugas di pejabat kedutaan.

Kedua, takut – sebenarnya lebih takut! – saya diserang sebaik tiba di rumah.

Sinar harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive