Wednesday 15 February 2012

TUDIAA!! @mpkotabelud Pun Tahu Yang @anwaribrahim Bohong Pasal Royalti Minyak di Sabah???



Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor akan menaikkan royalti minyak Sabah daripada 5% kepada 20%.
Enggan mengalah, pemimpin pembangkang lain seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula menjanjikan 50%. Bagaimanapun, untuk menzahirkannya, Dr Jeffrey perlu bergantung kepada sokongan Anwar jika dan apabila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya tidak mempunyai alasan untuk menolak cadangan itu kerana Anwar mahu memberi lebih banyak dana buat Sabah. Tetapi benarkah begitu?

Malangnya, saya menyedari betapa tidak telusnya Datuk Seri Anwar dengan cadangan menambah royalti minyak untuk Sabah.

Ketika persidangan Dewan Rakyat tahun lalu, saya bertanya jika Anwar menambah royalti minyak Sabah kepada 20%,apakah beliau boleh menjamin untuk tidak mengurangkan peratusan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan 2013 atau Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) jika pembangkang menawan Putrajaya?



Saya mengingatkan pembangkang bahawa Sabah menerima peruntukan terbesar Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia dan Belanjawan tahunan secara konsisten. Sebagai contoh, Sabah menerima RM20.3 bilion sepanjang pelaksanaan RMKe-9 daripada peruntukan keseluruhan RM230 bilion, selain mendapat RM10.7 bilion daripada RM98.5 bilion menerusi Pelan Pusingan Pertama RMKe-10. Kedua-duanya adalah peratusan tinggi buat Sabah.

Kebimbangan saya ialah, walaupun Anwar mahu menaikkan royalti minyak, tiada jaminan peruntukan Sabah tidak akan dikurangkan, baik menerusi Belanjawan 2013 mahu pun RMKe-11 nanti.

Jika itu keadaannya, dana Sabah tidak akan berubah atau berkemungkinan menjadi lebih teruk jika Anwar mengurangkan peruntukan tahunan Kerajaan Pusat kepada Sabah! Sebab itulah saya meminta jaminan tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk menjawab persoalan yang saya bangkitkan.

Untuk makluman, kenaikan royalti bagi Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan dianggar berjumlah melebihi RM10 bilion setahun (harus diingat Sarawak dan Terengganu menghasilkan lebih banyak minyak berbanding Sabah).

Anwar menyedari hakikat bahawa tambahan lebih RM10 bilion yang akan diberi kepada empat negeri pengeluar minyak ini bermakna RM10 bilion perlu diambil daripada peruntukan kerajaan pusat kepada negeri yang tidak menghasilkan minyak di Semenanjung.

Saya tidak fikir Anwar berani memberitahu rakyat negeri berkenaan: "Maaf, saya terpaksa mengurangkan peruntukan anda kerana perlu memberi lebih RM10 bilion kepada Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah!”. Sudah tentu, rakyat di negeri tersebut akan menolaknya. Saya jangkakan Anwar tidak boleh menerima kenyataan itu kerana beliau sangat memerlukan undi mereka untuk menawan Putrajaya.

Besar kemungkinan Sabah akan menikmati royalti minyak lebih besar tetapi di akhirnya, ia juga mungkin mendapat peruntukan lebih sedikit daripada Kerajaan Pusat di bawah pemerintahan Anwar sebagai Perdana Menteri. Perlu diingat bahawa Anwar sebagai Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan berapa dan siapa yang akan dapat lebih atau kurang peruntukan Kerajaan Pusat.


Setakat ini, beliau belum memberi jaminan ia tidak akan berlaku ke atas Sabah.

Anda dan saya tahu bahawa setiap ringgit yang diberi kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan mesti ada puncanya kerana duit tidak akan jatuh dari langit.

Untuk itu, beberapa negeri mesti mengorbankan bahagian mereka dalam Belanjawan Pusat. Malah, saya jangkakan sesetengah projek di Semenanjung terpaksa dibatalkan. Soalnya siapa dan apa yang perlu dikorbankan?

Atau ada juga kemungkinan Anwar akan mengurangkan perbelanjaan dalam aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan, infrastuktur, kemudahan awal, sosial di seluruh negara berikutan perlu membelanjakan lebih untuk royalti minyak.

Anwar mesti menjawab semua persoalan rumit ini supaya difahami dan dapat meyakinkan rakyat.

Harus juga diingat, Anwar mahu mengekalkan subsidi, enggan menaikkan cukai, menentang peningkatan hutang kerajaan dan sekarang ini bercadang mahu menambah royalti. Jadi bagaimana beliau mahu melakukan semua ini dari segi keupayaan kewangan?

Lagipun, rakyat Sabah masih mengingati bagaimana Anwar tegas menolak permohonan demi permohonan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menambah royalti minyak ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Apakah kini beliau bersedia untuk meminta maaf atas "kesilapan" itu?

Pakatan Rakyat turut menegaskan "penjimatan" atau "kutipan" berjumlah berbilion ringgit hasil usaha pembasmian rasuah dan rundingan semula perjanjian berat sebelah akan digunakan bagi membiayai pertambahan royalti.

Sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya harap mereka berjaya. Sebarang usaha membasmi rasuah mesti disokong dan digalakkan. Saya juga yakin rakyat Sabah berkongsi pandangan itu.


Bagaimanapun, kebimbangan saya bukan berpusat terhadap usaha membasmi rasuah. Ia lebih kepada rasional di sebalik hasrat Anwar untuk menjadikan "penjimatan daripada pembasmian kemiskinan dan rundingan semula perjanjian berat sebelah" sebagai sebahagian daripada unjuran pendapatan kerajaan pimpinannya.

Persoalannya ialah dapatkah Anwar membayangkan jumlah penjimatan tahunan hasil usaha anti-rasuah? Bolehkah beliau membuat anggaran perolehan sedemikian dengan tepat? Apakah wajar untuk menggunakan angka berkenaan bagi merangka Belanjawan Pusat?

Bolehkan Datuk Seri Anwar memaksa syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan pemegang konsesi tol lebuhraya untuk merunding semula perjanjian sedia ada sebaik Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri? Atau mungkinkah beliau berdepan tentangan berpanjangan dan terus-menerus dari syarikat-syarikat berkenaan yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan?

Jika ya, apakah anggaran perolehan Belanjawan akan berkurangan, sekali gus menjejaskan rancangan perbelanjaan termasuk menambah peratusan royalti?

Sejujurnya, saya tidak pernah lihat mana-mana kerajaan di dunia ini menggunakan anggaran "penjimatan daripada rasuah" sebagai asas penyediaan Belanjawan. Pendekatan itu sangat tidak bertanggungjawab manakala Belanjawan pula akan menjadi huru-hara.

Sepatutnya sebarang "penjimatan" berkaitan usaha membasmi rasuah perlu dilihat sebagai perolehan "bonus", dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam unjuran pendapatan belanjawan kerajaan. Justeru, sudah pasti wujud kebimbangan apabila Datuk Seri Anwar mengatakan akan membiayai pertambahan royalti daripada "penjimatan pembasmian rasuah".

Pada pendapat saya, Anwar mempunyai dua pilihan. Yang pertama, beliau akan mengurangkan peruntukan bagi negeri bukan pengeluar minyak (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Wilayah Persekutuan).

Pilihan kedua, beliau memotong peruntukan sektor kritikal seperti pendidikan, infrastruktur luar bandar, kesihatan dan keselamatan di seluruh negara.

Apa pun pilihan Anwar, negeri bukan pengeluar minyak dan rakyat Malaysia secara amnya, perlu mdiberitahu oleh beliau mengenai keadaan sebenar. Saya kira, persidangan Dewan Rakyat bulan depan adalah medan terbaik untuk beliau membuat penjelasan kepada seluruh negara. Jika beliau gagal menyentuh perkara itu, saya sendiri akan melontarkan persoalan ini terus kepadanya.

Sesungguhnya, saya tidak mahu orang Sabah terjebak hanya kerana Anwar menjanjikan bulan dan bintang.

Pandangan dari MP KOTA BELUD

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive