Monday 20 January 2014

PERBELANJAAN BERHEMAH, KEDAH MAMPU JIMAT 100 JUTA - @MukhrizMahathir




Kerajaan negeri memulakan langkah penjimatan dengan mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah sehingga menjimatkan RM100 juta daripada perbelanjaan mengurus tanpa menjejaskan rancangan pembangunan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah ia turut memudahkan kerajaan negeri merancang dan memberi fokus kepada usaha membasmi kemiskinan di negeri itu.

"Daripada penghapusan bayaran lesen penjaja kepada pengupayaan rakyat dengan program pembangunan usahawan dan pinjaman mudah mikro kredit, semua perancangan ini dirangka untuk meringankan beban rakyat.



"Berdasarkan data e-Kasih, 3,416 kes miskin tegar, miskin dan mudah miskin berjaya dikeluarkan daripada kesemua kategori tersebut. Namun, masih banyak perlu dilakukan bagi membantu golongan miskin tegar dan miskin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ke-86 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, beliau bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mencari jalan dan berusaha gigih untuk menambah hasil pendapatan negeri.

"Asas utama kami adalah dengan mencari sumber pendapatan baharu dan mempertingkatkan usaha mendapatkan bayaran premium yang sebelum ini belum dikutip.

"Peningkatan pendapatan ini telah bertambah daripada RM418 juta kepada RM514 juta malah unjuran hasil bagi tahun 2014 adalah RM724 juta," katanya.

Tambah beliau, peningkatan pendapatan itu akan diperoleh melalui daya usaha yang gigih, penyemakan segera hasil sedia ada dan 17 sumber baharu hasil cetusan minda daripada Makmal Transformasi Kedah yang telah dianjurkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive