Friday, 15 November 2013

GEMPARRR !! TARIAN KUDA KEPANG ULIK MAYANG BERHANTU ?



Tarian Ulek Mayang dan Kuda Kepang dipercayai mengandungi unsur mistik kerana sebelum ini telah banyak berlaku kejadian pelik sama ada terhadap penari atau penonton yang melihat persembahan itu secara dekat.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu, Zahari Mat berkata, jika mengikut sejarah, tarian itu mengandungi unsur memanggil atau memuja malah sehingga sekarang masih berlaku kejadian seperti melakukan ritual secara tidak sengaja.

“Sehingga ini, setiap kali membuat persembahan biasa pun unsur ritual itu akan wujud terutama sekiranya persembahan itu diadakan ketika Maghrib atau sebelah petang dan penari menggunakan mayang pinang atau kelapa dalam persembahan itu.



“Ini sebab mayang pinang dan mayang kelapa adalah syarat pemujaan untuk memanggil dan histeria yang dialami penari atau penonton yang berlaku kini turut berlaku zaman dahulu ketika tarian," katanya.

Kata Zahari, jika dilihat pada lirik lagu 'Ulek Mayang' juga ada unsur memanggil atau memuja.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja berlaku sekali dua, malah kebanyakan mereka yang terlibat dalam persembahan nyanyian dan tarian terutamanya ulek mayang berdepan pengalaman yang pelik.

“Saya agak terkejut apabila membaca berita mengenai hampir 50 anggota JPAM mengalami histeria ketika menyaksikan persembahan kuda kepang dan ulek mayang di kawasan perkhemahan dekat Jalan Pantai, Port Dickson baru-baru ini.

“Perkara begini tidak berlaku lagi sekiranya mereka yang terlibat membuat persiapan rapi sebelum persembahan,” katanya.

Zahari berkata, sepatutnya, sebelum membuat persembahan, penari dan penonton perlu mempersiapkan diri dengan pendinding seperti membaca doa selamat meminta dijauhkan daripada gangguan makhluk halus.

“Makhluk halus ada di mana-mana. Kita yang tidak nampak. Terutama di tepi sungai, pantai atau bukit kerana kawasan begitu adalah lokasi permainan mereka.

"Kawasan itu tidak sesuai untuk dibuat persembahan ulek mayang dan kuda kepang. Lainlah sekiranya diadakan di dewan," katanya.

Menurutnya, baru-baru ini pun, mereka di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu ada mengalami masalah serupa di mana beberapa penari dan penonton pengsan ketika mengadakan persembahan tarian ulik mayang sehingga
persembahan terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, Zahari berkata, lebih elok mendapatkan nasihat dari mereka yang alim mengenai perkara ini.

“Persembahan kesenian begini tidak boleh dibuat secara suka-suka. Perlu teliti lokasi dan mereka yang terlibat perlu bersiap sedia dari segi mental dan emosi.

"Perlu banyak berdoa dan memohon agar dijauhkan daripada kejadian tidak diingini," katanya-Sinar Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive