Friday 20 June 2014

BILA MP BARU TAK RETI PERATURAN DEWAN RAKYAT




Dek kerana enggan belajar dan mengambil iktibar daripada pengalaman melakukan kesilapan sebelum ini, Ahli Parlimen PKR Padang Serai N. Surendran pada Khamis sekali lagi digantung selama enam bulan atas kesalahan yang sama iaitu menghina Dewan Rakyat.

Usul bagi menggantung beliau diluluskan dalam suasana kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang dan Barisan Nasional (BN) ‘berperang mulut’ hingga Dewan menjadi riuh rendah dan mengganggu perjalanan mesyuarat.

Justeru Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee terpaksa meluluskan usul berkenaan tanpa membenarkan mana-mana wakil rakyat berbahas ekoran keadaan kekecohan yang tidak terkawal.

Usul penggantungan Surendran dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3).





Surendran terpaksa bercuti panjang selama enam bulan sekali lagi.

Sesi perbahasan bagi mendebatkan usul itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan ekoran tindakan ahli Parlimen pembangkang berterusan mencetus kekecohan, termasuk dengan berdemonstrasi di dalam Dewan persidangan.

Namun setelah Kiandee membuat keputusan meluluskan usul itu tanpa dibahas, ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mula pula berkelakuan lebih vokal dengan melaungkan perkataan ‘rubber stamp’.

“Sah, Parlimen kita macam ‘rubber stamp‘. Kita membantah keras cara Parlimen diperalatkan begini. Kita tidak boleh bahas usul yang dibentang,” dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita sejurus keluar dari Dewan Rakyat seolah Kiandee yang tidak memberi ruang untuk usul itu dibahas.

Malah Ahli Parlimen PKR Gombak, Azmin Ali terpaksa diarah keluar oleh Kiandee apabila pertikaian mengenai usul menggantung Surendran menjadi makin panas dan bertambah tegang.

Untuk rekod, Surendran baru beberapa hari sahaja kembali bertugas sebagai wakil rakyat PKR Padang Serai di Parlimen selepas tamat menjalani penggantungan sejak 14 November tahun lalu.

Dalam kes sebelum ini, Surendran mulanya telah diarah keluar dari Dewan selama dua hari oleh Pandikar Amin kerana mencabar keputusan Speaker menolak usulnya untuk membahaskan isu perobohan sebuah kuil di ibu negara, yang sebetulnya bukan terletak dalam kawasan Parlimen Padang Serai yang beliau wakili pun.

Surendran yang tidak berpuas hati kerana percubaannya untuk mempertikaikan keputusan Speaker gagal malah diusir keluar kemudiannya mengadakan sidang media di lobi Parlimen dan membuat kenyataan menuduh Pandikar Amin bersikap berat sebelah.

Beliau turut menyamakan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen Robert Mugabe, iaitu Presiden Zimbabwe.

Berbekalkan bukti kenyataan beliau itu Surendran terpaksa “bercuti panjang” selama enam bulan dari menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana didapati bersalah menghina institusi Parlimen serta jawatan Speaker.

Penggantungan terbaru kali ini pula puncanya ialah kerana Surendran seolah mahu menonjolkan diri sebagai hero dalam semua perkara apabila turut bangun membantu Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh yang mempertikaikan keputusan Speaker menolak usul beliau mengenai Lynas.

Maka rakyat di kawasan Parlimen Padang Serai terpaksalah menerima hakikat, bahawa bila dicampur tempoh kedua-dua penggantungan yang diijalani Surendran, bermakna pemimpin yang dipilih sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat tidak dapat menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan mereka selama setahun.

Makanya bermakna jika mandat Parlimen ke 13 ini ditamatkan sehingga cukup lima tahun, Surendran hanya bekerja sebagai Ahli Parlimen selama empat tahun, itupun jika bernasib baik tidak digantung lagi.

Namun sayugia diingatkkan, tempoh empat tahun itu pun mungkin tidak berapa kerat yang Surendran akan manfaatkan untuk memastikan kemajuan, kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kawasan Parlimen Padang Serai yang sebenarnya lebih wajar dan lebih berhak mendapat pembelaan beliau.-bnbbc.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive