Wednesday, 29 May 2013

TUDIAA !! BIAQ BETUI PEMUDA UMNO LEMBIK ?? @KhairiKJ



Kekuatan sesebuah parti seringkali dikaitkan dengan tenaga pemuda. Jika pemudanya lembik, maka lembiklah parti itu. Justeru, di ketika UMNO menghadapi situasi yang genting ini, semua mata beralih kepada Ketua Pemuda parti ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, sememangnya satu watak yang kontroversi. Kemunculan beliau dalam politik negara tidak diraikan malah dipersalahkan hampir seratus peratus atas kemerosotan prestasi BN dalam PRU 2008. Nama beliau telah dikaitkan dalam berbagai skandal yang melibatkan GLC yang turut mengukir label ‘rasuah’ di dahinya.

Beliau, bagaimanapun tidak pernah dikenakan tindakan yang mana menyebabkan dendam dan marah rakyat terhadapnya amat sukar untuk dipadamkan.

Mungkin ada yang akan sakit hati dengan tindakan penulis mengungkit latarbelakang Khairy, tetapi ini adalah sejarah serta bukannya kisah yang direkacipta demi kepentingan politik sesiapa. Suka atau tidak, kita tidak boleh memadam atau menukar sejarah.



Namun, Khairy bernasib baik kerana kepimpinan nampaknya ingin terus memberi peluang kepadanya atas dasar ‘kebijaksanaannya’ dan ‘demi pembaharuan’ dalam parti. Kepimpinan tentunya menaruh harapan besar yang beliau akan berubah demi membawa anak-anak muda ke arah kecemerlangan, atau memimpin Pemuda UMNO ke arah kegemilangan, sesuai dengan imejnya yang ‘terbilang’ itu.

Malang sekali, sehingga ke hari ini, walaupun dijulang sebagai ‘lulusan Oxford’ dan ‘bergaya’ Pemuda UMNO di bawah Khairy masih lagi belum mampu membentangkan idea yang bernas setaraf dengan kelulusannya mahupun tindakan yang efektif selaras dengan imejnya.

Antara ‘perjuangan’ beliau yang boleh ‘dikenang’ adalah membela Mat Rempit. Beliau juga diingati kerana membawa sikap ‘pemimpin jalanan’, menjerit-jerit serta membaling botol ketika menerajui demonstrasi suatu ketika dahulu. Selain itu, beliau mungkin dikenali kerana minatnya pada bola sepak. Manakala, hari ini kita diperlihatkan akan bakat beliau bermain dram pula.

Tidak dapat dinafikan beliau punya kebolehan bercakap dan petah berdebat tetapi lebih dari itu, kita belum melihat ‘hasil’ yang signifikan dari buah fikiran atau kerja tangan Ketua Pemuda ini dalam konteks pembangunan negara atau parti.

Hakikatnya, negara dan parti kini sedang menghadapi masalah, terutamanya dalam isu perpaduan yang mana membawa kepada masalah hala tuju masa depan.

Masalah ini adalah parah di kalangan anak-anak muda yang rata-ratanya ‘tidak keruan’ akan jati diri, asas kenegaraan, keagamaan mahupun di mana letaknya diri mereka di bumi ini. Anak-anak muda Malaysia dari berbagai kaum keliru tentang apa yang penting dalam hidup mereka, apa yang mereka cari dan siapa yang mereka perlu jadi. Mereka tidak tahu dan keliru tentang sejarah dan budaya Malaysia. Mereka juga tidak langsung tidak punya pegangan, menolak ilmu pengetahuan, suka berpeleseran tetapi perasan bagai cendekiawan.

Semua ini perlu ditangani oleh Ketua Pemuda dan pasukannya dengan segera demi keteguhan negara. Aktiviti-aktiviti yang lebih serius dan bukan ‘glamour’ perlu dipertingkatkan untuk menarik anak-anak muda berfikir dan menjadi manusia bijak dalam ertikata yang sebenar.

Dari segi parti pula, Pemuda UMNO perlu aktif mendaftarkan ahli-ahli UMNO di kalangan anak-anak muda, memahamkan mereka akan perjuangan parti keramat ini serta membina semangat juang yang padu.

Program-program usahawan muda, idea-idea untuk menjana ekonomi mereka perlu dijalankan. Pemuda juga wajar mempunyai kebolehan untuk melontarkan idea bernas dalam membina, mempertahan dan meningkatkan kedudukan bumiputera. Perlu pantas mengenalpasti masalah yang sering dikeluh-kesahkan oleh rakyat contohnya, pemilikan aset negara oleh orang asing yang semakin berleluasa, seperti yang diluahkan oleh Norman Fernandez, Timbalan Pengerusi DAP Johor.

Rakyat hairan kenapa persoalan seperti itu tidak datang dari dalam UMNO, khususnya Pemuda UMNO, tetapi DAP.

Justeru, kita tertanya-tanya dengan rekod sang ketua dan pasukannya yang corot serta imej yang ‘gila glamour’, apakah Pemuda UMNO mampu memikul tanggungjawab berat dan serius ini?

Malah, seringkali kita juga musykil mungkinkah Pemuda UMNO juga berkongsi kekeliruan dan ketidak-keruan anak-anak muda Malaysia masa kini? Bezanya, sebagai Pemuda UMNO, mereka sudah punya kuasa jadi tidak perlulah terkinja-kinja merusuh bersama Anwar Ibrahim. Jika tidak, mungkin mereka juga akan ke hulu ke hilir berbaju hitam menjerit-jerit yang demokrasi sudah mati…

Sekiranya artikel ini begitu pedas, anggapkanlah ia sebagai satu cabaran. Tidak perlu melompat membela diri atau menghala senapang ke sana sini. Buktikan pada rakyat bahawa Pemuda UMNO bukanlah Mat Jiwang, Mat Bunga, Mat Glamour, Mat Rempit, Mat Rewang atau Mat Lembik. Berdirilah bagai seorang hulubalang menjaga hak dan kedaulatan umat Melayu dari dirampas dan diserang. Bangunlah bagai pejuang menuju era baru di mana kebijaksanaan merupakan jaminan terakhir untuk terus hidup.

1 comment:

Anonymous said...

Satu kata...PEMIMPIN HARUS BERUBAH TOTAL BUKAN RAKYAT MELAYU ISLAM BIASA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive