Tuesday, 9 October 2012

TUDIAA !!! PENGUNJUNG MENGELUH LEGOLAND MAHAL DAN PANAS




PERTAMA sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat dalam pembinaan Taman Tema Legoland Malaysia di Nusajaya, Johor.

Sebagai anak Malaysia saya amat bangga kerana ia merupakan taman tema seumpamanya di Asia. Sejak disajikan dengan berita mengenai cadangan pembinaannya beberapa tahun lalu, memang saya menyimpan impian untuk menjadi antara rakyat yang terawal menjejakkan kaki ke taman tema tersebut.

Sebaik pihak pengurusan Legoland mengumumkan taman tema tersebut akan 'membuka' pintunya kepada umum pada 15 September lalu, saya tidak menunggu masa lama untuk bersama-sama 'meraikan' satu lagi mercu tanda baharu negara itu.

Seawal pukul 7 pagi, saya, isteri dan anak-anak sudah bersiap-siap untuk pergi ke taman tema berkenaan. Mujur kerana memang tinggal di bandar raya Johor Bahru, hanya mengambil masa kira-kira 30 minit ke taman tema berkenaan.

Suasana pada hari pertama pembukaannya memang mengujakan. Walaupun sesak dengan lebih 10,000 pengunjung (sekadar anggaran), masing-masing berpusu-pusu ingin mencuba pelbagai permainan yang disediakan.

Pelbagai replika bangunan yang menjadi mercu tanda negara seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta kewujudan Taj Mahal membuatkan semua pihak bersesak-sesak untuk merakamkan potret masing-masing.


Cuaca awal pagi walaupun panas tidak menghalang para pengunjung termasuk saya dan keluarga untuk merakamkan gambar dan berhibur dengan pelbagai permainan yang disediakan.

Namun, apabila matahari sudah tegak di atas kepala, ternyata pengunjung mula menahan bahangnya. Peluh yang mula menitis membuatkan ramai yang mula mencari 'kawasan' redup. Apa yang dapat saya katakan, suasana di taman tema tersebut amat panas waktu tengah hari dan petang.

Pokok-pokok yang ditanam pula masih kecil dan tidak mampu memberi 'perlindungan'. Sekadar pandangan sahaja, apa salahnya pihak pengurusan Legoland menyediakan kipas angin berwap seperti yang banyak digunakan sekarang di lokasi-lokasi strategik di taman teman berkenaan untuk pengunjung menyejukkan badan?

Andai banyak kipas berwap itu disediakan, pasti ia menjadikan pengunjung lebih selesa dan tak perlu mencari pokok untuk berteduh.

Akibat cuaca yang membahang, ramai yang 'melarikan' diri ke premis yang menjual cenderamata atau restoran dan medan selera yang disediakan.

Bagi yang ada duit, tidak menjadi masalah untuk melayan kerenah anak-anak dengan pelbagai cenderamata dan mainan yang disediakan. Tetapi bagi yang poketnya hanya cukup-cukup makan, pening juga untuk mencari helah kerana harganya agak tinggi.

Misalnya, key chain replika blok permainan lego dijual pada harga RM19, manakala topi berharga hampir RM50. Paling tidak pun, sebuah keluarga berbelanja untuk cenderamata lebih RM100. Jika berteduh di restoran atau kafe, harga makanan dan minuman yang disajikan juga agak tinggi.

Itu cerita ketika cuaca panas. Kalau hujan pasti semua maklum. Kunjungan ke taman tema tersebut dianggap 'sia-sia' sahaja kerana tidak banyak permainan yang dicuba termasuk roller coaster yang menjadi kegemaran ramai.

Mungkin cakap-cakap beberapa pengunjung yang saya dengar supaya operasi permainan di taman tema dilanjutkan sehingga waktu malam boleh dipertimbangkan.

Saya pernah berkunjung ke Jerudung Park di Brunei suatu ketika dahulu dan operasi hingga tengah malam. Jadi, keadaan malam yang lebih sejuk boleh memberi lebih keselesaan kepada pengunjung khususnya yang berkeluarga untuk berhibur.

Seperkara lagi, ada beberapa permainan khususnya permainan air di taman tema tersebut masih belum beroperasi. Sepatutnya pengurusan membuka taman tema tersebut setelah semuanya beroperasi. Bagi yang berkunjung awal, mereka 'terlepas' keseronokan permainan air itu.

Justeru, saya berharap pandangan ini diberi perhatian oleh pihak Legoland Malaysia dan pengurusan tertinggi Khazanah Nasional. Semoga Legoland Malaysia mencapai sasaran sejuta pengunjung pada tahun pertama operasinya dan memberi keseronokan sepenuhnya kepada pengunjung.

MINAT BERJALAN
Johor Bahru

Sumber Forum Utusan 2/10/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive