Saturday, 12 May 2012

TS MUHYIDDIN MAU DS NAJIB TIUP SEMBOYAN PRU 13 !! #UMNO66




Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi peringatan kepada semua anggota Umno bahawa pilihan raya umum kali ini bukan sahaja mempertaruhkan kuasa politik tetapi juga seluruh isiperjuangan dan nasib sesebuah bangsa.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, menggesa anggota Umno agar bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang hampir tiba kerana inilah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan kelangsungan perjuangan Umno.



"Kita harus menyediakan saf pejuang Umno yang sebenar-benarnya kuat bekerja dan mampu memenangi hati rakyat. Inilah saat dan ketikanya Umno akan berhadapan dengan dugaan paling getir," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan ulang tahun ke-66 Umno dengan tema 'Pembela Rakyat' di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Muhyiddin turut memberi amaran kepada musuh parti agar tidak merosakkan perpaduan dan keharmonian yang telah dibina serta tidak menyebarkan dakyah dan ideologi songsang yang mempengaruhi akidah.

"Jangan izinkan mereka merosakkan amalan hidup kita yang beretika dan bermoral. Jangan sama sekali restui dan membiarkan rakyat dinodai dengan fahaman yang menyesatkan, ideologi yang mengharu-birukan," katanya.

Beliau berkata Umno perlu kekal sebagai benteng kepada rakyat dan parti itu adalah sebenar-benarnya pembela rakyat, kerana sekiranya benteng itu rosak dan terhakis, maka akan rosaklah segala kota perpaduan dan keharmonian yang terbina.

Muhyiddin juga mengajak anggota Umno bersedia ke medan juang untuk memperoleh kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

"Yang Amat Berhormat Presiden, kami telah bersedia mengorak langkah. Taat setia sudah kami tumpahkan. Tekad dan iltizam telah kami ikrarkan. Tiuplah semboyan perang. Ayuh kita ke medan juang. Tiadalah yang paling bermakna buat parti kita melainkan kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Sambil mengucapkan selamat ulang tahun ke-66 kepada lebih 100,000 anggota Umno, beliau berharap agar perhimpunan ini bermakna, sebagai pembuktian bahawa semua anggotanya merupakan generasi penerus perjuangan Umno yang sejati.

"Marilah kita menjadikan perhimpunan ini sebagai medan kita meneguh keyakinan, memperkuat azam, memperkukuh harapan, dan dengan rasa rendah diri dan tawaduk, meraikan kejayaan kita melayari bahtera Umno selama ini.

"Sesungguhnya, tanggal 11 Mei 1946 akan kekal tertempa di atas tinta emas sejarah, bahawa lahirnya sebuah wadah yang memperjuangkan hak, untung nasib dan masa depan umat Melayu.

"Selama lebih enam dekad, Umno melangkah dengan derap keyakinan. Umno melangkah seiring dengan harapan dan cita-cita rakyat. Umno melangkah dengan kesetiaan dan kebijaksanaan," katanya.

Beliau menyeru kepada semua anggota Umno agar memberi sepenuh kesetiaan dan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden parti dalam memastikan Umno terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

"Marilah kita bersama-sama memberi keyakinan bahawa Umno dan seluruh warga komponen Barisan Nasional sudah bersedia dalam memastikan iltizam kita mendapatkan mandat yang lebih besar dalam pilihan raya yang akan datang dapat direalisasikan," katanya. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive