Saturday, 15 December 2012

HARI INI PENENTU NASIB PUAK OLD SKOOL DALAM DAP


DI Pulau Pinang pada hari ini (15 Disember 2012) dikatakan akan menjadi penentu untung nasib beberapa 'otai' DAP Pusat. Antaranya yang begitu disebut-sebut ialah survival 'singa DAP', Karpal Singh.

Desas-desus bertiup kencang mengatakan Pengerusi DAP itu bakal 'tersungkur' untuk mempertahankan kedudukannya dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada pemilihan Kongres Kebangsaan DAP ke-16 itu.

Dikatakan, satu puak dalam parti itu yang begitu bercita-cita untuk ke Putrajaya tidak begitu senang dengan kelibat Karpal yang agak merencatkan 'niat' mereka. Ini terutama apabila melibatkan kompromi mereka dengan Pas berhubung hukum hudud dan pelaksanaan negara Islam.

Karpal diketahui umum begitu lantang mengkritik hala tuju Pas yang jelas bertentangan dengan prinsip DAP yang mengimpikan negara sekular. Isu-isu berkaitan ini sering dibangkitkan oleh Karpal dari semasa ke semasa.



Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering mengkritik corak kepimpinan kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah sejak akhir-akhir ini. Kritikan Karpal dikatakan mengundang rasa tidak senang di kalangan pemimpin DAP, Pas dan PKR. Disebalik pendirian politik Karpal, kumpulan berkenaan bercia-cita besar untuk berkuasa sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Terbaru, Karpal mengundang kemarahan pemimpin-pemimpin DAP apabila mendesak supaya mereka mengamalkan polisi 'satu calon, satu kerusi'. Ini bagi memberi ruang kepada calon-calon lain untuk bertanding.

Ironinya, DAP juga satu-satunya parti politik negara ini yang telah berdaftar dengan Pertubuhan Sosialis Antarabangsa- yang objektif sebenar adalah perkongsian sama rata.

Dalam pemilihan kepimpinan Pusat, DAP mempunyai sistem berbeza.Perwakilan ke kongres kebangsaan akan memilih 20 anggota jawatankuasa eksekutif pusat. Dan 20 anggota jawatankuasa ini kemudiannya akan bertemu dalam mesyuarat pertama, mereka akan mengundi memilih pengerusi parti, timbalan setiausaha agung, bendahari pusat dan lain-lain jawatan utama dalam parti.

Di sebalik ini, ada ura-ura mengatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng begitu berminat untuk ke jawatan Pengerusi DAP menggantikan Karpal. Tambah-tambah lagi, jawatan setiausaha Agung DAP yang disandang Guan Eng ketika ini hanya tinggal satu penggal lagi.

Dan walaupun Pengerusi dan Setiausaha Agung dalam DAP mempunyai kuasa dan pengaruh yang sama, namun dalam kes ini agak berbeza. Ini kerana Guan Eng dikatakan lebih mempunyai kuasa dan pengaruh hanya dengan memegang jawatan Setiausaha Agung . Karpal pula walaupun merupakan pengerusi parti, suara beliau tidak begitu penting. Apalagi dalam membuat sebarang keputusan.

Dalam pemilihan DAP itu nanti, "puak di sana" hanya memerlukan 11 undi dalam kalangan mereka untuk mengundi Karpal keluar daripada pemilihan tersebut. Walaupun Karpal disegani dalam kalangan akar umbi DAP namun mereka bercita-cita untuk mara, tidak peduli itu semua.

Dalam pemilihan di Georgetown sabtu ini, seramai 68 anggota akan bertanding untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi CEC yang akan diundi oleh 2,500 perwakilan.

Antara yang dijangka menang mudah ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dan Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw.

Sementara yang dijangka merempuh laluan sukar dan mudah cakap ialah Karpal, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim, pasangan sepupu, Nga Kor Ming serta Datuk Ngeh Koo Ham dan ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau.

Apa yang pasti, keputusan pemilihan DAP kali ini juga dikatakan bakal menjejaskan hubungan antara pemimpin akar umbi parti andai 'puak di sana' menang besar.

Pemimpin akar umbi yang sudah bersama DAP sejak awal dikatakan tidak berpuas hati dengan cara parti itu dipimpin terutamanya oleh Guan Eng.

Pada masa sama, calon-calon baru parti dikatakan lebih berpengaruh dalam membuat keputusan penting dan tidak mempedulikan sentimen akar umbi. Kebanyakan mereka juga tidak gemar untuk bekerjasama dengan pemimpin akar umbi.

Pekara ini juga seolah-olah direstui oleh anak-beranak, Kit Siang dan Guan Eng sehingga lebih ramai akar umbi bertindak keluar parti atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akhirnya menyebabkan mereka dipecat kerana menentang parti.

Pergolakan dalaman serius yang sedang berlaku antara akar umbi dengan 'puak di sana' akhirnya terserlah apabila Konvensyen DAP Selangor telah diboikot dan cuma dihadiri beberapa kerat pemimpin sahaja.

Konvensyen DAP Pulau Pinang pula walaupun tidak diboikot secara terang-terangan, namunterdapat laporan mendakwa lebih 300 perwakilan menghilangkan diri selepas sesi pendaftaran.

Keadaan ini berlainan sekali dengan muktamar Pas atau Perhimpuanan Agung UMNO baru-baru ini kerana para perwakilan parti berkenaan sanggup duduk diatas lantai dan berbaris panjang demi mendengar amanat pemimpin tertinggi mereka. Walau apa pun yang berlaku, pemerhati berpendapat-DAP mesti profesional.

Andai Karpal diundi keluar daripada pemilihan parti kali ini, maka ramai lagi akar umbi yang akan bangkit dan menyuarakan rasa tidak puas hati. Juga ramai lagi yang akan bertindak keluar parti. Lebih banyak 'kemusnahan' akan berlaku dalam parti selain DAP mungkin terjejas teruk pada PRU-13 nanti.

Karpal dikatakan 'pillar' kepada DAP. Pengaruh beliau bukan sahaja terlihat dalam parti malah pendirian politiknya menjadi ikutan - tegas pertahankan prinsip diri dan parti sehingga hari ini.

(Utusan)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive