Wednesday, 28 November 2012

BAJET 2013 KERAJAAN PAS KEDAH CEKELAT ANGIN




Baru-baru ini saya ada bertemu dengan seorang ahli perniagaan yang agak terkenal di Kedah dan kami berbual agak panjang mengenai Bajet 2013 Negeri Kedah yang baru dibentangkan oleh Kerajaan PAS di sidang DUN Kedah, Khamis lalu.

Menurutnya, hujah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak dan Exconya, Datuk Amiruddin Hamzah mengenai jangkaan kerajaan negeri itu mendapat hasil premium tanah pada tahun 2013 sebanyak RM150 juta adalah sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, rekod kutipan hasil premium tanah di Kedah tidak pernah lebih dari RM50 juta setahun sejak awal merdeka sehingga kini dan purata kutipan dari bidang hasil itu hanyalah sekitar RM30 juta hingga RM35 juta setahun sahaja.

Penjelasan Amiruddin mengenai “cara” kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil premium tanah itu melalui beberapa pembelian tanah di Langkawi, Alor Setar dan Bandar Bharu juga tidak boleh diharap memandangkan ia hanyalah baru ditahap rundingan.



Kalau benar pun pembelian tanah itu berlaku, ia hanyalah hasil “one-off” di mana ia samalah seperti Kerajaan Negeri Kedah menjual aset-aset yang dimilikinya.

Mengenai tanah di Langkawi, sebidang tanah telah dirampas kerajaan negeri dari sebuah syarikat yang gagal membayar hasil cukai tanah tersebut dan tuan syarikat itu dikatakan kini dalam proses berunding untuk membeli semula tanah itu.

Menurut Amiruddin, syarikat itu perlu menjelaskan terlebih dahulu cukai tanah yang tertunggak dan gagal dijelaskan sebelum ini, sebelum syarikat itu dibenarkan untuk membeli tanah tersebut.

Persoalannya, Amiruddin sendiri mengaku bahawa syarikat itu menghadapi kesukaran untuk membeli tanah yang bernilai RM30 juta itu sekiranya berhadapan dengan syarat pembayaran cukai tanah tertunggak itu.

Jadi, apakah Kerajaan Negeri Kedah masih mengharapkan pembelian dari sebuah syarikat yang tidak punya wang dan mahu meminta diskaun untuk membeli tanah itu? Dan apakah transaksi urus niaga tipis ini layak dimasukkan ke dalam Bajet 2013 Negeri Kedah sebagai hasil rasmi tahun depan?

Kes ini adalah sama dengan kes pembelian tanah di Bandar Bharu yang “diharapkan” akan memberi pulangan lebih RM30 juta tahun depan? Boleh berlaku ke?

Begitu juga dengan tanah di Alor Setar yang dikatakan akan dijalankan projek besar di mana tanah bernilai RM38 juta akan bertukar tangan.

Sepanjang lebih 4 tahun memerintah Kedah, projek besar apakah yang berjaya dijalankan di negeri Jelapang Padi itu? Dan apakah dengan “projek besar” yang masih dalam perancangan awal itu akan dilaksanakan kelak? Boleh percaya ke?

Dengan kemudahan prasarana dan tiada sebarang pertumbuhan ekonomi atau kemajuan yang boleh dibanggakan, apakah Azizan masih mampu bermimpi untuk melihat para pelabur melesapkan wang mereka di negeri Kedah di era pemerintahannya?

Paling menarik ialah kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menafikan bahawa kerajaan pimpinannya akan membayar sebanyak RM40 juta kepada Kerajaan PAS Negeri Kedah atas pembelian air dari syarikat air milik kerajaan negeri, SADA.

Lebih “manis”, kenyataan itu dibuat ketika Azizan dan Amiruddin sedang membuat penggulungan Bajet 2013 di sidang DUN. Dan kenyataan Guan Eng itu sudah cukup untuk membuat muka Azizan bertukar merah dan Amiruddin kelu seribu bahasa!

Apa yang jelas, sepanjang perbincangan saya dan ahli perniagaan itu, kami menyimpulkan bahawa Bajet 2013 itu hanyalah sekadar bajet “main masak-masak” di mana ia jangkaan pertambahan pendapatan Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM150 juta itu dibuat sekadar “syok sendiri”.

Menteri Besar dan Exconya sekadar “sesuka hati” meletakkan jangkaan pendapatan itu untuk mengurangkan jangkaan defisit kerajaan negeri pada tahun depan dengan memberikan jumlah-jumlah pendapatan yang tidak realistik.

Jangan terkejut nanti jika PAS Kedah akan menjual seluruh negeri Kedah untuk mendapatkan wang mudah secara pantas sekiranya mereka menang pada PRU ke-13 nanti. Pada mereka, biar Kedah tergadai, asalkan mereka dilihat bijak cari wang besar…

SUMBER

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

REJIMEN PEJUANG MAYA DIRAJA

Popular Posts

Followers

Blog Archive