Bermodalkan perwatakan alim, seorang pelawak tanah air didakwa memperdaya mangsanya sejurus melarikan diri selepas meminjam ribuan ringgit untuk kempen ‘politiknya’.
Pelawak daripada program rancangan realiti itu berjanji melangsaikan semua hutang selepas dibayar parti terbabit, namun sejurus masanya, dia memberi banyak alasan termasuk memaki-hamun dan menghilangkan diri.
Mendedahkan perkara itu, mangsa dikenali Saerah, 39, berkata, dia kerugian RM7,000 selepas pelawak terbabit meminjam wang daripadanya dengan alasan dijadikan modal berceramah di Teluk Intan, Perak.
Dia yang juga ibu tunggal berkata, dia mengenali pelawak itu melalui rakannya tahun lalu dan hubungan mereka erat apabila pelawak terbabit sering ke kedai makannya di daerah itu selepas menyampaikan ceramah.
Katanya, pada awal perkenalan, pelawak terbabit menunjukkan sikap baik, namun di sebalik itu, dia merancang memperdayakannya.
“Pada 30 September dan 20 Oktober lalu, lelaki itu meminta saya menempah bilik hotel berikutan dia dari Kedah dan diundang memberikan ceramah. Kerana percaya, saya melakukannya sebelum dijanji dibayar semula wang itu,” katanya.