Thursday, 5 September 2013

KEDAH SASAR LEBIHAN PENDAPATAN BUAT PERTAMA KALI DALAM TEMPOH 5 TAHUN !! @MukhrizMahathir




Buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri Kedah menjangka memperoleh pendapatan berlebihan bagi tahun 2013, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Menurutnya perolehan itu disumbangkan oleh hasil cukai tanah yang dijangka mencapai RM200 juta tahun ini manakala cukai-cukai taksiran lain dijangka meningkat hasil tindakan memperkemaskan sistem kutipan.

"Bajet tahun lepas mensasarkan pendapatan bagi tahun ini sebanyak RM640 juta tetapi kita jangka angka itu akan meningkat sedikit," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, Rabu.



Beliau berkata perkembangan positif itu hasil Makmal Transformasi yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membangunkan negeri melalui idea-idea baharu membabitkan pihak berkempentingan.

Mukhriz turut mengumumkan Kota Perdana dalam kawasan industri Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menjadi Taman Sains untuk menempatkan industri berteknoloji baharu di Kedah.

"Taman Sains ini dirancang bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat serta menggalak perdagangan dan industri pelancongan dua hala Malaysia-Thailand.

"Kewujudannya akan membuka peluang untuk industri kecil dan sederhana tempatan berkembang manakala perdagangan dan industri pelancongan merentas sempadan Malaysia-Thailand berkembang," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jangka masa pembangunan Taman Sains itu namun menjelaskan usaha menarik pelaburan bermula dengan menemui pelabur-pelabur asing luar negara dalam masa terdekat.

Katanya Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan serta Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail akan mewakili kerajaan negeri membentangkan kertas kerja mengenai 'Bandaraya Getah' di Kota Putra, Padang Terap kepada pelabur China di Yunan pada 22 hingga Oktober ini.

Selain bertanggungjawab menerangkan peluang-peluang pelaburan di Kota Putra, Ku Abdul Rahman juga akan berusaha menarik pelaburan ke Taman Sains Kota Perdana, kata Mukhriz.

Katanya mesyuarat Exco hari ini juga membuat keputusan agar kerajaan negeri meneruskan permohonan bantuan kewangan daripada kerajaan pusat untuk menyediakan prasarana mencukupi seperti jalan dan jambatan bagi menyokong pelaburan baharu.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda