Sunday, 29 July 2012

TUDIAA !!! INDONESIA ISTIHAR DARURAT GARA GARA TEMPE ??


Indonesia Darurat Tempe”. Demikian tajuk utama muka depan akhbar harian Media Indonesia pada Khamis, dengan gambar sekeping poster bertulisan tangan “3 Hari Puasa Tempe – Tauhu” yang dirakam di sebuah pasar, di Tangerang, Banten.

Laporan itu menggambarkan tindakan pengusaha menghentikan pengeluaran tempe dan tauhu selama tiga hari mulai Rabu hingga esok, sebagai bantahan melambungnya harga kacang soya yang merupakan bahan utama penyediaan makanan tersebut.

Bagi sebahagian besar rakyat Indonesia, tempe dan tauhu adalah hidangan wajib setiap hari yang juga sumber protein murah, namun sejak akhir-akhir ini pengusaha terpaksa menaikkan harga jualan kerana kenaikan harga kacang soya.

Kenaikan harga tempe dan tauhu itu menyebabkan sebahagian besar pengguna daripada golongan menengah dan bawahan kurang membelinya hingga menyebabkan pengeluar dan peniaga kerugian.

Semalam ratusan pengusaha tempe dan tauhu di Sukoharjo, Surakarta Jawa Tengah mengadakan tunjuk perasaan, mendesak kerajaan menurunkan harga kacang soya yang melonjak dari Rp5,000 kepada Rp8,200 sejak kebelakangan ini. (Rp100 =RM0.033)



Sekumpulan pengusaha di Jakarta pula bertindak membuang tempe dan tauhu ke atas jalan raya sebagai tanda protes terhadap kenaikan harga bahan mentah itu.

Beberapa pengusaha tauhu dan tempe di Tasikmalaya, Jawa Barat, pula memberhentikan sementara pekerja mereka dan ada dalam kalangan mereka sepakat untuk menutup perniagaan masing-masing jika harga kacang soya terus meningkat.

Dalam pada itu, ada pengusaha di Jakarta bersedia menyambung pengeluaran tempe dan tauhu mereka sekalipun harga kacang soya kekal tinggi selepas hari ini, namun akan dijual pada harga lebih tinggi.

Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian Hatta Rajasa pada Rabu menegaskan kerajaan akan menghapuskan cukai import lima peratus terhadap kacang soya mulai minggu ini hingga akhir tahun, dalam usaha menurunkan harga komoditi itu kira-kira Rp400 sekilogram.

Beliau berkata Indonesia memerlukan 2.2 juta tan kacang soya setahun namun pengeluaran dalam negeri hanya sekitar 700,000 tan, memaksa mereka mengimport kira-kira sejuta tan bagi menampung keperluan.

Menteri itu juga meminta pengeluar tempe dan tauhu mengimport kacang soya secara terus dan tidak melalui pihak ketiga bagi mengawal harga menerusi koordinasi bersama koperasi, Kementerian Perdagangan, Kementerian Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Kementerian Perindustrian.- Bernama

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda