Sunday, 29 July 2012

BUTA MATA GARA GARA BERMAIN MERCUN


ALOR SETAR - Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, kanak-kanak terbabit Tuah Mohd Hafiz Mohd Razli, 9, cedera di dahi dan badan sementara jirannya Mohd Sohibollah Saad, 27, cedera di mata, bahu dan tangan kiri.

Mercun bola itu dibeli Mohd Sohibollah di Bazar Ramadan di Tandop dua hari lepas dan merancang untuk bermain bersama Tuah Mohd Hafiz sementara menunggu waktu berbuka puasa, petang semalam.

"Masa kejadian...saya yang pegang mercun dan dia menyalakan api sebelum sumbu mercun tersebut jatuh ke dalam bekas plastik berisi 40 biji mercun," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam semalam.

Katanya, sumbu mercun yang terjatuh dan masih menyala itu tidak sempat dibuang dari bungkusan mercun bola yang berada berdekatan.




Rentetan itu, satu letupan kuat berlaku dan Mohd Hafiz terpelanting dan tidak sedarkan diri, kata Mohd Sohibollah yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini.

Katanya, panik dengan keadaan yang menimpa Tuah Mohd Hafiz, dia segera mendapatkan bantuan jiran dan kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Empat sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Mohd Ghazali berkata Sohibollah telah selesai menjalani pembedahan pada matanya dan kini ditempatkan di wad mata hospital berkenaan.

"Dia ditempatkan di wad itu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan yang dialaminya," katanya ketika dihubungi.

Sementara Tuah Mohd Hafiz yang sebelum ini dirawat di wad Kanak-kanak HSB telah dibenarkan pulang.- Bernama

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda