Wednesday, 1 October 2014

STRATEGI PEMBANGUNAN BULUH DI KEDAH @MukhrizMahathir




Kerajaan Kedah akan melaksanakan rancangan khas pembangunan industri buluh di negeri itu berikutan potensi besar sumber asli itu yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti menjana ekonomi.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata menerusi 'Kedah Bamboo Agenda' (KBA), pelbagai bidang baharu berkaitan buluh dapat diteroka, termasuk aktiviti pembuatan, pemasaran, pemborongan, keusahawanan, pelancongan serta pertanian.

"Melalui KBA juga, saya berharap pihak swasta, kerajaan, NGO, institusi pengajian, pemimpin masyarakat dan kumpulan muda mengambil peluang keemasan ini untuk terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam segenap bidang membabitkan buluh.

"Kerajaan negeri melalui agensi-agensinya sedia membantu menjayakannya bersama," katanya pada Perasmian Hari Buluh Sedunia 2014, di sini hari ini.



Melalui KBA juga kerajaan negeri bercadang mewujudkan Taman Buluh di Bukit Wang, Kubang Pasu dan 'Green Bamboo Valley' di Padang Terap.

"Kedua-dua projek jangka panjang itu adalah kenyataan konkrit dan realiti penggunaan buluh dalam serba bidang yang boleh disimpulkan sebagai 'Bamboo World' showcase," kata Mukhriz.

Bercakap kepada media kemudiannya, beliau berkata kerajaan negeri juga memutuskan untuk membina struktur kanopi ikonik berasaskan buluh di Taman Jubli Emas di sini.




"Kita akan mulakan pembinaan kanopi ini secepat mungkin, ..struktur kanopi ikonik ini akan menggunakan bahan buluh dan saya yakin ia akan menjadi tarikan pengunjung dari seluruh negara," katanya.

Beliau berkata untuk tujuan itu, anggota Exco berkaitan akan mengadakan beberapa perbincangan awal dengan Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global (GIEF) serta Konsortium Bamboo Malaysia.

Sebuah pusat khas yang diberi nama Pusat Pengkomersialan Bukuh (BCC) akan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Pusat Sains, Wilayah Utara yang terletak di Gunung Keriang dekat sini.

"Penubuhan BCC ini bertepatan dengan usaha MOSTI untuk mengkomersialkan Produk inovatif supaya diterima oleh pasaran tempatan dan antarabangsa selaras dengan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2014 oleh MOSTI.

"Inisiatif merealisasikan KBA juga sebenarnya adalah satu usaha pelengkap kepada usaha kerajaan untuk memulihara alam semula jadi, mengurangkan keluaran gas karbon dioksida," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda