Thursday, 26 June 2014
KERJASAMA IPDM–KERAJAAN NEGERI KEDAH BERI NAFAS BARU DALAM PENSEJARAHAN NEGERI
Menyedari kepentingan sejarah dalam kehidupan terutamanya kepada generasi akan datang, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif mengadakan kerjasama penyelidikan dengan Kerajaan Nnegeri Kedah untuk mendokumentasikan kembali sejarah negeri Kedah.
Hasil kerjasama penyelidikan ini akan dijadikan asas kepada penghasilan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah dan ini secara tidak langsung akan memberi nafas baru dalam pensejarahan negeri Kedah.
Timbalan Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata dalam senario dunia yang kian mencabar dan menuntut kecemerlangan dalam setiap bidang, sesebuah institusi itu tidak boleh bergerak sendirian.
“Kerjasama sebegini amatlah penting untuk penggemblengan sumber penyelidikan dan inovasi yang bersifat multidisiplin dan mengoptimumkan potensi sumber pakar dan kepakaran universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penyerahan Dana Penyelidikan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah Kepada IPDM, UUM di EDC-UUM semalam.
Tambahnya lagi, perbincangan juga dibuat bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah untuk menjadi rakan strategik IPDM dalam menjayakan projek mendokumentasikan sejarah negeri Kedah.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah atas kesudian menjalinkan kerjasama dengan UUM khususnya IPDM.
Sebanyak RM 30,000 diberikan oleh kerajaan negeri kepada IPDM untuk menjayakan projek Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah ini. Lukisan sejarah ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun mulai 2013 hingga 2015 mengikut kronologi perkembangan dari zaman pra-sejarah sehingga zaman moden.
Lukisan akan dilakukan pada sebarang tempoh masa (period) sejarah, bergantung kepada adanya sumber bahan yang sempurna, benar dan dapat digunakan untuk gambaran yang nyata dan tepat. Pelukis terkenal tanahair, Ismail Embong dicadangkan sebagai pelukis utama projek ini.
Majlis penyampaian dana itu disempurnakan oleh Y.B Aminuddin Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kedah
Dalam ucapannya, beliau berkata salah satu sebab peradaban Melayu tidak dapat berkembang dengan luas adalah kerana kelemahan aspek dokumentasi dalam peradaban Melayu.
“Hampir semua bukti sejarah Peradaban Melayu tidak mempunyai bukti sejarah yang tertulis. Banyak fakta-fakta penting seperti riwayat Kerajaan Melaka atau Lagenda Hang Tuah tidak mempunyai bukti yang kukuh selain dari sekdar cerita dan dogengan masyarakat.
Oleh sebab itulah Kerajaan negeri mengorak langkah untuk mendokumentasikan kembali sejarah negeri Kedah dan IPDM diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan kembali sejarah negeru Kedah untuk dijadikan hadiah buat generasi akan datang agar warisan ini tidak lejang dek panas, tak lapuk dek hujan,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Hashimi Hassan; Prof Datuk Dr Zainal Kling dan pegawai-pegawai universiti.
SYUKUR ALHAMDULILLAH! Harapnya kajian MULIA ini juga akan merangkumi seni SILAT Islam/Melayu kita, yg. sebenaqnya juga penuh misteri! Patutnya MUZIUM SEJARAH serta TEATER Islam/Melayu KEDAH ditubuhkan juga di Pulau LANGKAWI -apalagi pelancong kan ramai di sana!
ReplyDeleteMakcik Sambal Belacan.