Thursday, 12 June 2014
HASIL PROGRAM #JALINANKEDAH #KEDAHKEJOHOR !! PUSAT PENGUMPULAN PKS AKAN DIBINA @MukhrizMahathir @KhaledNordin
Hasil lawatan kerja selama 3 hari Kerajaan Negeri Kedah ke Negeri Johor sempena program #JalinanTransformasi Kedah ke Johor dimulakan dengan membangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memudahkan pemasaran antara kedua-dua negeri.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata selain memperkasakan usahawan tempatan, pengwujudan sebuah pusat seumpama itu di Kedah dan Johor dapat mengurangkan kos logistik.
"Kita akan wujudkan jaringan dua hala iaitu menggunakan sebuah kontena yang akan membawa produk PKS Kedah ke Johor dan kemudian pulang ke Kedah dengan membawa produk Johor," katanya kepada selepas majlis ramah mesra bersama usahawan Johor di kilang pemprosesan kopi Karaz Synergy Sdn Bhd.
Buat permulaan, kontena yang bayarannya dikongsi bersama kedua-dua pihak akan bergerak seminggu sekali antara kedua-dua negeri sebelum kekerapannya ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Mukhriz berkata pihaknya yakin terdapat banyak produk PKS Johor yang mampu menambat permintaan rakyat Kedah terutamanya sektor makanan.
"Kalau boleh, saya mahu mulakan pembangunan ini dengan cepat kerana saya tidak fikir ia payah untuk dimulakan. Perbincangan selanjutnya akan dilakukan dan saya yakin Johor mempunyai prasarana untuk tujuan ini,".
Sementara itu, Md Jais berkata pihaknya menyambut baik usaha itu bagi melahirkan lebih ramai usahawan PKS yang berjaya sekali gus memperkenal produk Johor ke utara tanah air.
"Kerajaan Johor sudah menjalin program seumpama ini dengan kerajaan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Dengan kerjasama kerajaan Kedah, kita akan memasarkan makanan seperti kerepek manakala Kedah akan membawa buah-buahan ke sini," katanya dan menambah boleh mengeksport buah-buahan terbabit ke Singapura sekiranya terdapat lebihan.
Katanya kerajaan Johor amat komited untuk membangunkan sektor PKS di negeri ini dengan mengeluarkan peruntukan RM7.5 juta setakat ini untuk program galakan usahawan, program Satu Daerah Satu Industri serta program pembangunan usahawan.
Sementara itu, pada majlis sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Johor, A Rahim Nin turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengarah UPEN Kedah Datuk Bakar Din bagi mengukuhkan usahasama kedua-dua pihak dalam bidang pembangunan usahawan.
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda