Monday, 30 June 2014
DS ROSMAH ZIARAH ADIK FIRDAUS
Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi remaja orang kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai baru-baru ini, di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.
Ketibaan Rosmah disambut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya Datin Paduka Chew Mei Fun, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zailan Adnan.
Rosmah berada kira-kira setengah jam di HTJS beramah mesra dan bertanyakan perkembangan remaja itu selain menghadiahi sepasang baju Melayu biru, songkok serta hamper buah-buahan kepada Muhammad Firdaus.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Rosmah berkata beliau dimaklumkan Pengarah HTJS Datuk Dr Jaafar Che Mat bahawa Muhammad Firdaus telah pun makan dan tidur dengan baik manakala berat badannya meningkat 2.3 kilogram.
“Insya-Allah, dia akan dibenarkan keluar dari hospital hujung minggu ini atau minggu depan dan dia akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan,” katanya.
Rosmah, yang juga Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), turut menyampaikan sumbangan RM1,000 daripada Bakti dan sumbangan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM1,000, yang akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji remaja berkenaan.
Beliau berkata mereka yang ingin menyumbang kepada remaja itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Tabung Haji Muhammad Firdaus bernombor 010602000453616, yang dibuka untuk mengurus sumbangan yang diterima Muhammad Firdaus bagi keperluan masa depannya.
Sementara itu, Dr Zailan berkata Muhammad Firdaus telah sembuh dengan baik dan berat badannya pun meningkat sejak dimasukkan ke HTJS.
“Kita membuat pemeriksaan rapi dan melaksanakan semua disiplin perubatan. Kita bagi makanan tinggi protein dan tinggi karbohidrat. Kita juga sedang memulihkan keadaan ‘electrolytes’ dalam badannya dan apabila telah ‘normalise’ dia mungkin dibenarkan keluar hospital seawal-awal Jumaat ini atau besar kemungkinan minggu depan,” katanya.
Beliau berkata walaupun diletakkan di bawah jagaan JKM Negeri Sembilan, pihak hospital akan terus memantau keadaan Muhammad Firdaus.
Rohani pula berkata Muhammad Firdaus akan ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah di sini setelah dia dibenarkan keluar hospital.
Katanya adik Muhammad Firdaus berumur tujuh tahun, Muhammad Haziq, sudah ditempatkan di rumah kanak-kanak itu.
“Kami masih lagi mengesan waris sebelah bapa Muhammad Firdaus,” katanya.
Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak berurus di dalam bilik yang kotor dan dipenuhi najis oleh Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman semasa jabatan itu menjalankan operasi bersepadu 6P di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, 21 Jun lepas selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda