Saturday, 29 March 2014

#MH370 !! LAPORAN MEDIA TEMPATAN SATUKAN RAKYAT MALAYSIA @shaberyc @tunfaisal @NajibRazak




Laporan media tempatan mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berjaya menyatukan rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan liputan yang diberi oleh media tempatan sejak insiden itu berlaku pada 8 Mac lepas meskipun lebih banyak yang perlu difahami khususnya pada aspek teknikal.

"Saya dapati baik dalam akhbar Melayu ataupun akhbar bahasa Cina, ia membawa satu bentuk kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Kita bersatu, sama-sama berdoa dan menyokong usaha mencari pesawat yang hilang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan pengarang kanan media berbahasa Cina tempatan di Kuala Lumpur, hari ini.



Shabery berkata, perjumpaan itu bertujuan mendapatkan panduan daripada pemimpin media berbahasa Cina bagi meningkatkan keberkesanan interaksi dengan media China.

"Saya minta bimbingan mereka, terutama daripada akhbar berbahasa Cina kerana mereka lebih memahami daripada segi apa yang berlaku di China. Mereka memberikan panduan tertentu dan saya sangat menghargainya," katanya.

Beliau juga mengulangi ingatan agar rakyat negara ini tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi berhubung kehilangan MH370.

Perjumpaan hampir dua jam itu dihadiri oleh 15 pengarang kanan media berbahasa Cina termasuk akhbar Sin Chew Daily, Nanyang, Oriental Daily, MY FM dan Ai FM.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada Isnin lalu, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama,

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda